Tuesday, July 22, 2025

Zikir Jauhi Gangguan Jin dan Syaitan

Selasa, 26 Muharram 1447H  |  Zikir Jauhi Gangguan Jin dan Syaitan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ عِفْرِيتًا مِنْ الْجِنِّ تَفَلَّتَ عَلَيَّ الْبَارِحَةَ أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلَاةَ فَأَمْكَنَنِي اللَّهُ مِنْهُ فَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تُصْبِحُوا وَتَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ فَذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ رَبِّ هَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي قَالَ رَوْحٌ فَرَدَّهُ خَاسِئًا

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW, Baginda bersabda: Sesungguhnya 'Ifrit dari golongan Jin malam tadi menggagguku untuk memutus solatku tapi Allah memberikan aku keupayaan untuk menundukkannya. Aku mahu mengikatnya di salah satu tiang daripada tiang-tiang masjid sehingga kewaktu subuh sehingga tiap orang daripada kalian akan dapat melihatnya. Namun aku teringat doa saudaraku Sulaiman AS ketika berdoa: '(Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh seseorangpun selepasku) (Surah Shaad: 35). Kemudian Baginda mengusirnya dalam keadaan hina. (HR Bukhari No: 441) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Manusia akan sentiasa diganggu oleh jin dan syaitan termasuklah ketika solat di kiri dan kanan, belakang dan hadapan dengan pelbagai gangguan dan bisikan.

2.  Jin dan Syaitan adalah makhluk Allah yang tidak mempunyai kuasa untuk memberikan manfaat juga mudarat melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasnya. Manusia tidak sewajarnya menjadikan jin dan syaitan sebagai pelindung.

3.  Jin terbahagi kepada dua golongan iaitu yang beragama Islam dan yang kufur terhadap Allah. Jin yang kufur dan Syaitan akan sentiasa berusaha menyesatkan manusia.

4.  Rasulullah SAW menyuruh kita memohon perlindungan kepada Allah daripada golongan yang menyesatkan. Antaranya, doa sebelum mendirikan solat sepertimana firman Allah:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ ٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ ٩٨

Maksudnya: Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan  dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan tidak menghampiriku (Surah al-Mukminun ayat: 97-98)


No comments: