Wednesday, December 17, 2025

Tempoh Berkabung Wanita Kerana Kematian

Rabu,  26 Jamadil Akhir 1447H  |  Tempoh Berkabung Wanita Kerana Kematian

عن أُمُّ حَبِيبَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا سَمِعْتُ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يقولُ: لا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ باللَّهِ واليَومِ الآخِرِ، أَنْ تُحِدَّ علَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ، إلَّا علَى زَوْجٍ، فإنَّهَا تُحِدُّ عليه أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وعَشْرًا

Daripada Ummu Habibah RA, aku telah mendengar Nabi SAW bersabda: 'Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkabung atas kematian seseorang lebih dari tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, maka dia berkabung selama empat bulan sepuluh hari.'" (HR Bukhari No: 1486) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Al-Ihdad atau berkabung ialah meninggalkan perhiasan, wangian, bersolek dan pakaian yang menarik perhatian selama tempoh tertentu selepas kematian seseorang sebagai tanda duka dan kesedihan terhadap kematian seseorang.

2.  Tempoh berkabung bagi wanita:

a)  3 hari sahaja untuk kematian selain suami (contohnya ibu, ayah atau anak).
b)  4 bulan 10 hari untuk isteri kematian suami (iddah)

3.  Menurut Ibn Qudamah dalam al-Mughni, wanita yang dalam tempoh iḥdad dilarang berhias, bersolek, memakai bau-bauan, atau keluar tanpa keperluan syarie, kecuali untuk hal darurat (seperti berubat atau bekerja jika tiada penanggung).

4.  Al-Nawawi menyatakan bahawa seorang perempuan dibenarkan untuk berkabung atas kematian seseorang selain daripada suaminya selama tiga hari sahaja. Jika ia melebihi daripada itu, maka haram hukumnya menurut mazhab al-Syafi’i.

5.  Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa larangan melebihi tiga hari untuk berkabung adalah untuk menjaga kebajikan wanita, agar tidak berlarutan dalam kesedihan dan boleh kembali kepada rutin kehidupannya.

6.  Hadis ini menjelaskan bahawa Islam tidak membiarkan manusia hanyut dalam kesedihan, sebaliknya meletakkan batasan dan panduan dalam menghadapi kehilangan orang tersayang.


Tuesday, December 16, 2025

Larangan Wanita Bermusafir Tanpa Mahram

Selasa, 25 Jamadil Akhir 1447H  | Larangan Wanita Bermusafir Tanpa Mahram

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، أَنْ تُسَافِرَ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ عَلَيْهَا

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal (haram) bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan (musafir) sejauh sehari semalam perjalanan, melainkan bersama-sama mahramnya (lelaki yang haram dinikahi secara kekal)." (HR Bukhari No: 1088) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam sangat menitikberatkan keselamatan dan maruah wanita, terutama apabila bermusafir jauh.

2.  Wanita beriman dilarang bermusafir tanpa ditemani mahram jika jarak perjalanan jauh yang mengambil masa sehari semalam sama ada melalui darat, udara atau laut kerana boleh mendedahkan wanita kepada fitnah atau bahaya.

3.  Larangan ini adalah bertujuan menjaga keselamatan dan maruah wanita. Namun jika terdapat jaminan keselamatan dan keperluan mendesak, terdapat kelonggaran dengan syarat tertentu seperti bermusafir dalam rombongan yang aman dan dipercayai.

4.  Ulama’ mazhab Maliki dan juga al-Syafie mengatakan harus bagi wanita muslimah yang tidak memiliki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuhi syarat wajib haji tetapi hendaklahh ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 2/216-217, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/38]

5.  Mahram ialah lelaki yang haram dinikahi selama-lamanya seperti: ayah, abang, anak lelaki, bapa saudara, anak saudara, datok dan suami. Tanggungjawab mahram adalah melindungi dan menemani wanita dalam perjalanan penting.

6.  Larangan wanita bermusafir tanpa mahram bukan untuk menyulitkan, tetapi untuk melindungi.


Monday, December 15, 2025

Larangan Wanita Berwangian Keluar Rumah

Isnin, 24 Jamadil Akhir 1447H  | Larangan Wanita Berwangian Keluar Rumah

عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ، فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا؛ فَهِيَ زَانِيَةٌ

Daripada Abu Musa Al-Asyari, Rasulullah bersabda: "Mana-mana wanita yang memakai wangian, lalu dia berjalan melalui sekumpulan lelaki agar mereka dapat mencium baunya, maka dia adalah seorang penzina." (HR  Abu Daud No: 4173) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Islam sangat menekankan penjagaan maruah wanita, dan melarang segala bentuk perbuatan yang boleh membawa kepada fitnah.

2.  Wanita Muslimah tidak dibenarkan memakai minyak wangi berlebihan apabila keluar rumah, terutama di tempat awam yang terdapat lelaki bukan mahram.

3.  Dilarang wanita memakai wangian yang kuat dan sengaja memakainya untuk menarik perhatian kaum lelaki bukan mahram.

4.  Lafaz “dia adalah penzina” bukan bermaksud dia berzina secara fizikal, tetapi sebagai bentuk celaan keras terhadap perbuatan memakai wangian apabila keluar rumah boleh membawa kepada zina.

5.  Larangan ini adalah untuk menjaga kehormatan dan maruah wanita, menghalang fitnah yang boleh timbul daripada tarikan bau, rupa, atau gaya yang berlebihan serta menutup jalan ke arah zina hati, zina mata, dan zina pancaindera.


Sunday, December 14, 2025

Ucapan Untuk Pasangan Pengantin

Ahad, 23 Jamadil Akhir 1447H  | Ucapan Untuk Pasangan Pengantin

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَفَّأَ الْإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila menducapkan tahniah kepada seseorang yang baru berkahwin, baginda membaca: "BARAKALLAHU LAKA WA BARAKA 'ALAIKA WA JAMA'A BAINAKUMA FIL KHAIR (semoga Allah memberkati kamu dan memberkati atas pernikahan kamu, dan menghimpunkan kalian berdua dalam kebaikan)." (Sunan Tirmizi No: 1011) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Apabila seseorang mendapat kebaikan, kita digalak mengucapkan tahniah dan mendoakan kebaikan buat mereka.

2.  Perkahwinan adalah institusi yang perlu dimulai dengan keberkatan. Rumah tangga tidak dibina hanya atas cinta atau adat, tetapi dengan doa,  bimbingan dan rahmat Allah.

3.  Apabila ada orang yang berkahwin, kita disunahkan memberi ucapan dan mendoakan kepada pasangan pengantin yang kita raikan:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

"BARAKALLAHU LAKA WA BARAKA 'ALAIKA WA JAMA'A BAINAKUMA FIL KHAIR

(semoga Allah memberkati kamu dan memberkati atas pernikahan kamu, dan menghimpunkan kalian berdua dalam kebaikan).

4.  Mendoakan orang lain adalah amalan yang digalakkan dan membawa pahala. Ulama menyebut bahawa doa kepada orang lain, terutama pada momen gembira, menguatkan ukhuwah dan menggandakan ganjaran.


Saturday, December 13, 2025

Menghadiri Majlis Walimah

Ahad, 22 Jamadil Akhir 1447H  |  Menghadiri Majlis Walimah

عن ابن عمر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِذَا دُعِىَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Daripada Ibnu Umar dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu diundang ke majlis kenduri perkahwinan (walimah), maka hendaklah ia menghadirinya. (HR. Bukhari No: 5173). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Majlis walimah (kenduri perkahwinan) bertujuan untuk menzahirkan kesyukuran atas pernikahan di samping bertujuan untuk menghebahkan perkahwinan kepada Masyarakat.

2.  Ulama bersepakat bahawa wajib menghadiri kenduri perkahwinan apabila diundang jika majlis kenduri itu tidak bercampur aduk dengan maksiat.

Abu Hurairah mengatakan,

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ ، وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ ، وَمَنْ تَرَكَ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ – صلى الله عليه وسلم –

Seburuk-buruk makanan kenduri kahwin ialah kenduri yang hanya dijemput orang-orang kaya, dan tidak dijemput orang miskin. Sesiapa yang tidak memenuhi jemputan maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya SAW. (HR Bukhari No: 5177) Status: Hadis Sahih

3.  Syarat-syarat yang menjadikan seseorang wajib menghadiri kenduri perkahwinan:

a.  Jemputan tidak dikhaskan kepada orang-orang kaya sahaja
b.  Jemputan itu memang ditujukan khas kepada kita (bukan jemputan umum contohnya hanya diumumkan imam selepas solat untuk para jamaah
c.  Yang menjemput itu adalah Muslim
d.  Yang dijemput tidak mempunyai keuzuran seperti sakit dan sebagainya

4.  Haram menghadiri kenduri perkahwinan yang diisi dengan perkara maksiat. Akan tetapi jika seseorang mampu mengubah maksiat itu agar berhenti dengan kehadirannya, hendaklah dia hadir. Sebahagian ulama berpendapat boleh hadir kerana bukan kita yang melakukan maksiat itu.

5.  Ulama berbeza pendapat tentang hukum memenuhi jemputan kenduri selain majlis perkahwinan. Di sisi mazhab Syafie, hukum memenuhi jemputan kenduri selain perkahwinan adalah tidak wajib.

Hujung tahun ini ramai orang mengadakan majlis kenduri perkahwinan. Tunaikan jemputan jika tiada sebarang keuzuran syarie.


Friday, December 12, 2025

Dosa Disisi Mukmin dan Ahli Maksiat

Jumaat, 21 Jamadil Akhir 1447H  |  Dosa Disisi Mukmin dan Ahli Maksiat

عَنْ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا

Daripada Abdullah bin Mas’ud ra berkata, bahwa Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin (ketika) ia melihat dosa-dosanya, adalah seperti (ketika) ia duduk di lereng sebuah gunung, dan ia sangat khuatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika ia melihat dosa-dosanya adalah seperti ia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia mengusirnya seperti ini lalu terbang (ia menganggap remeh dosa).” (HR Bukhari No: 6309) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Di antara ciri keimanan seseorang kepada Allah adalah rasa takut dan khuatir yang sangat besar dan mendalam terhadap dosa yang dilakukannya walaupun kecil.

2.  Orang Mukmin, sentiasa merasa kepedihan yang mendalam jika berbuat dosa dan merasa takut, seumpama berada di lereng sebuah gunung dan khuatir gunung tersebut akan jatuh menimpanya.

3.  Seorang ahli maksiat tidak takut akan perbuatan maksiat dan dosa-dosanya, sehingga setiap hari hidupnya bergelumang dengan kemaksiatan dan dosa.

4.  Orang yang biasa berbuat dosa, menganggap remeh dosa-dosanya, seakan seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya, lalu mengusirnya (menganggap dosanya seperti hinggapan lalat saja).

5.  Sikap meremehkan dosa adalah tanda lemahnya iman. Seterusnya boleh membawa kepada kerosakan akhlak dan hilangnya rasa taubat.

6.  Seorang pelaku maksiat, apabila dilakukan berterusan, hatinya menjadi keras, maka mereka tidak akan peduli, atau malah berbangga diri ketika melakukan kemungkaran dan dosa. (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 294-295)

7.  Ibn al-Qayyim menyebut: “Jika hati sudah semakin gelap, maka amat sulit untuk mengenal petunjuk kebenaran.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/292)

Seorang Mukmin, apabila dia melihat sesuatu perbuatan dosa pada dirinya, maka ia harus bersungguh-sungguh menjauhinya.


Thursday, December 11, 2025

Riyak dan Sum’ah Dalam Beramal

Khamis, 20 Jamadil Akhir 1447H  | Riyak dan Sum’ah Dalam Beramal

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda: Sesungguhnya manusia yang pertama kali dihisab pada Hari Kiamat ialah seseorang yang mati syahid, lalu diperlihatkan kepadanya segala nikmat yang telah diberikan kepadanya dan diapun mengakuinya. Allah bertanya kepadanya: 'Apa yang telah kamu lakukan dengan nikmat-nikmat itu di dunia wahai hamba-Ku?. Dia menjawab: 'Saya telah berjuang dan berperang demi Engkau ya Allah sehingga saya mati syahid.' Allah berfirman: ‘Kamu berdusta, sebenarnya kamu berperang bukan kerana untuk-Ku, melainkan agar kamu disebut sebagai orang yang berani. Kini kamu telah menyandang gelar tersebut.' Kemudian diperintahkan kepadanya supaya diseret di atas wajahnya kemudian dicampakkan ke dalam neraka. Dan didatangkan pula seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya dan pembaca Al-Quran yang membacanya, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan sehingga ia mengakuinya dengan jelas, Allah bertanya: 'Apa yang telah kamu lakukan dengan nikmat itu? ' Dia menjawab, 'Saya telah belajar ilmu dan mengajarkannya, saya juga membaca Al-Quran demi Engkau.' Allah berfirman: ‘Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang ‘alim (yang berilmu) dan engkau membaca al-Quran supaya dikatakan seorang qari’ (pembaca al-Qur-an yang baik). Kini kamu telah dikatakan seperti itu, kemudian diperintahkan kepadanya supaya diseret di atas wajahnya kemudian dicampakkan ke dalam neraka. Dan seorang lelaki yang diberi keluasan rezeki oleh Allah, kemudian dia menginfakkan hartanya semua, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan sehingga ia mengakuinya dengan jelas.' Allah bertanya: 'Apa yang telah kamu perbuat dengannya? 'dia menjawab, 'Saya tidak meninggalkannya sedikit pun melainkan saya infakkan harta benda tersebut di jalan yang Engkau ridhai." Allah berfirman: 'Kamu dusta, akan tetapi kamu melakukan hal itu supaya kamu dikatakan seorang yang dermawan, dan kini kamu telah dikatakan seperti itu.' Kemudian diperintahkan kepadanya supaya diseret di atas wajahnya kemudian dicampakkan ke dalam neraka." (HR Muslim No: 3527) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amal yang dilakukan tidak ikhlas malah dilandasi dengan riyak (untuk menunjuk atau dilihat manusia) dan sum’ah (beramal agar didengar oleh manusia) tidak akan diterima sebagai amal soleh.

2.  Syarat pokok diterima suatu amal soleh adalah ikhlas kerana Allah semata-mata, dan amal tersebut sesuai dan selari dengan contoh yang ditunjukkan oleh Sunnah Rasulullah SAW.

3.  Tiga golongan manusia yang dimasukkan ke dalam neraka dan tidak mendapat penolong selain Allah walaupun membawa amal yang besar, tetapi melakukannya kerana riyak dan ingin mendapatkan pujian dan sanjungan:

a.  Berjihad dan mati syahid supaya disanjung

b.  Belajar ilmu dan pembaca al-Quran supaya dipuji

c.  Dermawan harta supaya dilihat dan disebut-sebut

4.  Riyak dan sum'ah ialah syirik kecil yang merosakkan ibadah. Sesiapa yang melakukan ibadah kerana menginginkan pujian manusia, hakikatnya dia telah menghapuskan pahala ibadah tersebut. Dia tidak akan mendapatkan apa-apa ganjaran daripada Allah SWT kelak.

5.  Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam menyatakan bahawa niat adalah asas utama amalan, dan amalan yang tidak ikhlas bukan sahaja ditolak, bahkan membawa kepada azab.



Wednesday, December 10, 2025

Tunaikan Hak Orang Di Bawah Jagaan

Rabu, 19 Jamadil Akhir 1447H  | Tunaikan Hak Orang Di Bawah Jagaan

عن خَيْثَمَةَ، قال: كُنَّا جُلُوسًا مَعَ عَبْدِ اللَّهِ بنِ عَمْرٍو، إِذْ جَاءَهُ قَهْرَمَانٌ لَهُ، فَدَخَلَ، فَقالَ: أَعْطَيْتَ الرَّقِيقَ قُوتَهُمْ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَانْطَلِقْ فَأَعْطِهِمْ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَفَى بالمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يَحْبِسَ عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوتَهُ

Daripada Khaithamah, beliau berkata: "Ketika kami sedang duduk bersama Abdullah bin Amru, tiba-tiba datang seorang pembantu menemuinya.  Abdullah bertanya kepadanya: 'Adakah kamu telah memberikan makanan kepada hamba-hamba (rakyat atau pekerja) itu?' Dia menjawab: 'Belum.' Maka Abdullah berkata: 'Pergilah dan berikan kepada mereka.' Kemudian Abdullah berkata: 'Rasulullah SAW bersabda: Cukuplah seseorang itu berdosa apabila dia menahan makanan daripada orang yang berada di bawah tanggungannya.'" (HR Muslim No: 996) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Imam al-Nawawi menjelaskan dalam syarah Sahih Muslim bahawa hadis ini menunjukkan wajibnya memberikan nafkah kepada sesiapa yang berada di bawah tanggungan, termasuk hamba, isteri, anak-anak dan pekerja.

2.  Menafikan hak orang di bawah tanggungan seperti makan dan minum juga keperluan asasnya adalah berdosa.

3.  Penting setiap majikan memastikan kebajikan pekerja, termasuk membayar gaji tepat pada waktunya dan menyediakan kemudahan yang sewajarnya.

4.  Pemimpin atau majikan mesti bertanggungjawab penuh kepada pekerja di bawahnya. Tidak cukup sekadar melantik pembantu, tetapi juga perlu menyelia dan memastikan tanggungjawab terlaksana.

5.  Islam bukan hanya agama ibadah semata-mata, tetapi juga menuntut agar umatnya berlaku adil dan berperikemanusiaan terhadap semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya.


Tuesday, December 9, 2025

Tunaikan Hak Terhadap Harta dan Haiwan Ternakan

Selasa, 18 Jamadil Akhir 1447H  |  Tunaikan Hak Terhadap Harta dan Haiwan Ternakan

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ صَاحِبِ إِبِلٍ، لَا يَفْعَلُ فِيهَا حَقَّهَا، إِلَّا جَاءَتْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرَ مَا كَانَتْ قَطُّ، وَأُقْعِدَ لَهَا بِقَاعٍ قَرْقَرٍ، تَسْتَنُّ عَلَيْهِ بِقَوَائِمِهَا وَأَخْفَافِهَا. وَمَا مِنْ صَاحِبِ بَقَرٍ، لَا يَفْعَلُ فِيهَا حَقَّهَا، إِلَّا جَاءَتْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرَ مَا كَانَتْ، وَأُقْعِدَ لَهَا بِقَاعٍ قَرْقَرٍ، تَنْطَحُهُ بِقُرُونِهَا، وَتَطَؤُهُ بِقَوَائِمِهَا. وَلَا صَاحِبَ غَنَمٍ، لَا يَفْعَلُ فِيهَا حَقَّهَا، إِلَّا جَاءَتْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرَ مَا كَانَتْ، وَأُقْعِدَ لَهَا بِقَاعٍ قَرْقَرٍ، تَنْطَحُهُ بِقُرُونِهَا، وَتَطَؤُهُ بِأَظْلَافِهَا، لَيْسَ فِيهَا جَمَّاءُ، وَلَا مُنْكَسِرٌ قَرْنُهَا. وَلَا صَاحِبَ كَنْزٍ، لَا يَفْعَلُ فِيهِ حَقَّهُ، إِلَّا جَاءَ كَنْزُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ، يَتْبَعُهُ، فَاغِرًا فَاهُ، فَإِذَا أَتَاهُ فَرَّ مِنْهُ، فَيُنَادِيهِ رَبُّهُ عَزَّ وَجَلَّ: خُذْ كَنْزَكَ الَّذِي خَبَّأْتَهُ، فَأَنَا أَغْنَى مِنْكَ، فَإِذَا رَأَى أَنَّهُ لَا بُدَّ لَهُ مِنْهُ، سَلَكَ يَدَهُ فِي فِيهِ، فيَقضِمُها قَضْمَ الفَحْلِ

Daripada Jabir bin Abdillah Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seorang pemilik unta yang tidak menunaikan haknya (seperti zakat dan penjagaan), melainkan unta-unta itu akan datang pada Hari Kiamat dalam jumlah yang lebih banyak daripada sebelumnya. Lalu dia akan didudukkan di satu tanah yang luas dan rata, lalu unta-unta itu akan memijaknya dengan kaki dan tapaknya. Begitu juga, tidak ada pemilik lembu yang tidak menunaikan haknya, melainkan lembu-lembu itu akan datang pada Hari Kiamat dalam jumlah yang lebih banyak, dan dia akan didudukkan di satu tanah yang luas dan rata, lalu haiwan-haiwan itu akan menanduknya dengan tanduk mereka dan memijaknya dengan kaki mereka. Demikian juga pemilik kambing yang tidak menunaikan haknya, maka kambing-kambing itu akan datang pada Hari Kiamat dalam jumlah yang banyak, lalu dia akan didudukkan di satu tanah yang luas dan rata, dan kambing-kambing itu akan menanduknya dengan tanduk dan memijaknya dengan kuku mereka. Tidak ada seekor pun daripadanya yang bertanduk patah atau tidak bertanduk. Dan tidak ada pemilik harta (simpanan) yang tidak menunaikan haknya (seperti zakat), melainkan hartanya itu akan datang pada Hari Kiamat dalam bentuk seekor ular besar yang botak di kepalanya, mengejarnya sambil membuka mulut untuk menggigit. Apabila ular itu mendekatinya, dia cuba melarikan diri daripadanya, lalu Allah menyerunya: 'Ambillah harta simpananmu yang kamu sembunyikan dahulu. Aku tidak memerlukan harta itu (kerana Aku Maha Kaya).' Apabila dia tahu tiada jalan untuk lari, ular itu akan menyambar tangannya dan menggigitnya dengan gigitan kuat seperti gigitan unta jantan." (HR Muslim No 988) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mengeluarkan zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam sama ada zakat binatang ternakan, zakat harta mahupun zakat tumbuh-tumbuhan.

2.  Menunaikan hak haiwan adalah wajib sama ada penjagaan terhadapnya seperti makan dan minum juga hak untuk mengeluarkan zakat hawan ternakan. Islam sangat menekankan tanggungjawab pemilik terhadap haiwan ternakan.

3.  Zakat bukan sekadar ibadah, bahkan menjadi hak orang lain dalam harta kita. Mengabaikannya adalah satu bentuk kezaliman.

4.  Harta boleh menjadi azab jika disalahgunakan atau tidak digunakan untuk perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT.

5.  Orang yang tidak menunaikan hak terhadap hartanya dengan mengeluarkan zakat, akan menerima azab gigitan ular dihari akhirat.

6.  Hadis ini adalah peringatan kepada kita agar tidak lalai dalam menunaikan tanggungjawab terhadap pengurusan harta dan kebajikan haiwan.


Monday, December 8, 2025

Tiga Jenis Teman Rapat

Isnin, 17 Jamadil Akhir 1447H  |  Tiga Jenis Teman Rapat

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ عَبْدٍ وَلَا أَمَةٍ إِلَّا وَلَهُ ثَلَاثَةُ أَخِلَّاءَ: فَخَلِيلٌ يَقُولُ: أَنَا مَعَكَ، فَخُذْ مَا شِئْتَ، وَدَعْ مَا شِئْتَ؛ فَذَلِكَ مَالُهُ. وَخَلِيلٌ يَقُولُ: أَنَا مَعَكَ، فَإِذَا أَتَيْتَ بَابَ الْمَلِكِ تَرَكْتُكَ؛ فَذَلِكَ خَدَمُهُ وَأَهْلُهُ. وَخَلِيلٌ يَقُولُ: أَنَا مَعَكَ حَيْثُ دَخَلْتَ، وَحَيْثُ خَرَجْتَ؛ فَذَلِكَ عَمَلُهُ

Daripada Nukman bin Basyir RA dari Nabi SAW bersabda: Tiada seorang hamba lelaki atau perempuan pun melainkan dia mempunyai tiga orang teman rapat. Salah seorang daripadanya berkata: 'Aku bersama kamu, ambillah apa yang kamu mahu dan tinggalkan apa yang kamu mahu'; itulah hartanya. Teman yang kedua berkata: 'Aku bersama kamu, tetapi apabila kamu sampai di pintu raja (kematian), aku akan meninggalkan kamu'; itulah keluarga dan pembantunya. Dan teman yang ketiga berkata: 'Aku bersama kamu ke mana sahaja kamu masuk dan ke mana sahaja kamu keluar'; itulah amalannya." (HR At-Tobrani (119/21) (142) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga jenis teman rapat (khilal) yang setiap kita miliki dalam hidup ini iaitu harta, keluarga, dan amalan:

a.  Pertama harta iaitu sesuatu yang kita usaha dan kumpulkan sepanjang hidup. Harta ini boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan, tetapi pada akhirnya akan ditinggalkan apabila mati dan tidak boleh dibawa ke alam kubur atau akhirat.

b.  Kedua keluarga, sahabat, pekerja, dan orang sekeliling akan berada bersama seseorang semasa hidup. Namun apabila mati, mereka hanya mengiringi jenazah kita ke kubur, tetapi tidak akan ikut masuk ke dalamnya.

c.  Ketiga amalan, inilah satu-satunya teman sejati yang akan mengikuti seseorang hingga ke alam barzakh dan akhirat. Segala amalan baik atau buruk akan menjadi peneman yang setia, bahkan akan menentukan nasib kita di alam akhirat.

2.  Harta hanyalah alat. Harta hanya memberi manfaat jika digunakan ke jalan yang betul, seperti disedekahkan atau digunakan untuk kebaikan. Harta yang disimpan atau dibazirkan tidak akan memberi manfaat selepas kematian.

3.  Kasih sayang keluarga dan sahabat hanyalah sementara. Mereka boleh menemani kita ketika hidup dan mengurus jenazah kita, tetapi mereka tidak mampu masuk bersama kita ke alam kubur.

4.  Harta dan keluarga serta teman sekeliling hanyalah bersifat sementara. Yang kekal menemani kita hanyalah amal. Persiapkan diri untuk kehidupan selepas mati dengan menyediakan bekalan amal soleh sebanyak mungkin untuk akhirat.

5.  Jadikanlah harta dan keluarga serta sahabat handai sebagai jalan untuk menambah pahala, seperti bersedekah, berbuat baik dan menjaga silaturahim dan ukhuwah sesama kita.

6.  Jangan terlalu bergantung pada harta dan manusia. Harta dan manusia boleh membantu kita di dunia, tetapi di akhirat belum pasti. Justeru jangan terlalu bergantung atau taksub kepada mereka sehingga melalaikan tanggungjawab terhadap Allah.


Sunday, December 7, 2025

Ujian Penghapus Dosa

Ahad, 16 Jamadil Akhir 1447H  | Ujian Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin  sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anaknya dan hartanya sehingga dia bertemu dengan Allah dalam keadaan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” (HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.

2.  Al-Baghawi menyatakan: Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian pula musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya)” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)

3.  Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini mengajar kita bahawa Allah akan menguji orang beriman dengan pelbagai bentuk ujian untuk:

•  membersihkan dosa,
•  mengangkat darjat mereka,
•  dan menjadikan mereka lebih dekat kepada Allah.

Maknanya, ujian bukan tanda kebencian Allah, tetapi tanda perhatian dan kasih sayang-Nya.

4.  Ujian kepada seseorang sebagai proses pembersihan Rohani meliputi tiga perkara:

  Pada diri sendiri → sakit, tekanan, kesedihan, kegagalan, keletihan, dan pelbagai kesulitan hidup.

  Pada anak → kesusahan anak, kematian anak, kelakuan anak, atau apa-apa ujian yang melibatkan keluarga.

  Pada harta → kehilangan harta, kerugian perniagaan, musibah, rezeki sempit, atau apa saja yang menggoncang rasa pergantungan kepada dunia.

5.  Antara tujuan utama Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2


Saturday, December 6, 2025

Membaca Istirja' dan Doa Ketika Ditimpa Musibah

Sabtu, 15 Jamadil Akhir 1447H  | Membaca Istirja' dan Doa Ketika Ditimpa Musibah

أُمَّ سَلَمَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ  مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

Daripada Ummul Mukminin, Ummu Salamah isteri Nabi SAW, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian dia mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripadanya,” melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan untuknya sesuatu yang lebih baik daripadanya.” (HR Muslim No: 918) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Musibah adalah ujian yang didatangkan oleh Allah kepada kita dalam bentuk kesusahan, kesakitan, dukacita  seperti kematian, banjir dan sebagainya.

2.  Bersabar terhadap segala musibah yang menimpa adalah tuntutan kepada setiap Muslim. Allah tidak membiarkan hamba-Nya melalui musibah tanpa tujuan. Setiap kesedihan disertakan janji: pahala, keampunan, dan gantian yang lebih baik.

3.  Gantian Allah tidak semestinya dalam bentuk material. Kadang kala berupa ketenangan hati, kefahaman agama, kesihatan juga hubungan yang lebih baik.

4.  Muslim yang menerima musibah seperti banjir, kemalangan, kesakitan dan sebagainya, disunatkan agar mengucapkan kalimah istirja dan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ . اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya, Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini”.

5.  Orang yang membaca kalimah istirja dan doa diatas apabila menerima musibah akan diberi gantian yang lebih baik antaranya pahala di sisi Allah diatas kesabarannya serta pengampunan dosa.

6.  Hadis ini mengajar kita cara merawat hati ketika ditimpa ujian, bukan sekadar redha, tetapi berzikir dan berdoa agar dikurniakan ganjaran dan ganti yang lebih baik daripada Allah. Doa ini menjadi ubat luka di jiwa.


Friday, December 5, 2025

Musibah Menghapus Dosa

Jumaat, 14 Jamadil Akhir 1447H  |  Musibah Menghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus sebahagian daripada dosa-dosanya (melalui ujian itu)." (HR Bukhari No: 5641) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kesusahan yang dihadapi oleh seseorang adalah kifarah untuk menjadi sebab Allah menghapuskan dosa-dosanya.

2.  Setiap muslim perlu sentiasa bersabar dan reda apabila ditimpa dengan pelbagai musibah seperti penyakit, keletihan, kesedihan, mahupun  kesusahan.

3.  Ujian kesusahan tanda kasih sayang Allah kepada hambanya. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa ujian diberikan:

  untuk mengangkat darjat,
  untuk menghapuskan dosa,
  untuk mendidik hati supaya lebih dekat dengan Allah.

4.  Musibah banjir contohnya  menyebabkan orang yang terlibat mengalami kesusahan dan kepayahan. Ada yang kehilangan nyawa, kemusnahan harta juga kerosakan harta benda terkena air banjir seperti kenderaan yang ditenggelami air juga rumah yang rosak.

5.  Hadis ini menimbulkan rasa disayangi oleh Allah. Bila seseorang diuji, itu tanda:

  Allah tidak membiarkan kita sendirian,
  Allah sedang membersihkan jalan menuju syurga,
  Allah memberi peluang untuk kembali lebih dekat kepada-Nya.

6.  Rahmat Allah SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya. Usahlah kita menyalahkan antara satu sama lain diatas musibah yang melanda.

7.  Semoga dosa kita terampun walaupun kesakitan dan kesulitan yang kita lalui mungkin kecil berbanding dengan orang lain. Mungkin ibarat duri yang mencucuk atau melukakan anggota tubuh.

8.  Marilah kita menyerahkan segala musibah kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat:  Nabi SAW bersabda:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ  فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ

Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah: ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’ (Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga. (HR Bukhari no. 7386)

Semoga mereka yang diuji dengan pelbagai kesusahan dan kepayahan, dapat menerima dengan sabar dan reda. Moga Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.


Thursday, December 4, 2025

Waktu Mustajab Berdoa

Khamis, 13 Jamadil Akhir 1447H  |  Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثِنْتَانِ لاَ تُرَدَّانِ اَلدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ الْمَطَرِ

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda. Dua doa yang tidak pernah ditolak; doa ketika azan berkumandang dan doa ketika hujan turun. (HR al-Hakim, No: 2534) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Doa adalah ibadah yang dituntut kepada setiap Muslim melakukannya.

2.  Ada waktu yang sesiapa berdoa kepada Allah, nescaya doanya tidak akan ditolak iaitu:

a.  Doa ketika azan dikumandangkan
b.  Doa ketika hujan turun

3.  Doa yang tidak ditolak bermaksud: Doa dipenuhi seperti yang diminta, atau ditukar kepada kebaikan lain, atau menjadi simpanan pahala di hari akhirat.

4.  Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu turun hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada waktu tersebut,  sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

Orang beriman sentiasa peka dengan “waktu emas” untuk berdoa. Bila azan berkumandang juga ketika hujan mula turun - hentikan seketika aktiviti lain - ambil peluang untuk berdoa, moga diperkenankan hajat kita.


Wednesday, December 3, 2025

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

Rabu, 12 Rabiul Akhir 1447H  |  Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

عَنْ الْمِقْدَامِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى سَحَابًا مُقْبِلًا مِنْ أُفُقٍ مِنْ الْآفَاقِ تَرَكَ مَا هُوَ فِيهِ وَإِنْ كَانَ فِي صَلَاتِهِ حَتَّى يَسْتَقْبِلَهُ فَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ فَإِنْ أَمْطَرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً وَإِنْ كَشَفَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَمْ يُمْطِرْ حَمِدَ اللَّهَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Al-Miqdam daripada ayahnya bahawa Aisyah RA telah memberitahu beliau bahawa Nabi SAW apabila baginda melihat awan gelap yang bergerak dari mana-mana arah ufuk, baginda akan meninggalkan semua kegiatannya termasuk solat sunat, sambil mengadap kearah awan itu dan berdoa: "Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya." Jika turun hujan, maka baginda berdoa: Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) bermanfaat  (penuh keberkatan)." (baginda membacanya) dua kali atau tiga kali. Dan jika Allah Azza Wa Jalla menghilangkan awan itu dan tidak jadi turun hujan, maka baginda (bersyukur) memuji Allah atas semua itu." (HR Ibnu Majah No: 3879)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap peristiwa yang berlaku seperti awan mendung yang berarak dan hujan yang turun adalah ketentuan dan ketetapan dari Allah

2.  Rasulullah mengajar kita berdoa apabila melihat awan mendung yang berarak agar jauh dari musibah yang dibawa bersama awan seperti angin, petir, rebut juga banjir.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ

Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya

3.  Rasulullah juga mengajar kita berdoa apabila hujan turun (dibaca 2-3 kali):

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) ini sebagai curahan yang bermanfaat (penuh keberkatan).

4.  Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa di atas adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat. (Lihat: Fath al-Bari, 518/2)

5.  Hujan adalah rahmat, tetapi tidak semua hujan memberi manfaat. Islam mengajar kita berdoa agar hujan yang turun membawa kebaikan, bukan kemudaratan.

6.  Jika awan berlalu tanpa hujan, kita disuruh tetap memuji Allah, sebagai tanda sifat bersyukur yang berterusan.

Marilah kita mengamalkan doa ini jika melihat awan berarak juga hujan yang turun. Moga hujan yang turun mendatangkan manfaat bukan musibah.


Tuesday, December 2, 2025

Silaturahim Menjemput Rezeki Dan Keberkatan Umur

Selasa, 11 Jamadil Akhir 1447H  | Silaturahim Menjemput Rezeki Dan Keberkatan Umur

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Daripada Anas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaknya ia menyambung silaturahim (kekerabatan)." (Sunan Abu Daud No: 1443) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara kebahagiaan seorang ialah apabila hidup dalam suasana saling berkasih sayang sesama anggota masyarakat.

2.  Saling berkasih sayang dituntut dalam menjaga hubungan silaturahim khususnya dengan ahli keluarga seperti kedua ibu bapa, adik beradik, ibu dan bapa saudara, sepupu  dan lain-lain.

3.  Antara kelebihan Muslim yang sentiasa menjaga hubungan silaturahim:

a.  Dilapangkan rezeki (murah rezeki)
b.  Dipanjangkan umur (umur yang barakah dalam keadaan sihat dan beramal soleh).

4.  Imam Nawawi menjelaskan maksud dilapangkan rezeki ialah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan kepada harta juga dikurniakan ketenangan dalam kehidupan. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

5.  Ulama memberikan maksud “dipanjangkan umur” dalam hadis:
a.  Dipanjangkan umur secara hakiki.
b.  Dipanjangkan dari sudut keberkatan umur dimana seseorang diberi peluang melakukan lebih banyak amal, kebaikan, dan manfaat.

6.  Manakala dalam hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا  وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ  وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ  وَتَصِلُ الرَّحِمَ

“Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim. (HR Bukhari No: 5983)

7.  Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/287)

Marilah kita memelihara hubungan silaturahim dan ikatan kekeluargaan dengan adik beradik dan ahli keluarga yang lain.


Monday, December 1, 2025

Menyambung Silaturahim

Isnin, 10 Jamadil Akhir 1447H  | Menyambung Silaturahim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي قَرَابَةً أَصِلُهُمْ وَيَقْطَعُونِي وَأُحْسِنُ إِلَيْهِمْ وَيُسِيئُونَ إِلَيَّ وَأَحْلُمُ عَنْهُمْ وَيَجْهَلُونَ عَلَيَّ فَقَالَ لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمْ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Abu Hurairah bahwasanya seorang laki-laki pernah berkata; "Ya Rasulullah, saya mempunyai kerabat. Saya selalu berusaha untuk menyambung silaturahim kepada mereka, tetapi mereka memutuskannya. Saya selalu berusaha untuk berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka menyakiti saya. Saya selalu berusaha untuk lemah lembut terhadap mereka, tetapi mereka acuh tak acuh kepada saya." Lalu Rasulullah SAW bersabda: 'Jika benar seperti apa yang kamu katakan, maka kamu seperti memberi makan mereka debu yang panas, dan selama kamu berbuat demikian maka pertolongan Allah akan selalu bersamamu.'(HR Muslim No: 4640) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara tanggungjawab Muslim ialah berbuat baik dengan kerabat dengan sentiasa menghubungkan silaturahim.

2.  Allah sentiasa mengurniakan kebaikan kepada orang yang berbuat baik kepada orang lain.

3.  Orang yang berusaha menyambung silaturahim dengan kerabatnya walaupun tidak disambut oleh mereka, akan sentiasa mendapat pertolongan Allah disisinya.

4.  Al-Qurtubi menyatakan bahawa sesiapa yang bersabar atas kezaliman keluarga dan tetap menjaga hubungan, Allah akan menjadi penolong dan pelindungnya dalam bentuk: ketenangan jiwa, keberkatan hidup, dijaga daripada kezaliman, serta dibalas dengan kebaikan di dunia dan akhirat.

5.  Antara ganjaran orang yang berusaha menyambung silaturrahim adalah syurga. Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ

“Wahai orang ramai, Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.” (HR Ibnu Majah No: 3251)

6.   Jangan membalas kejahatan dengan kejahatan. Hadis ini mengajar bahawa kesabaran dan kebaikan adalah lebih kuat daripada kemarahan. Perbuatan baik yang ikhlas boleh melembutkan hati pihak yang memutuskan hubungan dan mendorong mereka kembali kepada kebenaran.

Ayuh berbuat baik dan kukuhkan silaturahim walaupun mereka ingin memutuskannya. Doakan kebaikan untuk mereka.


Sunday, November 30, 2025

Sayangi Anak

Ahad, 9 Jamadil Akhir 1447H  |  Sayangi Anak

عَنِ أَبَا هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا‏.‏ فَقَالَ الأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنَ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا‏.‏ فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَالَ ‏ "‏ مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ ‏"‌‏.‏

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW telah mencium al-Hasan bin 'Ali di hadapan al-Aqro' bin Haabis at-Tamimiy yang Ketika itu sedang duduk bersama baginda. Lalu al-Aqro' berkata, "Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorangpun daripada mereka". Maka Rasulullah SAW pun memandang kepada al-'Aqro' lalu baginda bersabda: "Barangsiapa yang tidak menyayangi (orang lain) maka ia juga tidak akan disayangi" (HR Al-Bukhari, no 5997) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kasih sayang adalah fitrah dan akhlak Islam. Sifat kasih sayang adalah ciri utama seorang Mukmin.

2.  Sebagai ibu bapa, perlu mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan penuh perhatian.

3.  Mengikut Imam al-Nawawi: sesiapa yang tidak menzahirkan kasih sayang kepada manusia, dia tidak layak menerima rahmat Allah di dunia dan akhirat.

4.  Menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak khususnya semasa mereka masih kecil dengan perbuatan seperti mencium, memeluk dan bergurau, akan membentuk jiwa yang seimbang dan penyayang.

5.  Tanpa ciuman juga pelukan terhadap anak-anak boleh menyebabkan hilangnya sifat kasih sayang di hati ibu bapa terhadap anak-anaknya. Terhakisnya sifat kasih sayang inilah yang menyebabkan tidak berlaku proses pendidikan yang baik kepada anak-anak bahkan menyebabkan berlakunya sikap penderaan terhadap mereka.

6.  Pendidikan anak memerlukan kelembutan dan kasih sayang. Didikan dengan kekasaran akan menjauhkan hati anak-anak dan menanam kebencian, sedangkan kelembutan membina keakraban dan kepercayaan.

7.  Jika kita menyayangi dan mengasihi anak-anak, nescaya kita juga akan disayangi dan dikasihi oleh anak-anak apatah lagi ketika kita berada dihari tua.

8.  Setiap Muslim hendaklah menzahirkan kasih sayang  terhadap anak, pasangan, keluarga, bahkan terhadap semua makhluk kerana sifat rahmah inilah yang menjadi asas keimanan dan kunci kepada rahmat Allah di dunia dan akhirat.


Saturday, November 29, 2025

Setiap Pemberian Makanan Itu Sedekah

Sabtu, 8 Jamadil Akhir 1447H  | Setiap Pemberian Makanan Itu Sedekah

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَطْعَمْتَ نَفْسَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ وَلَدَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ زَوْجَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ خَادِمَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ

Daripada Al-Miqdam bin Ma'di Karib berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apa sahaja yang engkau berikan untuk makan kepada diri kamu, maka itu adalah sedekah untukmu. Apa sahaja yang kamu berikan untuk makan kepada anakmu maka itu menjadi sedekah bagimu.  Apa sahaja yang kamu berikan untuk makan kepada isterimu maka itu menjadi sedekah bagimu. Apa sahaja yang kamu berikan untuk makan kepada  pelayanmu maka itu menjadi sedekah bagimu." (HR Ahmad No: 16550) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut melakukan sedekah.

2.  Sedekah mempunyai ruang yang amat luas dan tidak terbatas pemberian kepada fakir miskin sahaja. Termasuk ganjaran pahala sedekah ialah memberi atau menyediakan makanan kepada orang lain termasuk perbelanjaan terhadap diri, keluarga dan orang di bawah tanggungan. 

3.  Antara bentuk sedekah seseorang ialah menyediakan keperluan makan dan minum yang halal dengan niat kerana Allah kepada:

a.  Diri sendiri
b.  Isteri
c.  Anak-anak
d.  Pembantu

4.  Nafkah kepada diri sendiri dianggap ibadah. Makan dan minum yang halal dengan niat untuk memperoleh tenaga bagi beribadah juga dikira sebagai amal soleh. Maka, menjaga kesihatan dan keperluan diri dengan niat yang betul termasuk dalam kategori sedekah.

5.  Hadis ini menegaskan bahawa setiap nafkah yang dibelanjakan dengan niat yang ikhlas akan menjadi sedekah yang berpahala.
Islam tidak memisahkan antara urusan dunia dan akhirat; bahkan perbuatan seharian seperti memberi makan, menyediakan keperluan asas, menafkahkan rezeki kepada keluarga, dan menjaga kebajikan pekerja adalah ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

6.  Tunaikanlah hak yang menjadi tanggungjawab seorang lelaki.  Berilah makan kepada yang berhak untuk mendapatkannya, terutama pemberian yang menjadi tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga. Sama ada untuk diri, anak, isteri dan pembantu.


Friday, November 28, 2025

Amal Yang Dicintai Allah

Jumaat, 7 Jamadil Akhir 1447H  |  Amal Yang Dicintai Allah

أَبَا عَمْرٍو الشَّيْبَانِيَّ يَقُولُ حَدَّثَنَا صَاحِبُ هَذِهِ الدَّارِ وَأَشَارَ إِلَى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوْ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي

Abu Amru Asy Syaibani berkata, "Pemilik rumah ini menceritakan kepada kami - seraya menunjuk rumah Abdullah bin Masud - ia berkata, "Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Amal apakah yang paling disukai oleh Allah?" Baginda menjawab: "Solat pada waktunya." Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa kagi?" Baginda menjawab: "Kemudian berbuat baik kepada kedua ibu bapa. "Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa lagi?" Baginda menjawab: "Jihad di jalan Allah." Abdullah berkata, "Baginda menyebutkan tiga perkara ini kepadaku, sekiranya aku minta tambah, nescaya baginda  akan menambahkannya untukku." (HR Bukhari No: 496) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pelbagai amal soleh dituntut untuk kita lakukan. Ada amal yang utama untuk dilakukan, ada amal yang paling dicintai Allah bergantung kepada keadaan, masa dan tempat.

2.  Tiga amal yang paling disukai Allah:

a.  Solat pada waktunya dengan kita berusaha melaksanakan kewajipan ibadat solat di awal waktu.

b.  Berbakti kepada ibu bapa dengan berusaha melakukan kebaikan, berbakti kepada kedua ibu bapa dan mengembirakannya, sama ada semasa dia hidup mahupun selepas kematian mereka.

c.  Berjihad dijalan Allah dengan berkorban harta, diri, keselesaan untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar

3.  Islam menuntut keseimbangan antara tanggungjawab individu kepada Allah seperti solat dan tanggungjawab sosial kepada ibu bapa dengan berbakti kepada mereka juga tanggungjawab kepada ummah melalui jihad dan pengorbanan.

4.  Berusahalah melakukan amal yang dicintai Allah melalui penjagaan waktu solat, berbakti kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah dalam pelbagai ruang amal kebaikan.


Thursday, November 27, 2025

Reda Allah Dari Reda Ibu Bapa

Khamis, 6 Jamadil Akhir 1447H  | Reda Allah Dari Reda Ibu Bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Daripada Abdullah bin Amr RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa." (HR Tirmizi No:1821) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Berbakti kepada ibu bapa adalah jalan untuk mendapat redha Allah dan syurga. Redha ibu bapa menjadi syarat utama bagi kehidupan yang diberkati dan diterima amalnya.

2.  Adab seorang anak ialah berbakti dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Menurut Imam Al Ghazali antara adab anak kepada orang tuanya; mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya (selagi tidak bertentangan syarak), tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.

3.  Menderhakai ibu bapa mengundang kemurkaan Allah dan menghapuskan keberkatan hidup antaranya si anak meninggikan suara, menyakitkan hatinya, mengabaikan nafkah serta kesihatannya juga memalukan ibu bapa.

4.  Keredaan Allah berkait langsung dengan keredaan ibu bapa. Apabila seseorang berbuat baik kepada ibu bapanya, memuliakan mereka dan mengelakkan daripada menyakiti hati mereka, maka Allah meredainya.
Sebaliknya, apabila seseorang derhaka atau mengguris hati ibu bapanya, maka ia menjemput kemurkaan Allah.

5.  Ketaatan kepada ibu bapa mesti dilakukan dengan penuh ihsan, kasih sayang dan adab. Antaranya tidak meninggikan suara, tidak menyakiti hati mereka dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka.

6.  Ketaatan kepada ibu bapa tidak boleh mengatasi ketaatan kepada Allah. Jika ibu bapa menyuruh kepada perkara yang bertentangan dengan Syarak, maka tidak boleh ditaati namun tetap wajib berbuat baik dan bercakap dengan lemah lembut kepada mereka.

7.  Derhaka kepada ibu bapa adalah antara dosa besar yang menutup pintu rahmat dan menjadi penghalang kepada kejayaan di dunia dan akhirat.
Maka, berbaktilah kepada ibu bapa selagi mereka hidup, dan doakan mereka setelah meninggal dunia agar Allah mengekalkan redha dan rahmat-Nya kepada kita.


Wednesday, November 26, 2025

Berbakti Kepada Ibu

Rabu, 5 Jamadil Akhir 1447H  |  Berbakti Kepada Ibu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا تَأْمُرُنِي قَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ فَقَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ الرَّابِعَةَ فَقَالَ بَرَّ أَبَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Seorang laki-laki mendatangi Rasulullah SAW seraya bertanya; "Apa yang engkau perintahkan kepadaku?" maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu, "lalu ia mengulangi pertanyaannya, dan baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu," lalu ia mengulangi pertanyaannya hingga yang keempat kalinya, maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada bapamu." (HR Ahmad No: 8850)  Status: Hassan

Pengajaran:

1.  Berbakti kepada ibu adalah kewajipan tertinggi seorang anak selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul.

2.  Keutamaan berbuat baik kepada ibu melebihi dari ayah sama ada dalam kasih sayang, penjagaan mahupun kebajikan. Mengikut Ibn Battal, ibu perlu diutamakan kerana ibu mengalami tiga kepayahan: 

a.  Pertama ketika mengandung;
b.  Kedua ketika melahirkan dan;
c.  Ketiga ketika menyusu dan membesarkan.

3.  Ayah juga mempunyai hak yang wajib ditunaikan oleh anak. Walaupun ibu lebih diutamakan, ayah tetap berhak dihormati dan ditaati, kerana dia menjadi pelindung dan pemberi nafkah kepada keluarga.

4.  Keutamaan pada sianak ialah berbakti kepada ibu kemudian kepada bapa.

5.  Islam menuntut umatnya menghargai jasa dan pengorbanan kedua-dua ibu bapa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Berusahalah untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan bapa kerana ia adalah ibadah besar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta menjadi jalan menuju syurga bagi mereka yang melakukannya dengan penuh kasih, hormat dan ikhlas.


Tuesday, November 25, 2025

Membalas Jasa Ibu bapa

Selasa, 4 Jamadil Akhir 1447H |  Membalas Jasa Ibu bapa

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

Abdullah bin 'Amru radliallahu 'anhuma berkata: "Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: "Adakah kedua orang tuamu masih hidup?" Laki-laki itu menjawab: "ya". Lalu Baginda berkata: ‘Maka berjihadlah dengan berbakti kepada mereka berdua ". (HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berkhidmat dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah dituntut seperti membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta mencurahkan kasih sayang.

2.  Berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah sebahagian daripada jihad. Jihad dalam bentuk khidmat dan pengorbanan untuk kedua ibu bapa. Menurut Ibn Ḥajar berjihad dalam usaha menggembirakan mereka, memenuhi keperluan mereka, dan menanggung kesusahan dalam menjaga mereka sebagaimana seorang mujahid menanggung kesukaran di medan perang.

3.  Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup. Tidak semua jihad di medan perang wajib fardhu ain kepada semua orang di setiap masa.

4.  Islam menekankan keseimbangan antara tanggungjawab agama dan tanggungjawab keluarga. Semangat jihad di medan perang mempertahankan agama serta tidak mengabaikan hak dan kebajikan kepada ibu bapa.

5.  Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia. Hadis Nabi SAWdaripada Ibn Abbas RA,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk tunaikan.” (HR Bukhari No: 1953)

Berbuat baiklah kepada ibu bapa  yang telah berjasa kepada kita. Sama ada semasa mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Ia adalah satu bentuk jihad yang sangat mulia.


Monday, November 24, 2025

Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

Isnin, 3 Jamadil Akhir 1447H  |   Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكَبَائِرِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

Daripada Anas radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW ditanya tentang  dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda: "Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang (tanpa hak) dan memberi kesaksian palsu". (HR Bukhari No: 2459) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika  pelakunya  tidak melakukan taubat nasuhah  hingga diampunkan dosanya oleh Allah.

2.  Antara dosa besar tersebut:

a.  Syirik kepada Allah (menyekutukan Allah dengan sesuatu sama ada dalam ibadah, kepercayaan, atau niat.) Dosa syirik tidak diampunkan jika ia mati tanpa bertaubat.

b.  Derhaka kepada kedua ibu bapa (tidak menghormati, menyakiti hati seperti meninggikan suara, berkata kasar, juga mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa) merupakan dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah.

c.  Membunuh sesama manusia kecuali dengan sebab yang dibenarkan syarak (seperti hukuman qisas atau mempertahankan diri).

d.  Memberi kesaksian palsu (berbohong dalam pengakuan atau keterangan bagi menzalimi orang lain, menipu dalam urusan hukum, atau memutarbalikkan kebenaran).

3.  Setiap anak tidak boleh menyakiti kedua ibu bapaknya, baik dengan perkataan, tindakan mahupun perbuatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar kedua selepas dosa perbuatan syirik.

4.  Hadis ini menegaskan keutamaan menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Dosa besar sering berpunca daripada pelanggaran terhadap hak Allah (seperti syirik) dan hak manusia (seperti derhaka, membunuh, dan menipu).

5.  Muslim yang beriman hendaklah sentiasa menjauhi dosa besar dengan memelihara tauhid, berbakti kepada ibu bapa, menghormati nyawa manusia, dan bersikap jujur dalam semua urusan.


Sunday, November 23, 2025

Mencela Ibu bapa

Ahad, 2 Jamadil Akhir 1447H  |  Mencela Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْكَبَائِرِ أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ

Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), ialah apabila seseorang mencela kedua orang tuanya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah mungkin seseorang mencela kedua orang tuanya?" Baginda menjawab: "Ya, apabila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan membalas dengan mencaci bapanya. Dan bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan mencaci ibunya." (HR Tirmizi No: 1824)  Status:  Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Termasuk dosa besar apabila seseorang mencaci atau mencela kedua ibu bapanya.

2.  Apabila seseorang mencaci atau memaki  ibu atau bapa orang lain, ia secara tidak langsung turut mencaci dan memaki ibu atau bapanya sendiri.

3.  Seseorang boleh mendapat dosa besar walaupun secara tidak langsung menjadi punca penghinaan terhadap ibu bapanya.

4.  Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa orang lain bermakna kita menghormati dan mengasihi ibu bapa kita.

5.  Islam menuntut agar kita menghormati orang lain dan keluarga mereka. Menghina atau mencaci keluarga orang lain adalah tanda lemahnya iman dan akhlak.

6.  Berbuat baik, berlemah lembut dan hormatilah ibu bapa kita dan ibu bapa orang lain. Frman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’:24)

7.  Islam menuntut setiap Muslim agar menjaga lidah, akhlak dan pergaulan supaya tidak menimbulkan permusuhan yang akhirnya membawa kepada penghinaan terhadap keluarga sendiri. Kehormatan ibu bapa mesti dijaga dalam setiap keadaan, kerana reda Allah terletak pada reda mereka, dan kemurkaan Allah pada kemurkaan mereka.


Saturday, November 22, 2025

Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa

Sabtu, 1 Jamadil Akhir 1447H  |  Anak Tidak Mampu Membalas Jasa Ibu Bapa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW  bersabda: "Seorang anak tidak akan mampu untuk membalas kebaikan orang tuanya, kecuali jika dia menemui orang tuanya sebagai seorang hamba, lalu dia membeli dan memerdekakannya." (HR Tirmizi No: 1829) Status: Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak amat besar dan tidak ternilai. Bermula dari kesusahan si ibu ketika mengandungkannya, melahirkan hinggalah membesarkannya.

2.  Seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan ibu bapanya yang telah mengasuh, membimbing dan memberikan pendidikan di samping keperluan fizikal.

3.  Seorang anak tidak boleh berasa cukup atau puas dalam berbakti, kerana hak ibu bapa tidak pernah habis walaupun setelah mereka meninggal dunia.

4.  Perbandingan membalas jasa keduanya diumpamakan jika orang tuanya seorang hamba, lalu si anak membeli dan memerdekakannya.

5.  Hadis ini mengingatkan bahawa tiada balasan duniawi yang dapat menebus jasa dan kasih ibu bapa, walaupun anak itu berbakti dengan sepenuh tenaga dan harta. Anak tidak dapat menandingi jasa ibubapa yang telah membesarkannya sejak kecil, menanggung susah payah dan mendidiknya.

6.  Seorang anak hendaklah sentiasa berusaha berbakti, mendoakan dan menggembirakan hati kedua ibu bapanya, kerana itulah jalan sebenar menuju keredaan Allah SWT dan syurga-Nya.

Daripada kedua ibu bapa, kita dilahirkan ke dunia. Berkhidmatlah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semampu yang boleh.


Friday, November 21, 2025

Gembirakan Ibu bapa

Jumaat, 30 Jamadil Awal 1447H   |  Gembirakan Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا

Daripada Abdullah bin 'Amr RA, ia berkata; terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau telah membuat mereka menangis!" (HR Abu Daud: 2166) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kewajipan anak ialah sentiasa mengembirakan kedua ibu bapanya.

2.  Berbakti kepada ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Tiada amal yang dapat menggantikan berbuat baik terhadap ibu bapa selagi mereka masih hidup.

3.  Rasulullah SAW menyuruh lelaki tersebut menggembirakan semula hati ibu bapanya, supaya ia menebus kesedihan yang telah ditimbulkan. Hal ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan hubungan emosi dan kasih sayang dalam keluarga, terutama terhadap kedua ibu bapa.

4.  Kasih sayang dan keizinan ibu bapa sewajarnya menjadi pertimbangan dalam setiap keputusan besar kehidupan kita apatah lagi jika ia melibatkan perasaan serta kebajikan ibu bapanya.

5.  Kebahagiaan ibu bapa adalah sebahagian daripada tanda keimanan dan akhlak yang mulia.

6.  Rasulullah SAW mendidik umatnya bahawa berbakti terhadap ibu bapa adalah jalan paling hampir menuju keredaan Allah dan pintu ke syurga. Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan kedua orang tua. Hadis Nabi SAW:

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

“Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua” (HR Tabrani dari Ibnu Umar).

7.  Lakukan sesuatu yang sentiasa membuatkan kedua orang tua kita gembira. Tidak ada hadiah yang berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga.

Bagi setiap anak yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, buatlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka.


Thursday, November 20, 2025

Jangan Jadi Orang Celaka

Khamis, 29 Jamadil Awal 1447H   | Jangan Jadi Orang Celaka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata bahawa Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu para sahabat bertanya; "Siapakah yang celaka, wahai Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang siapa yang sempat bersama kedua ibu bapanya ketika mereka sudah tua (dalam usia lanjut), atau salah seorang dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)."  (HR Muslim No: 4628) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jangan jadikan kita orang yang celaka dan dimurkai Allah.

2.  Orang yang celaka adalah mereka yang masih ada ibu atau bapa yang sudah tua tapi tidak berusaha berbakti kepada mereka. Betapa berat dosa anak yang mengabaikan ibu bapa, khususnya ketika mereka telah mencapai usia tua.

3.  Berbakti kepada ibu bapa adalah jalan menuju syurga. Peluang untuk menjaga dan berkhidmat kepada ibu bapa, terutamanya ketika mereka tua, adalah peluang keemasan untuk memperoleh reda Allah SWT.

4.  Kedua ibu bapa ketika sudah tua amat memerlukan layanan, bantuan, dan kasih sayang anak-anak; maka sesiapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab ini adalah termasuk dalam kalangan orang yang rugi dan tercela.

5.  Celakalah anak-anak yang tidak sanggup berbakti dan menjaga kedua ibu bapa lalu menghantar kerumah orang tua. Dibiarkan orang tua tanpa diziarahi.

6.  Ibn Ḥajar menegaskan bahawa hadis ini mengandungi peringatan keras bahawa berbakti kepada ibu bapa merupakan antara sebab utama seseorang dimasukkan ke dalam syurga, manakala derhaka kepada mereka menjadi punca kebinasaan dan kemurkaan Allah SWT.

7.  Bagi yang masih ada ibu atau bapa yang sudah tua, rebutlah peluang berbakti dan berbuat baik kepada mereka dengan segala daya upaya.

8.  Daripada Abu Darda’ RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

الوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ، فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ البَابَ أَوْ احْفَظْهُ

“Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga (paling utama), Jika kamu mahu sia-siakanlah pintu itu atau peliharalah ia”.(HR Tirmizi No:1900)

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata bahawa kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. Barangsiapa yang mentaati orang tua maka dia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang memurkai mereka sesungguhnya mereka dimurkai Allah. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 21,23/6]

Wednesday, November 19, 2025

Tiga Golongan Mustajab Doa

Rabu, 28 Jamadil Awal 1447H   |  Tiga Golongan Mustajab Doa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang bermusafir, dan doa ibu bapa terhadap anaknya." (HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.

2.  Elakkan hubungan yang buruk hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.

3.  Tiga golongan doanya mustajab di sisi Allah:

a)  Doa dari orang yang dizalimi
b)  Doa orang yang  sedang bermusafir
c)  Doa dua ibu bapa kepada anak

4.  Menurut Imam al-Nawawi doa orang yang dizalimi dimustajabkan kerana kezaliman mengundang kemurkaan Allah SWT; justeru doa orang yang teraniaya menjadi sebab Allah menzahirkan keadilan-Nya.

5.  Doa orang yang bermusafir dimakbulkan kerana perjalanan yang jauh biasanya disertai dengan kesulitan, keletihan, dan pergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Menurut Ibn Ḥajar, keadaan musafir merupakan antara waktu paling mustajab untuk berdoa kerana hati seseorang ketika itu bersih daripada kesombongan dan lebih tunduk kepada Allah SWT.

6.  Kedudukan ibu bapa amat mulia di sisi Allah SWT. Doa mereka, sama ada untuk kebaikan atau keburukan, boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan anak. Oleh itu, ibu bapa berhati-hati dalam mendoakan anak. Perbanyakkan doa kebaikan untuk anak-anak.

7.  Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk kepada tiga golongan ini sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita

Semoga kita mendapat doa yang baik dari orang yang sedang bermusafir. Bagi  kedua ibu bapa, pastikan apa yang keluar dari mulut dan yang terlintas dalam  doa untuk anak-anak adalah yang baik-baik kerana ia boleh menjadi mustajab. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga bahagia.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

#PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tiga Golongan Mustajab Doa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang bermusafir, dan doa ibu bapa terhadap anaknya." (HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.

2.  Elakkan hubungan yang buruk hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.

3.  Tiga golongan doanya mustajab di sisi Allah:

a)  Doa dari orang yang dizalimi
b)  Doa orang yang  sedang bermusafir
c)  Doa dua ibu bapa kepada anak

4.  Menurut Imam al-Nawawi doa orang yang dizalimi dimustajabkan kerana kezaliman mengundang kemurkaan Allah SWT; justeru doa orang yang teraniaya menjadi sebab Allah menzahirkan keadilan-Nya.

5.  Doa orang yang bermusafir dimakbulkan kerana perjalanan yang jauh biasanya disertai dengan kesulitan, keletihan, dan pergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Menurut Ibn Ḥajar, keadaan musafir merupakan antara waktu paling mustajab untuk berdoa kerana hati seseorang ketika itu bersih daripada kesombongan dan lebih tunduk kepada Allah SWT.

6.  Kedudukan ibu bapa amat mulia di sisi Allah SWT. Doa mereka, sama ada untuk kebaikan atau keburukan, boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan anak. Oleh itu, ibu bapa berhati-hati dalam mendoakan anak. Perbanyakkan doa kebaikan untuk anak-anak.

7.  Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk kepada tiga golongan ini sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita

Semoga kita mendapat doa yang baik dari orang yang sedang bermusafir. Bagi  kedua ibu bapa, pastikan apa yang keluar dari mulut dan yang terlintas dalam  doa untuk anak-anak adalah yang baik-baik kerana ia boleh menjadi mustajab. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga bahagia.



Tuesday, November 18, 2025

Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibu bapa

Selasa, 27 Jamadil Awal 1447H  | Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ فَقُلْنَا لَهُ أَصْلَحَكَ اللَّهُ إِنَّهُمْ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ

Daripada Abdullah bin Umar RA dia berkata; "Seorang laki-laki desa bertemu dengannya di salah satu jalan menuju kota Mekah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas keldai yang ditungganginya, dan memberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar; "Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar; 'semoga Allah membalas kebaikan kamu. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana." Jawab Abdullah; "Sesungguhnya bapa orang ini dahulu adalah sahabat baik Umar bin al-Khathab (ayahnya). Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik bentuk kebaktian  ialah apabila seorang anak melanjutkan hubungan (silaturahim) dengan keluarga sahabat baik ayahnya." (HR Muslim No: 4629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukan sahaja semasa hidup mereka, malah perlu berterusan selepas keduanya meninggal dunia.

2.  Selain daripada mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapa, seorang anak juga disuruh menghubungkan ukhuwah dan silaturahim dengan keluarga  dan sahabat ibu bapa.

3.  Berbuat baik dengan sahabat baik ibu bapa juga adalah antara cara berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. Islam menuntut kita menghargai hubungan silaturahim dan kasih sayang yang berpanjangan.

4.  Menurut Imam al-Nawawi: Kebaktian yang paling sempurna selepas kewafatan ibu bapa ialah dengan si anak menjaga hubungan dan berbuat baik kepada orang-orang yang pernah menjadi sahabat dan teman rapat kepada ibu bapanya.

5.  Kebaikan yang kecil tetap bernilai besar di sisi Allah seperti menumpangkan seseorang menaiki kenderaan menuju ke sesuatu tempat  juga memberi pakaian, walaupun kepada seorang Badwi, dikira sebagai amal kebajikan yang agung.

Semoga kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia dengan cara menghubungkan silaturahim keluarga dan sahabat handai ibu bapa.


Monday, November 17, 2025

Amalan Anak Soleh

Isnin, 26 Jamadil Awal 1447H  |  Amalan Anak Soleh

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ

Daripada ‘Aisyah RA bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Nabi SAW:
“Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia secara tiba-tiba (tanpa sempat berwasiat), dan aku menyangka bahawa sekiranya dia sempat berbicara, pasti dia akan berwasiat untuk bersedekah. Adakah aku akan mendapat pahala jika aku bersedekah bagi pihaknya?” Baginda SAW bersabda: “Ya.” (HR Muslim No: 3082) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Anak yang soleh akan sentiasa berbakti untuk kedua ibu bapanya.

2.  Anak yang soleh masih boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia melalui doa, sedekah, dan amal jariah atas nama ibu bapa.

3.  Pahala amal soleh yang dilakukan oleh sianak akan turut diperolehi oleh kedua ibu bapa yang beriman.

4.  Menurut al-Imam al-Qurtubi, berbuat baik kepada ibu bapa tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia, tetapi boleh diteruskan melalui:
a)  Doa kepada mereka
b)  Sedekah atas nama mereka
c)  Menunaikan nazar atau hajat yang tidak sempat dilaksanakan oleh mereka
d)  Menghubungkan silaturahim dengan sahabat-sahabat mereka.

5.  Hadis ini menegaskan bahawa pahala sedekah yang dilakukan oleh anak dengan diniatkan untuk ibu bapa akan sampai kepadanya dan menjadi sebab keampunan serta rahmat Allah. Hadis ini mengajar kita agar tidak melupakan ibu bapa setelah mereka tiada, sebaliknya terus berbuat baik melalui amal jariah, doa, dan kebajikan atas nama mereka.

Semoga amal baik yang dilakukan oleh anak yang soleh turut menyumbang ganjaran amal baik untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

B

Sunday, November 16, 2025

Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

Ahad, 25 Jamadil Awal 1447H  |  Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَتْ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ

Daripada ‘Aisyah RA berkata; Telah datang seorang wanita bersama dua puterinya menemuiku untuk meminta sesuatu namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebiji kurma lalu aku berikan kepadanya. Lalu wanita itu membahagi kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua puterinya sedangkan dia tidak memakannya sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera beredar. Ketika itulah Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku menceritakan perkara tersebut kepada baginda. Lalu Baginda bersabda: “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada kehadiran anak-anak perempuannya (lalu dia berbuat baik kepada mereka), maka mereka akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka”. (HR Bukhari No: 1329) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan keperluan ahli keluarga khususnya anak-anak, termasuk penyediaan makanan, pakaian tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.

2.  Ibu bapa yang soleh akan mendahulukan keperluan anak-anaknya walaupun terpaksa mengikat perut.

3.  Ibu bapa yang bersusah payah memberikan sesuatu makanan atau menyediakan keperluan seperti pembiayaan pembelajaran dan lain-lain kepada anaknya, akan menjadi saham melindunginya dari api neraka.

4.  Anak perempuan bukan beban, tetapi rahmat dan antara jalan bagi ibu bapa untuk ke syurga.

5.  Menurut Imam al-Nawawi, mendidik anak perempuan memerlukan kesabaran, perhatian, dan pengorbanan, terutama dalam konteks masyarakat Arab pada zaman itu yang memandang rendah kedudukan anak perempuan. Oleh itu, sesiapa yang bersabar, mendidik, dan mengasihi anak perempuannya dengan baik, maka anak-anak itu akan menjadi pelindung daripada api neraka.

6.  Islam memuliakan peranan wanita dan ibu sebagai pendidik generasi dan sumber kasih sayang. Seorang ibu yang sabar, mengasihi, dan berkorban untuk anak-anaknya, akan mendapat perlindungan daripada api neraka.


Saturday, November 15, 2025

Tangan Di atas Lebih Baik Dari Di bawah

Sabtu, 24 Jamadil Awal 1447H  |  Tangan Di atas Lebih Baik Dari Di bawah

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Daripada Hakim bin Hiram RA dari Nabi SAW berkata: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah. Mulakanlah (pemberianmu) untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu. Sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya (daripada meminta), Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”. (HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tangan yang di atas (memberi) adalah lebih baik daripada tangan di bawah (meminta-minta atau mengemis).

2.  Berusahalah menjadi pemberi berbanding penerima. Orang yang memberi lebih baik dan barakah rezekinya berbanding orang yang menerima.

3.  Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita seperti isteri, anak-anak juga ibu bapa.

4.  Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Islam tidak menggalakkan seseorang bersedekah sehingga memudaratkan dirinya atau keluarganya, kerana itu bertentangan dengan hikmah syariat yang mengutamakan keseimbangan.

5.  Bagi ketua keluarga, berusahalah mencari rezeki untuk keperluan keluarga dan elakkan diri dari meminta-minta.

6.  Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki.

7.  Islam mendidik umatnya supaya berusaha, berdikari, dan tidak hidup bergantung kepada belas ihsan orang lain.


Friday, November 14, 2025

Sedekah Mengikut Keutamaan

Jumaat, 23 Jamadil Awal 1447H  |  Sedekah Mengikut Keutamaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian", lalu seorang lelaki berkata Wahai Rasulullah aku hanya memiliki satu dinar, baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu," ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah kepada isterimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah kepada anakmu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah kepada pembantumu," ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Engkau lebih tahu siapa yang berhak engkau beri." (HR Nasai No: 2488) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW  menganjurkan agar kita bersedekah jika memiliki harta. Setiap yang dibelanjakan kepada orang lain, ia akan mendapat pahala  sedekah.

2.  Jika kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah untuk keperluan mengikut keutamaan dengan panduan tertib menurut syariat:

i.  Untuk diri sendiri  dengan menunaikan hak tubuh badan seperti makanan, minum, pakaian dan keperluan lain yang wajib.

ii.  Untuk isteri (keperluan isteri yang menjadi tanggungjawab suami yang wajib berbentuk nafkah seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain).

iii.  Untuk anak (keperluan anak-anak seperti makan minum, pelajaran dan lain-lain).

iv.  Untuk pembantu, pekerja atau sesiapa yang berada dibawah tanggungannya.

v.  Mereka yang dirasakan layak dan berhak mengikut keutamaan.

3.  Menurut Imam al-Nawawi, sedekah kepada diri sendiri bermaksud menggunakan harta untuk memenuhi keperluan hidup yang halal, seperti makan, pakaian, tempat tinggal, dan kesihatan. Ia juga bertujuan menjauhkan diri daripada meminta-minta dan bergantung kepada orang lain.

4.  Sedekah yang paling utama ialah yang memberi manfaat paling besar, bermula dengan tanggungan terdekat yang wajib dipelihara. Dengan itu, sedekah yang baik bukan sekadar banyak, tetapi strategik dan penuh hikmah.

Ayuh bersedekah mengikut keutamaan kepada yang berhak dan bukan hanya kepada orang miskin tetapi termasuk nafkah dan keperluan keluarga.


Thursday, November 13, 2025

Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

Khamis, 22  Jamadil Awal 1447H  | Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin. Setiap kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin. Seorang suami juga pemimpin atas keluarganya. Seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya." (HR Bukhari No: 4801) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kita adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan setiap yang berada di bawah kepimpinan kita. Kepimpinan adalah amanah, bukan keistimewaan.

2.  Seorang ketua sama ada sebagai pemimpin Negara, negeri, daerah, organisasi, jabatan, unit termasuk keluarga, besar atau kecil tetap akan dipertanggungjawabkan kepimpinan dibawahnya..

3.  Sebagai suami akan ditanya kepimpinannya terhadap isteri, anak-anak serta yang berada di bawah tanggungjawabnya.

4.  Sebagai isteri ada tanggungjawab dalam rumahtangga, sama ada terhadap suami mahupun anak-anak.

5.  Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab kepimpinan bersama dalam rumah tangga. Dalam membina keluarga bahagia, suami dan isteri sewajarnya saling bekerjasama berperanan memimpin dan mencorakkan rumahtangga.

6.  Setiap Muslim mesti menunaikan amanah kepimpinan dengan penuh ihsan sama ada sebagai pemerintah, ketua keluarga, guru, atau ibu bapa.  Setiap kepimpinan akan dinilai bukan pada pangkat, tetapi pada amanah dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Laksanakanlah amanah tanggungjawab yang ada dengan sebaik mungkin kerana ianya akan dipertanggungjawabkan.


Wednesday, November 12, 2025

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

Rabu, 21 Jamadil Awal 1447H  |  Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ فَقُلْتُ عَنْ النَّبِيِّ فَقَالَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَنْفَقَ الْمُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً

Daripada Abu Mas'ud Al-Anshari maka aku berkata; Dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Apabila seorang muslim memberi nafkah pada ahli keluarganya dengan niat mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah, maka perbelanjaan itu dikira sebagai sedekah untuknya." (HR Bukhari No: 4932) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi seorang suami dan bapa kepada anak-anak, memberi nafkah keperluan kepada ahli keluarga adalah tanggungjawab wajib. Nafkah kepada isteri, anak-anak dan keluarga bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi ibadah yang berpahala besar jika dilakukan dengan niat mencari keredaan Allah.

2.  Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga isteri dan anak-anak-anak mengikut kemampuannya. Menyia-nyiakannya akan menyebabkan berdosa. Sabda Rasulullah SAW:

كفى بًالمرء إثما أن يضيع من يقوت

“Cukuplah seseorang dikatakan berdosa jika ia menyia-nyiakan orang yang menjadi tanggungannya” (HR Abu Daud 1692) Status:  Hadis Sahih

3.  Memberi nafkah  ke atas orang yang berada di bawah tanggungannya adalah sedekah. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga dengan sebab perkahwinan, merangkumi makan minum, rumah kediaman, penjagaan kesihatan, perlindungan, kasih sayang, pendidikan dan lain-lain.

4.  Dalam masyarakat hari ini, walaupun isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Isteri masih boleh membantu di mana yang sesuai sebagai pelengkap. Sumbangan isteri kepada keluarga juga dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

5.  Keluarga ialah institusi pertama tempat beramal kebajikan. Seorang Muslim tidak boleh mengabaikan keperluan dan kebajikan ahli keluarganya. Seorang suami atau bapa tidak sepatutnya merasa terbeban dalam menanggung keluarga, bahkan berasa gembira kerana setiap sen yang dibelanjakan menjadi ganjaran di sisi Allah SWT.


Tuesday, November 11, 2025

Ciri Wanita Untuk Dikahwini

Selasa, 20 Jamadil Awal 1447H  |  Ciri Wanita Untuk Dikahwini

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Wanita itu dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah Wanita yang beragama, nescaya kamu akan beruntung dan beroleh kebahagiaan." (HR Bukhari No: 4700) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perkahwinan adalah ibadah yang digalakkan bagi yang berkemampuan untuk menyalurkan naluri seks yang halal serta dibenarkan oleh syarak untuk mencari keredhaan Allah.

2.  Wanita ideal yang dipilih menjadi isteri sebaiknya memiliki empat ciri berikut:

a)  Berharta
b)  Berketurunan baik (termasuk keturunan yang ramai)
c)  Cantik
d)  Beragama

3.  Pemilihan wanita yang berdasarkan kepada harta, keturunan dan kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Pemilihan ini tidak dapat menjamin sepenuhnya kebahagiaan rumahtangga serta pendidikan anak-anak yang bakal dilahirkan.

4.  Pemilihan jodoh sama ada bagi lelaki mahupun wanita hendaklah mengutamakan kepada mereka yang beragama dan beramal dengan kehendak agama (soleh dan solehah). Selepas aspek beragama, barulah dilihat aspek harta, keturunan dan kecantikan.

5.  Memilih pasangan yang beragama sebagai keutamaan dan pra syarat akan melahirkan kehidupan yang Sakinah mawaddah warahmah serta menjadikan hidupnya sentiasa kaya dengan akhlak, rohani dan jasmani serta beruntung di dunia dan akhirat.

6.  Imam Nawawi menjelaskan maksud: “فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ” ialah pilihlah wanita yang beragama, kerana wanita yang beragama akan mendidik keluarga atas dasar taqwa, menjaga maruah, dan membawa ketenangan hidup.

7.  Rasulullah SAW juga mengingatkan kita:

لاَ تَزَوَّجُوا النِّسَاءَ لِحُسْنِهِنَّ فَعَسَى حُسْنُهُنَّ أَنْ يُرْدِيَهُنَّ وَلاَ تَزَوَّجُوهُنَّ لأَمْوَالِهِنَّ فَعَسَى أَمْوَالُهُنَّ أَنْ تُطْغِيَهُنَّ وَلَكِنْ تَزَوَّجُوهُنَّ عَلَى الدِّينِ وَلأَمَةٌ خَرْمَاءُ سَوْدَاءُ ذَاتُ دِينٍ أَفْضَلُ

Janganlah kalian menikahi para wanita semata-mata kerana kecantikan mereka, kerana kecantikannya mungkin akan merosakkan mereka (kerana tertipu dan sombong dengan kecantikan). Jangan juga menikahi para wanita kerana harta mereka kerana berkemungkinan harta akan menyebabkan mereka jatuh dalam maksiat dan kejahatan. Akan tetapi, hendaklah kalian berkahwin dengan perempuan atas dasar agama. Seorang hamba perempuan yang sumbing pada mulut dan telinga tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna lebih baik (daripada perempuan yang merdeka yang membelakangi perintah agamanya. (HR Ibn Majah No: 185).

8.  Hadis ini menggariskan prinsip penting dalam membina rumah tangga bahagia, iaitu menjadikan agama sebagai kriteria tertinggi dalam memilih pasangan. Kecantikan, keturunan, dan kekayaan hanyalah hiasan sementara, tetapi agama dan akhlak yang baik menjamin kebahagiaan yang kekal.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

Monday, November 10, 2025

Paling Sempurna Iman

Isnin, 19 Jamadil Awal 1447H   | Paling Sempurna Iman

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُهُمْ خِيَارُهُمْ لِنِسَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara mereka adalah yang paling baik terhadap isterinya." (HR Ahmad No: 7095) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kesempurnaan iman seseorang diukur melalui akhlak dan budi pekertinya.

2.  Orang yang memiliki Iman yang sempurna ialah orang yang berjaya menggabungkan kekuatan iman dengan akhlak mulia iaitu lemah lembut, sabar, berlapang dada, memaafkan, serta menjauhi sifat kasar dan sombong.

3.  Kemuliaan akhlak seseorang lelaki paling jelas dilihat pada sikap terhadap isterinya. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa kebaikan lelaki kepada isteri termasuklah:

•  bertutur dengan lembut,
•  menafkahkan dengan ihsan,
•  bersabar dengan kelemahan isteri,
•  menzahirkan kasih sayang serta penghormatan.

4.  Kebaikan sebenar bermula dalam rumah tangga. Seorang yang baik kepada isterinya menunjukkan kekuatan iman, keperibadian, dan kepimpinan rohani dalam keluarga.

5.  Akhlak baik terhadap wanita adalah tanda kemuliaan dan keimanan. Islam menolak kezaliman, kekasaran, dan penghinaan terhadap wanita dalam apa jua bentuk.

6.  Berakhlak baik, berlemah lembut dan penyayang terhadap ahli keluarga termasuk dalam kesempurnaan iman. Hadis Nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ

Daripada Aisyah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya termasuk orang yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan paling lembut terhadap keluarganya." (HR Tirmizi No: 2537)

Jadilah orang yang paling baik akhlak dalam kehidupan termasuk dalam berkeluarga untuk menjadi mukmin yang paling sempurna.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

Sunday, November 9, 2025

Jadilah Wanita Solehah

Ahad, 18 Jamadil Awal 1447H   | Jadilah Wanita Solehah

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Daripada Abdurrahman bin Auf RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (kehormatannya) dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya; 'Masuklah kamu ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang kamu kehendaki'." (HR Ahmad No: 1573) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Wanita yang solehah di hari akhirat diberi kelebihan untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki dengan syarat ia memenuhi empat kriteria berikut:

a)  Melaksanakan solat lima waktu dengan sempurna

b)  Berpuasa wajib di bulan Ramadhan

c)  Menjaga kemaluan (maruah diri)

d)  Taat dan berbakti kepada suami.

2.  Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa “حَفِظَتْ فَرْجَهَا” bermaksud wanita menjaga kesucian diri daripada perbuatan keji dan juga memelihara kehormatan perkahwinannya dengan tidak berlaku curang, serta menutup aurat dan menjauhi fitnah.

3.  Ketaatan kepada suami merupakan ibadah yang besar ganjarannya.
Selagi tidak bercanggah dengan hukum Allah.

4.  Hadis ini menonjolkan kemuliaan wanita dalam Islam. Kebahagiaan dan keselamatan akhirat dapat dicapai melalui ketaatan kepada Allah dan tanggungjawab terhadap suami. Wanita yang menjaga ibadahnya, kehormatannya, dan keluarganya akan mendapat penghormatan tertinggi daripada Allah, iaitu memasuki syurga dari mana-mana pintu yang diingini.
Berusahalah menjadi wanita yang solehah.

Bersama membina keluarga Bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama


Saturday, November 8, 2025

Jadilah Suami Mithali

Sabtu, 17 Jamadil Awal 1447H  | Jadilah Suami Mithali

عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ قَالَتْ كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ

Daripada Al Aswad berkata, "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah tentang apa yang dilakukan oleh Nabi SAW ketika berada di rumah. Maka 'Aisyah pun menjawab, "Baginda selalu membantu urusan keluarganya, apabila tiba  waktu solat maka baginda keluar untuk melaksanakannya (di masjid)." (HR Bukhari No: 635) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh apabila berada di rumah dengan membantu kerja-kerja rumah tangga seperti menjahit pakaian, memerah susu, menampal kasut dan melayani ahli keluarganya.

2.  Membantu urusan rumah bukanlah merendahkan martabat seorang suami, bahkan menzahirkan kasih sayang dan tanggungjawab.

3.  Rasulullah SAW juga tidak mengabaikan ibadat solat fardhu di masjid apabila sampai waktunya di samping peranannya dalam masyarakat.

4.  Pemimpin yang baik ialah yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah,  keluarga (rumah tangga) dan kemudian tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan baik dan sempurna.

5.  Keluarga yang bahagia akan terhasil apabila suami dan isteri dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan saling membantu dalam urusan harian tanpa mengabaikan kewajipan kepada Allah S.W.T.

6.  Sifat tawaduk, kasih sayang, dan tolong-menolong dalam keluarga membawa keberkatan dan keharmonian rumah tangga.

Para suami sewajarnya mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga dengan membantu urusan harian isteri di rumah dan menjaga kewajipan terhadap Allah seperti solat fardhu yang ditunaikan di masjid.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama


Friday, November 7, 2025

Sedekah Kepada Ahli Keluarga

Jumaat, 16 Jamadil Awal 1447H    | Sedekah Kepada Ahli Keluarga

عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Daripada Az Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa'id bin Al Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA dari Nabi SAW  bersabda: “Sedekah yang paling baik ialah sedekah yang diberikan ketika seseorang itu masih berkecukupan (tidak berhajat kepada orang lain), dan mulakanlah dengan (menafkahkan kepada) orang yang berada di bawah tanggunganmu.” (HR Bukhari No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amalan bersedekah atau pemberian kepada orang lain adalah amalan mulia yang dituntut kepada setiap Muslim.

2.  Sedekah yang terbaik ialah sedekah yang tidak membawa kepada kemudaratan diri atau tanggungan, sebaliknya dilakukan dengan kemampuan dan keikhlasan.

3.  Keutamaan nafkah dan sedekah diberikan kepada ahli keluarga terlebih dahulu seperti isteri, anak dan ibu bapa sebelum bersedekah kepada orang luar.

4.  Antara perkara yang membawa kebahagiaan dalam berkeluarga adalah saling melaksanakan tanggungjawab. Satu daripada tanggungjawab ketua keluarga ialah menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

5.  Bersedekah atau pemberian yang sebaiknya adalah selepas menyempurnakan hak dan tanggungjawab ke atas ahli keluarga. Firman Allah:

وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ

“Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” Yang lebih dari keperluan.” (Al Baqarah: 219).

Al ‘afwu dalam ayat di atas bermakna sedekah itu di luar keperluan asas (Ibnu Katsir, 2: 145).

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Rasulullah SAW bersabda: "Sedekahmu pada orang-orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu pada kerabatmu bernilai dua iaitu; (1) sedekah dan (2) menyambung silaturahim." (Musnad Ahmad No: 17197) Isnad Hasan

6.  Hadis ini menekankan prinsip keseimbangan antara tanggungjawab keluarga dan kebajikan masyarakat. Sedekah yang paling afdhal ialah sedekah yang dilakukan dengan penuh tanggungjawab, dalam keadaan mampu, serta dimulakan dengan ahli keluarga sendiri.

Mulakan pemberian kepada ahli keluarga terlebih dahulu termasuk ibu bapa serta kaum kerabat yang terdekat, lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui ada ahli keluarga kita yang ada masalah kewangan.

Bersama membina keluarga bahagia. Kasih Keluarga, Bahagia Bersama