Ahad, 2 Safar 1447H | Doa Ketika Ziarah Pesakit
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَحْضُرْهُ أَجَلُهُ، فَقَالَ عِندَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ: أَسْأَلُ اللهَ العَظِيمَ، رَبَّ العَرْشِ العَظِيمِ، أَنْ يَشْفِيَكَ، إِلَّا عَافَاهُ اللهُ مِنْ ذَلِكَ المَرَضِ
Daripada Ibnu ‘Abbas RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, lalu dia mengucapkan sebanyak tujuh kali di sisinya: أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ، رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، أَنْ يَشْفِيَكَ (Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Pemilik ‘Arasy yang Agung, agar Dia menyembuhkanmu) nescaya Allah akan menyembuhkannya dari penyakit tersebut.” (HR Tirmizi No: 2083) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Menziarahi orang sakit adalah sunat yang sangat dituntut kerana akanmengeratkan silaturahim dan mengurangkan kesedihan pesakit dan keluarganya.
2. Ziarah orang sakit bukan hanya menunaikan hak sesama Muslim, tetapi juga kesempatan untuk mendoakan kebaikan buat pesakit.
3. Antara adab menziarahi pesakit adalah membawa harapan dan semangat dengan mendoakan kesembuhan buat pesakit. Antaranya dengan membaca doa ini sebanyak 7 kali:
" أَسْأَلُ اللهَ العَظِيمَ، رَبَّ العَرْشِ العَظِيمِ، أَنْ يَشْفِيَكَ "
Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Pemilik ‘Arasy yang Agung, agar Dia menyembuhkanmu.”
4. Doa adalah senjata mukmin dan merupakan sebahagian daripada ikhtiar disamping rawatan perubatan. Dalam hadis ini, kebergantungan diserahkan sepenuhnya kepada kebesaran dan kekuasaan Allah Tuhan Pemilik Arasy yang agung.
5. Semoga kita termasuk dalam kalangan orang yang sentiasa mendoakan khususnya kepada orang yang sakit dan menyebarkan rahmat kepada sesama manusia.
No comments:
Post a Comment