Thursday, October 20, 2011

Berpuasa Pada Hari Arafah

Khamis,22Zulkaedah 1432H : Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang." (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari 9 Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

2. Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:
Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah rha)

3. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang. Ini bermakna Islam sentiasa mengawal setiap tindak tanduk umatnya di mana setiap amalan yang dikerjakan dan bertepatan dengan kehendak syarak akan diganjari pahala termasuklah juga perkara makan dan minum.

1 comment:

zainal said...

Sungguhpun tidak bersama di Arafah. Ganjaran meraikan haji dengan berpuasa pada hari Arafah adalah besar ganjarannya.

2. Ajaran Islam penuh dgn keadilan. Ia sentiasa membuatkan umatnya merasa dihargai/bernilai. Umpama, jika tidak mampu bersedekah, bykkanlah bertasbih, tahmid kerana itu pun dikira sedekah. Apa yg penting ialah "AMALAN".

Wallahuaklam.