Thursday, June 2, 2011

Adab Menziarahi Pesakit

Khamis, 29 Jamadilakhir 1432H :Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila kamu ziarahi orang sakit atau orang yang hampir mati, hendaklah kamu memperkatakan perkara yang baik, kerana sesungguhnya Malaikat mengucap Amin terhadap apa yang kamu katakan itu."( Ummi Salamah r.a)

Dari Ibn Abbas r.a katanya: "Diantara adab peraturan yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w ialah: Memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising semasa melawat orang sakit." Ibn Abbas berkata lagi: "Rasulullah s.a.w bersabda ketika sahabat-sahabat banyak membuat bising dan berselisih pendapat (semasa mereka melawat Baginda yang sedang gering): "Bangunlah kamu semua tinggalkan daku!".( Ibn Abbas r.a)

Dari Ibnu Abbas r.a nabi s.a.w masuk ke dalam rumah orang Arab Dusun untuk melihat di sakit. Kata Ibnu Abbas:”Pernah Nabi s.a.w apabila dia masuk ke rumah orang yang sakit untuk melihatnya, baginda bersabda:”Tidak mengapa! Sembuh, insya Allah.” Ucap nabi kepada orang sakit itu. “Tidak mengapa, sembuh, insya Allah!” Jawabnya:”Tuan katakan:”Sembuh . Sebenarnya itu demam panas yang sedang meluap dan mengancam orang yang sangat tua dan akan membawa maut.” Nabi s.a.w bersabda:”Ya, benar katamu itu.” (HR al-Bukhari)

“Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggal mu di dalam syurga” (Riwayat: at-Tirmizi)

Anas r.a berkata:”Seorang anak Yahudi yang berkhidmat dengan nabi s.a.w telah jatuh sakit, maka baginda s.a.w telah datang melawatnya. Baginda duduk di sisi kepala serta berkata kepada anak itu:”Terimalah Islam (iaitu masuklah kamu ke dalam agama Islam)”. Anak itu melihat kepada bapanya yang berada di sisinya, lalu bapanya itu berkata kepadanya:”Patuhlah kepada seruan Abu al-Qasim ini.“ (mendengar bapanya berkata demikian) dia terus menerima agama Islam (dengan mengucapkan dua kalimah syadahadah). Selepas itu nabi s.a.w keluar dari tempat itu lantas bersyukur kepada Allah dengan ucapan:”Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan dari api neraka.” (HR Bukhari)

Pengajaran Hadis :

Antara adab menziarahi orang sakit ialah:

1. Jangan duduk terlalu lama ketika menziarahi pesakit kerana perbuatan ini boleh mengganggunya.

2. Ketika berada disisinya, hendaklah kita sentuh dan pegang tangannya kemudian letakkan tangan di dahinya dan tanya tentang penyakit dan keadaannya sekarang.

3. Hendaklah kita doakan agar cepat sembuh dengan menyebut: Semoga Allah menyembuhkan... (sebutkan nama dan pangkatnya).

4. Doa dan ceritakan tentang kelebihan sakit yang dialami oleh para sahabat, Rasul dan Nabi dan juga orang beriman supaya pesakit itu tidak merasa resah gelisah terhadap kesakitan yang dialaminya.

5. Berikanlah nasihat-nasihat yang baik serta ucapkan perkataan “Sabarlah sakit ini adalah salah satu ujian Allah dan cubaan semata-mata di atas ketakwaan seseorang terhadap Allah kerana sakit ini juga, seseorang memperolehi ganjaran pahala yang banyak”.

6. Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya. Sekiranya kita makan makanan tersebut, hilanglah pahala ibadah ziarah itu.

7. Sunat dibacakan doa untuknya yang bermaksud: “Ya Allah ! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dariMu jua, sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. (Riwayat at-Tirmizi)

8. Menziarahi orang sakit adalah salah satu amalan baik yang digalakkan oleh Islam. Hal ini bukan sahaja akan mengeratkan hubungan persaudaraan ataupun ikatan kasih-sayang taetapi juga merupakan satu kaedah merawat penyakit secara psikologi kerana dengan kunjungan tersebut diharapkan akan mendatangkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi harapan kepadanya untuk segera sembuh dari sakitnya itu.

9. Sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, kita hendaklah berkata atau bersikap lemah lembut kepada pesakit dan mengucapkan perkataan yang baik kepadanya seperti mendoakan kesihatannya dan sebagainya. Jangan sekali-kali membicarakan sesuatu yang menambahkan kesedihannya apalagi memutuskan harapannya untuk sembuh.

10. Ulama’ telah membahagikan golongan kafir ini kepada empat golongan iaitu kafir harbi, kafir zimmi, kafir muahad dan kafir musta’min. Sama ada golongan kafir ini adalah terdiri dari kalangan saudara-mara, jiran atau mereka yang berminat dengan Islam, kita amat digalakkan menziarahi mereka semasa hidupnya lebih-lebih lagi ketika ia sedang sakit. Hal ini termasuk dalam lingkungan tanggungjawab sosial yang perlu diberi perhatian sebagai lambang syiar Islam selaku agama yang menyuruh umatnya mengamalkan kehidupan yang harmoni.

2 comments:

zainal said...

Ziarah memberi manfaat kepada kepada yang diziarahi, yang menziarahi dan kedua-dua yang menziarah dan diziarah.

2.Orang yang diziarahi akan rasa terhibur, gembira, mendapat tenaga psikik dari mereka yg datang menziarahinya. Ini adalah kerana orang yang datang menziarahi membawa rahmat & doa yg boleh memberi kekuatan dalaman kepada pesakit.

3.Orang yang menziarahi juga mendapat manfaat kerana timbul kesedaran apabila melihat pesakit,kerdil diri kerana mungkin kita juga akan diuji oleh Allah.

3.Kedua-dua belah pihak yang diziarahi dan yang menziarahi juga dapat manfaat kerana jalinan silaturahim yang makin erat, bertambah kasih sayang dan rasa saling hormat. Ini akan membawa kepada kesatuan umat.

"Ziarahlah untuk sesama insan kerana Allah"

Wallahuaklam.

Anonymous said...

Rumah ada orang sakit..
Penuh dengan kanak2..
Like, seriously..?

Orang sakit perlu diziarahi..
Tapi elak kan berlama2 lebih2 lagi yang punya anak kecil..

Walaupun keluarga..
Yang punya anak, kadang2 boleh berfikir sedikit wajar..

Contoh Ibu sakit..
Mungkin kita perlu sedikit masa & ruang untuk menemaninya tanpa riuh rendah anak2 yang berlari ke sana sini..

Maaf..
Cuma pandangan saya..