Friday, June 3, 2011

Bulan Rejab

Jumaat, 1 Rejab 1432H : Rejab secara bahasa bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan pada bulan ini. Di antara kabilah Arab yang ekstrem dalam mengagungkan bulan Rejab ini adalah bani Mudhar.


Di dalam kalendar umat Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – al-Tawbah (9) : 36


Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu” di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.


Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662


Ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T.. Justeru itu telah tersebar dalam masyarkat kita behawa terdapat amalan-amalan yang dikhaskan sempena bulan Rejab ini dan ianya memiliki fadilat-fadilat yang besar. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamakk hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, (edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta, 2004) ms. 152.


PUASA REJAB


Adalah masyhur di sisi masyarkat kita bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 1hb Rejab, hari Khamis minggu pertama bulan Rejab, Nisfu Rejab dan 27hb Rejab sempena Israk Mikraj. Untuk menguatkan hujah puasa-puasa sunat ini maka diketengahkan beberapa riwayat-riwayat palsu serta lemah bersertakan ganjaran pahala yang besar. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h di dalam Majmu’ Fatawa:


Adapun puasa bulan Rejab secara khusus disandarkan kepada hadis-hadis yang kesemuanya dha’if (lemah) bahkan maudhu’ (palsu) yang tidak dijadikan sebagai hujah oleh ahli ilmu dan bukan pula termasuk hadis dha’if yang dikategorikan dalam amalan-amalan mulia tetapi hadis-hadis dha’if yang masuk dalam kategori hadis dusta. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry (edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003), ms. 243-244.


Ibnu Rajab di dalam al-Mughni pula berkata:
Mengenai keutamaan puasa khusus pada bulan Rejab, tidak ada satupun hadis sahih yang diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. mahupun para sahabat. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah, ms. 245.


Syaikh Sayyid Sabiq r.h pula berkata:
Mengenai puasa pada bulan Rejab, tiada kelebihan yang menonjol baginya berbanding bulan-bulan lain melainkan ia termasuk bulan-bulan suci. Dan tidak diterima dari sunnah keterangan yang sah bahawa berpuasa pada bulan itu mempunyai keistimewaan khusus. Ada juga diterima riwayat (tentang keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), tetapi tidak dipertanggung-jawabkan sebagai hujah – Sayyid Sabiq, Fiqhu as-Sunnah (edisi terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990), jilid 3, ms. 205.


Sungguhpun begitu apa yang ditemui adalah riwayat daripada para sahabat Nabi yang melarang puasa pada bulan Rejab. Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan daripada Kharsyah bin Hurr yang berkata: Saya melihat ‘Umar r.a membuat makanan untuk manusia pada bulan Rejab hingga mereka meletakkanya di dalam mangkuk besar. ‘Umar berkata: Makanlah, kerana ini adalah bulan yang diagungkan oleh orang-orang jahiliyah. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannif, jilid 3, ms. 102
Malah Saidina ‘Umar juga dikatakan telah memukul tangan mereka yang berpuasa pada bulan Rejab


Daripada Atha’, dia berkata: “Ibnu ‘Abbas melarang puasa pada bulan Rejab seluruhnya, agar tidak dijadikannya sebagai hari besar (hari raya). – Hadis riwayat Abdurrazaq dalam Mushannif, no: 7854. Selain dari itu terdapat juga di kalangan masrakat kita yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Amalan ini juga sebenarnya tidak memiliki sebarang dalil yang sah. Imam Ibnul Qayyim r.h berkata:


Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan tersebut secara terus menerus seperti yang dilakukan sebahagian orang dan baginda sama sekali tidak berpuasa pada bulan Rejab dan baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada bulan Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, ms. 152. Meskipun begitu sekiranya seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab tanpa niat mengagungkan bulan tersebut sebagaimana golongan jahiliah dan tidak menyakini fadilat-fadilat palsu yang dikaitkan dengan puasa pada bulan Rejab tersebut atau dia hanya berpuasa bertepatan dengan hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis, puasa Ayyam al-Bidh (puasa pada tarikh 13,14 dan 15 setiap bulan) atau Puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) dalam bulan Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan oleh syarak. Wallahu a’lam.


SOLAT BULAN REJAB


Terdapat beberapa solat yang dikhususkan sempena bulan Rejab seperti solat pada malam pertama bulan Rejab, solat Nisfu Rejab, solat pada malam 27hb Rejab dan yang paling diketahui ramai yakni solat yang dikerjakan pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rejab yang dikenali sebagai solat Raghaib. Kesemua dalil tentang solat-solat khusus sempena bulan Rejab ini adalah sama ada dha’if atau mawdhu’ sebagaimana yang telah diperkatakan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar r.h dalam Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab. Tentang solat Raghaib ini Imam al-Nawawi yang juga merupakan seorang tokoh dalam mazhab Syafie telah berkata di dalam Fatawa an-Nawawi (ms. 40): Solat Raghaib adalah bidaah yang tercela, mungkar dan sangat diingkari, yang mencakup kemungkaran-kemungkaran sehingga harus ditinggalkan, ditentang dan diingkari pelakunya. Kepada para penguasa harus melarang manusia dari melaksanakan solat ini kerana mereka adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas rakyatnyaPara ulamak telah menulis buku-buku khusus tentang masalah ini untuk mengingkari dan mencelanya serta membodohkan pelakunya. Janganlah kita terperdaya oleh banyaknya orang yang melakukannya di banyak negara Islam dan jangan pula tergoda kerana solat itu tertulis dalam kitab Quut al-Qulub (karya Muhammad bin Ali bin Athiyah al-Ajami al-Makki) dan Ihya’ ‘Ulum ad-Din (karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali) dan sebagainya kerana kedua solat itu iaitu (solat Raghaib dan solat Nisfu Syaaban) itu adalah bidaah yang batil. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, ms. 286.


UMRAH PADA BULAN REJAB


Terdapat juga pandangan bahawa pada bulan Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu menurut ‘Aisyah r.a Rasulullah s.a.w tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada bulan Rejab.Daripada Mujahid dia berkata: Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a sedang duduk di samping bilik Saidatina ‘Aisyah r.a ... Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah? Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah s.a.w. melakukan umrah. Dia (Ibnu ‘Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada bulan Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya.Dia (mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu ‘Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada ‘Aisyah r.a: Wahai ibu orang-orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu ‘Abdurrahman? Dia berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi s.a.w. pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu ‘Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni ‘Aisyah) ikut bersama baginda dan baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Umrah, no: 1775 & 1776.


Ternyata Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengerjakan umrah pada bulan Rejab dan tidak ada juga riwayat yang sabit daripada baginda yang menganjurkan umrah dikerjakan pada bulan Rejab. Oleh itu pendapat yang lebih tepat adalah bahawa ibadah umrah tidak memiliki keutamaan tertentu sekiranya dikerjakan pada bulan Rejab malah tidak ada dalil yang kuat menunjukkan ianya disunnahkan untuk dikerjakan pada bulan tersebut. Riwayat-riwayat yang menunjukkan terdapat dikalangan generasi salaf yang mengerjakan umrah pada bulan Rejab bukan menunjukkan mereka telah berniat untuk mengkhususkan bulan itu untuk berumrah. Namun tujuan mereka adalah untuk melaksanakan haji dan umrah dalam dua waktu atau perjalanan yang berbeza.


‘ATIRAH BULAN REJAB


‘Atirah adalah haiwan yang disembelih pada bulan Rejab yang digunakan oleh orang-orang Arab jahiliyah untuk mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka. Ianya dilaksanakan pada sepuluh hari pertama bulan Rejab dan haiwan yang biasanya dipergunakan untuk ritual ini adalah kambing. Terdapat sesetengah umat Islam yang masih melaksanakan ‘Atirah ini berpandukan beberapa hadis seperti dibawah.


Al-Harith bin Amru pernah bertanya Rasulullah s.a.w. tentang ‘Atirah maka jawab baginda:
Sesiapa yang mahu menyembelih ‘Atirah silakan menyembelih dan siapa yang tidak mahu jangan menyembelih. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Fara’ wa al-‘Atirah, no: 4154


Sabda Rasulullah s.a.w.: Wahai manusia, kepada setiap ahlul bait diwajibkan untuk berkurban dan menyembelih ‘Atirah setiap tahun. Tahukah kalian apa itu ‘Atirah? Iaitu apa yang kalian namakan Rajaban. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Adhahi, no: 1438.


Namun hadis-hadis tersebut hanya menunjukkan ‘Atirah telah dibenarkan perlaksanaanya pada zaman awal kedatangan Islam sedangkan ia telah dimansuhkan hukumnya setelah itu sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. seperti diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:
Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah. Fara’ ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan induknya (ibu unta tersebut) akan lebih banyak melahirkan anak. Sedangkan ‘Atirah adalah kambing yang disembelih pada sepuluh hari pertama bulan Rejab. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Aqeeqah, no: 5473.


Imam Ibnul Qayyim r.h di dalam Tahdzib Sunan Abi Dawud berkata:
Orang-orang Arab mengerjakan tradisi (al-‘Atirah) itu pada masa jahiliah, lalu dikerjakan sebahagian orang Islam sehingga Rasulullah s.a.w. memerintahkannya, tetapi setelah itu baginda melarangnya seraya bersabda “Tidak ada lagi Fara’ dan juga ‘Atirah” sehingga umat Islam setelah itu dilarang mengerjakan ‘Atirah. - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, ms. 241.


Namun ini bukan bermakna dilarang sama sekali untuk menyembelih haiwan pada bulan Rejab. Yang dilarang adalah menghidupkan semula al-‘Atirah atau menyembelih haiwan dengan niat untuk mengagungkan bulan Rejab sebagaimana golongan Arab jahiliah. Wallahu a’lam.



SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ


Setiap kali apabila munculnya tarikh 27 Rejab maka umat Islam seluruh dunia akan rancak membincangkan tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Pelbagai program keagamaan diatur demi memuliakan peristiwa bersejarah tersebut. Hal ini merupakan satu usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam kepada peristiwa-peristiwa bersejarah yang mana di dalamnya terdapat pelbagai pengajaran bermanfaat. Rata-rata umat Islam di Malaysia yakin bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memang benar-benar berlaku pada 27 Rejab. Seolah-olah ia telah disepakati di kalangan para ulamak ahli sunnah wal jamaah. Hakikat yang sebenar adalah wujudnya perbezaan pendapat di kalangan para ulamak tentang tarikh terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tersebut. Hal ini telah diperjelaskan oleh al-Hafidz Ibu Hajar al-'Asqalani r.h:
Para ulamak berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum baginda dilantik menjadi Nabi. Pendapat ini ganjil (syaz) kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulamak berpendapat setelah baginda menjadi Nabi. Mereka juga berselisih tentang tarikh sebenar peristiwa ini.Antara mereka ada yang menyatakan peristiwa ini berlaku setahun sebelum hijrah. Ini merupakan pendapat Ibn Sa'd dan yang lainnya dianggap benar oleh Imam al-Nawawi dan Ibn Hazm. Bahkan, Ibn Hazm berlebihan dengan menukil kononnya ulamak telah berijmak bahawa peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal. Dakwaan ijmak ini tertolak kerana terdapat perselisihan yang banyak, iaitu lebih dari sepuluh pendapat." – Rujuk Kitab Fathul Baari Syarah Shahih al-Bukhari, (edisi terjemahan dengan tajuk Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta 1997),jilid. 7, ms. 203.


Seterusnya al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan pendapat para ulama tersebut satu pesatu. Antara ringkasannya ialah:
1. Berlaku setahun sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Awal. Ini adalah pendapat Ibn Sa'd dan selainnya. Pendapat ini dibenarkan oleh Imam al-Nawawi.
2. Tarikh peristiwa ini berlaku ialah lapan bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rejab. Ini menurut pendapat Ibn Hazam. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rejab tahun ke 12 kenabian.
3. Ia berlaku enam bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan oleh Abu al-Rabie’ bin Saalim.
4. Ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah, iaitu pada bulan Rabiul Akhir. Ini pendapat Ibrahim bin Ishaq al-Harbiy. Katanya: Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir, setahun sebelum hijrah. Pendapat ini dibenarkan Ibn al-Munayyir di dalam Syarh al-Sirah karya Ibn Abdul Bar.
5. Setahun dua bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Abdul Bar.
6. Setahun tiga bulan sebelum hijrah. Pendapat ini disampaikan oleh Ibn Faaris.
7. Setahun lima bulan sebelum hijrah. Ini adalah pendapat al-Suddiy.
8. Lapan belas bulan sebelum hijrah dan jatuh pada bulan Ramadan. Pendapat ini disampaikan Ibn Saad, Ibn Abi Subrah dan Ibn Abdul Bar.
9. Berlaku pada bulan Rejab tiga tahun sebelum hijrah. Pendapat ini di sampaikan Ibn al-Atsir.
10. Lima tahun sebelum hijrah. Ini menurut pendapat Imam al-Zuhriy dan dibenarkan oleh al-Qadhi ‘Iyaadh’.
Dari sini, benarlah dakwaan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini. Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie r.h menegaskan:
Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada bulan Rejab. Dalam hal ini, menurut ahli al-Jarh wa al-Ta’dil (ulamak hadis) hal itu merupakan pembohongan. – Rujuk Kitab al-Ba’its karya Abu Syamah Abdul Rahman bin Ismail, ms. 171.
Ibn Rajab al-Hanbali r.h pula berkata:
Telah diriwayatkan bahawa pada bulan Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w lahir pada awal malam bulan Rejab, diangkat menjadi Nabi pada tarikh 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih. – Rujuk Kitab Latoif al-Ma’aa-rif karangan Ibn Rajab Abdul Rahman bin Ahmad, ms. 168.


PENGAJARAN DARI PERSELISIHAN INI


Apa kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat tentang tarikh peristiwa Israk dan Mikraj ini? Tidakkah ia hanya akan menimbulkan kekeliruan? Bagi penulis, apabila kita ingin menyampaikan ilmu berkaitan agama kita hendaklah berlaku adil dan memastikan kesahihan fakta.


Walaupun sesuatu perkara yang ingin kita sampaikan itu bertentangan dengan pandangan majoriti masyarakat setempat. Namun, kita tetap mesti bersifat amanah demi menjaga ketulenan agama. Pengajaran yang dapat kita ambil dari pendedahan ini adalah:
1. Kita perlu mempertingkatkan kefahaman kita terhadap agama ALLAH. Jangan kita menelan bulat-bulat apa yang disuapkan oleh pihak lain terhadap kita. Kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami ajaran sebenar Rasulullah s.a.w agar dapat membezakan antara perkara hak dan batil. Hal ini hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan kita dalam mempelajari ilmu-ilmu agama. Ketahuilah bahawa menuntut ilmu itu diwajibkan ke atas setiap Muslim.


Sabda Nabi s.a.w: "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim." - Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Muqaddimah, hadis no: 220.


ALLAH juga meninggikan darjat mereka yang memiliki ilmu melalui firman-NYA:
"ALLAH akan meninggikan kedudukan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat." – Surah al-Mujadilah: 11.


Ini merupakan ganjaran paling besar bagi mereka yang berusaha bersungguh-sungguh mempelajari apa jua bidang ilmu terutamanya ilmu-ilmu berkaitan agama. Sekiranya kita hanya berpuas hati dengan ilmu agama yang telah dipelajari ataupun yang telah kita warisi secara turun-temurun tanpa mempunyai niat untuk mempertingkatkannya, natijahnya kita hanya berpegang kepada pendapat bahawa tarikh peristiwa Israk dan Mikraj tersebut berlaku pada malam 27 Rejab kononnya menurut ijmak para ulama.


Oleh itu, dalami ilmu agama dari sumber sahih bersumberkan al-Quran dan sunnah menurut fahaman generasi salafussoleh. Siapakah generasi salafussoleh? Mereka adalah generasi terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabda Nabi s.a.w: "Sebaik-baik generasi ialah generasiku (sahabat), kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ al-Tabi’in)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, hadis no: 3650.


Inilah manhaj sebenar ahli sunnah wal jamaah, iaitu mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w sama ada berupa iktikad, ibadah, muamalah atau akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh generasi salafussoleh dan para pengikut mereka hingga ke hari ini.


2. Apabila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj tidak diketahui secara jelas oleh generasi salafussoleh, ini menunjukkan bahawa mereka tidak mengkhususkan apa-apa upacara sambutan atau amal ibadah tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa yang khusus sempena tarikh tersebut.


Ada golongan yang lebih ekstrem beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab ini adalah lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Sekiranya terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti tentang bila sebenarnya ia berlaku sebagaimana amalan sunnah lain yang ditentukan waktu amalannya seperti puasa ‘Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharram, puasa pada hari-hari 'putih', iaitu pada tarikh 14, 15 dan 16 setiap bulan, beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan lain-lain lagi.


Ini semua hanya memperlihatkan bahawa tidak terdapat amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Sekiranya memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama yang akan melaksanakannya adalah Rasulullah s.a.w, para sahabat serta generasi salafussoleh yang lain.


Namun, tidak ada satu riwayat yang sahih daripada baginda, para sahabat serta generasi salafussoleh termasuk imam-imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad tentang wujudnya amal-amal ibadah tertentu sempena malam Israk dan Mikraj.


Menurut Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry r.h: "Pembacaan kisah al-Mikraj dan berkumpul untuk merayakannya pada malam 27 Rejab adalah bidaah. Sementara oang yang mengistimewakan malam tersebut dengan zikir dan ibadah adalah bidaah. Doa-doa yang khusus dibaca pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan hanyalah ciptaan manusia dan bidaah. Sekiranya amalan-amalan tersebut baik, sudah pasti para sahabat telah melakukannya terlebih dahulu. Juga tidak ada dalil pasti yang menetapkan bilanya terjadi peristiwa Israk dan juga bulannya." - Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry (edisi terjemahan bertajuk Bidaah -Bidaah yang Dianggap Sunnah), ms. 153-154.


Ibn al-Haj al-Maliki r.h berkata: “Antara bidaah yang diciptakan pada malam 27 Rejab adalah sambutan malam Israk dan Mikraj.” – Rujuk Kitab al-Madhkal karangan Ibn al-Haj, jil. 1, ms. 294.


3. Ulama ahli sunnah wal jamaah melihat pentingnya sentiasa berpegang teguh dengan sunnah Nabi s.a.w dalam melakukan amal ibadah. Setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada Nabi s.a.w, ia tertolak walaupun dianggap baik.Para ulama ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh ALLAH. Amat penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia dan tidak diterima oleh ALLAH. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana ALLAH dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w. yang tsabit.


Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, amal ibadah tersebut dianggap terbatal dan tidak diterima.
Firman ALLAH S.W.T: "DIAlah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan DIA Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." – Surah al-Mulk:


2. Maksudَ ‘yang lebih baik amalannya’ adalah sebagaimana tafsiran Fudhail bin ‘Iyaadh r.h, iaitu: "Yang paling ikhlas dan yang paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh), apakah yang dimaksudkan dengan yang paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas akan tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas nescaya tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana ALLAH dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” - Dinukil daripada Kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, jil. 2, ms. 258.


Berlandaskan pada kaedah ini maka para ulama ahli sunnah wal jamaah menolak untuk mengkhususkan amalan tertentu pada malam 27 Rejab sempena peristiwa Israk dan Mikraj kerana Nabi s.a.w tidak pernah memerintahkan umatnya untuk melakukannya. Imam Ibn Nuhas al-Syafie r.h berkata: "Sesungguhnya peringatan malam Israk dan Mikraj adalah bidaah yang besar dalam agama yang dibuat oleh Ikhwan al-Syayatin (sahabat-sahabat syaitan)." – Rujuk Tanbih al-Ghafilin karya Ibn Nuhas, ms. 379-380.


Sewajarnya umat Islam memastikan bahawa amal ibadah mereka benar-benar bebas dari syirik ataupun riak dan ia ikhlas hanya ditujukan untuk mendapat keredhaan ALLAH. Di samping itu, kita juga wajib mengamalkan ibadah yang benar-benar berasaskan sunnah Nabi s.a.w dan bebas dari amalan-amalan bidaah kerana semua bidaah menyesatkan walaupun nampak seperti amalan yang boleh membawa kepada kebaikan.


Kita hendaklah benar-benar faham bahawa mencontohi Rasulullah s.a.w adalah bukti jelas menunjukkan kecintaan kita kepada ALLAH sebagaimana firman-NYA:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutlah aku, pasti ALLAH Mengasihi kamu serta Mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." – Surah Ali Imran: 31.


4. Ahli sunnah wal jamaah berkeyakinan bahawa syariat Islam telah sempurna sebelum Rasulullah s.a.w wafat dan tidak memerlukan ciptaan amalan-amalan baru yang tidak pernah dianjurkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang ada pada zaman Rasulullah s.a.w tidak termasuk sebahagian syariat agama maka ia juga tidak akan menjadi sebahagian agama pada hari ini dan buat selama-lamanya.


Oleh itu, segala amal ibadah para ahli sunnah wal jamaah sentiasa berdalil kepada sunnah Nabi s.a.w yang tsabit dan meninggalkan amal ibadah yang hanya berdasarkan rekaan manusia serta hadis-hadis lemah atau palsu. Mereka menggabungkan antara ilmu dan ibadah. Ini berbeza dengan golongan selain mereka yang melakukan amal ibadah tanpa ilmu sehingga amalan-amalan bidaah mudah meresap dan kemudiannya dianggap sunnah.


Sekiranya pada zaman Rasulullah s.a.w masih hidup, baginda langsung tidak pernah menyuruh para sahabat menghidupkan malam 27 Rejab dengan amalan-amalan khusus sempena memperingati malam Israk dan Mikraj, maka dapat kita fahami bahawa hal tersebut bukan sebahagian dari agama pada hari ini dan selama-lamanya.


Tidak dapat dinafikan lagi bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan tanda kebesaran ALLAH dan ia membuktikan betapa tingginya darjat sayyidul mursalin (penghulu segala rasul), iaitu Muhammad bin Abdullah s.a.w.
Firman ALLAH S.W.T: "Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari masjidilharam (di Makkah) ke masjidilaqsa (di Palestin, yang KAMI berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KAMI. Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." – Surah al-Israa’: 1.


Melalui peristiwa tersebut terdapat begitu banyak pelajaran yang begitu bermanfaat yang tidak selayaknya sekiranya ia hanya ingin diketengahkan pada tarikh 27 Rejab. Mari kita perhatikan beberapa pegajaran penting dari peristiwa tersebut secara ringkas:
a. Ia membatalkan fahaman bahawa ALLAH berada di mana-mana sebagaimana iktikad kelompok menyeleweng seperti Muktazilah dan Jahmiyah. Melalui peristiwa ini Nabi Muhammad s.a.w telah di angkat ke atas langit untuk bertemu dengan ALLAH. Ini membenarkan iktikad bahawa ALLAH bersemayam di atas ‘Arasy yang terletak di atas langit.


Firman ALLAH S.W.T: "ALLAH yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian DIA bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain daripada ALLAH. Oleh itu, tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredhaan-NYA)?." - Surah al-Sajadah (32) :


4.Iktikad ini juga telah disepakati oleh imam-imam mazhab yang empat termasuk Imam Syafie r.h. Imam al-Zahabi r.h telah menyebutkan di dalam kitabnya al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar bahawa Imam Syafie r.h pernah berkata:“Pendapatku tentang sunnah, di mana aku berpegang kepadanya dan juga sebagaimana ia menjadi pegangan orang-orang yang aku lihat seperti Sufyan, Malik dan lain-lain, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa tiada TUHAN selain ALLAH dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasulullah serta beriktikad bahawa ALLAH itu berada di atas Arasy-NYA yang terletak di atas langit-NYA.” - Rujuk kitab Manhaj Akidah Imam al--Syafie karya Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil, ms. 282.


b. Melalui peristiwa inilah ALLAH telah memfardukan ibadah solat sebanyak lima waktu sehari. Ini membuktikan keagungan serta keistimewaan ibadah solat ini berbanding dengan ibadah-ibadah lain. Tidak seperti ibadah lain, kewajipan ibadah solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad s.a.w pada malam berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.


c. Peristiwa ini juga membuktikan bahwa Rasulullah s.a.w memilki status yang lebih tinggi berbanding rasul-rasul yang lain. Ketika Israk baginda telah menjadi imam kepada semua para Nabi dan Rasul, iaitu mengerjakan solat dua rakaat di dalam masjidilaqsa. Oleh itu, sewajarnya kita taat kepada ajarannya serta menghindari segala larangannya.


d. Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan balasan ngeri yang dikenakan kepada penghuni neraka yang melakukan dosa-dosa besar seperti mengumpat dan manusia yang menyeru ke arah kebaikan namun dia sendiri tidak mengamalkannya.


e. Rasulullah s.a.w juga telah diperlihatkan keindahan syurga melalui peristiwa ini dan ia boleh dijadikan sumber motivasi untuk kita melakukan perkara-perkara yang makruf.


f. Melalui peristiwa ini juga kita dapat mempelajari nilai-nilai murni yang terdapat dalam diri para sahabat. Ketaatan serta keyakinan tanpa berbelah-bahagi kepada Rasulullah s.a.w jelas kelihatan di dalam jiwa mereka apabila menerima berita yang dianggap tidak munasabah oleh golongan musyrik Makkah. Ketika dikhabarkan berita ini walaupun dianggap tidak logik oleh golongan musyrikin, namun Abu Bakar r.a hanya menjawab:
"Sesungguhnya aku telah membenarkan baginda terhadap apa yang lebih jauh dari ini. Aku membenarkan baginda terhadap berita dari langit yang baginda bawa." - Hadis riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak.


Jawapan daripada Abu Bakar al-Shiddiq tentang peristiwa ini menunjukkan keyakinan serta ketaatan tanpa berbelah-bahagi kepada baginda. Walaupun baginda telah lama wafat, namun umat Islam pada zaman ini masih boleh menunjukkan ketaatan yang sama sebagaimana amalan generasi para sahabat dengan mematuhi segala perintah Rasulullah s.a.w dan menghindari segala larangan. Selain itu, dia perlu mengamalkan segala sunnahnya dan menjauhkan segala bentuk amalan bidaah, syirik, khurafat dan perkara lain yang membawa kepada kekufuran.


Perkara-perkara yang telah penulis gariskan di atas merangkumi hal-hal berkaitan akidah, ibadah, muamalah serta akhlak yang amat penting dan ia memerlukan penjelasan yang berterusan terhadap umat Islam keseluruhannya dan bukan sekadar menanti setahun sekali, iaitu pada tarikh 27 Rejab.


Demikianlah beberapa perbahasan tentang amalan-amalan yang dianggap sunnah pada bulan Rejab. Kesimpulannya tidak ada dalil yang sah menunjukkan adanya amalan-amalan khusus seperti solat, puasa, umrah, zikir-zikir, bacaan istighfar tertentu, doa-doa sempena bulan Rejab. Hendaklah seluruh umat Islam menghindari amalan-amalan yang tidak pernah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sewajarnya kita tetap taat dalam mengikuti hanya amalan-amalan yang sabit daripada baginda s.a.w.. Ini adalah kerana setiap amalan yang tidak ada contohnya daripada baginda ianya tidak diterima sebagai ibadah. Sabdanya: Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Sulh, no: 2697.


Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Aqdhiyah, no: 1718.


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

1 comment:

zainal said...

Amalan yang baik ialah sedikit tetapi istiqamah.

Wallahuaklam