Tuesday, July 29, 2025

Pengakhiran Kalimah Untuk Masuk Syurga

Selasa, 4 Safar 1447H  |   Pengakhiran Kalimah Untuk Masuk Syurga

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Mu‘az bin Jabal RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang akhir kata-katanya (sebelum meninggal dunia) ialah ‘Lā ilāha illā Allāh’ (Tiada tuhan melainkan Allah), maka dia akan masuk syurga." (HR Abu Daud No: 1621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kalimah "La ilaha illa Allah" (Tiada Tuhan melainkan Allah) adalah kunci utama syurga, ia merupakan asas akidah dan bukti keimanan seseorang.

2.  Al-Qurtubi menyebutkan, maksud “akhir kalam” bukan semata-mata secara lisan fizikal, tetapi kalimah terakhir yang keluar dari kesedaran hati dan lidah serta diucapkan dengan iman yang benar, bukan secara kebetulan atau tanpa sedar.

3.  Menurut Imam Ibn Rajab, hanya orang yang hidupnya dibina atas tauhid dan amal soleh akan diberi taufik oleh Allah untuk menyebut kalimah ini di akhir hayat.

4.  Pengakhiran dengan kalimah ini adalah tanda husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan petanda besar keampunan Allah.

5.  Orang yang biasa dengan zikrullah ketika hidup lebih mudah mengucapkannya ketika menghadapi sakaratul maut.

6.  Hadis ini memberikan harapan besar kepada orang beriman: jika akhir kalimah kita ialah "La ilaha illa Allah", maka syurga adalah balasannya. Namun, juga menjadi peringatan bahawa pengakhiran itu tidak datang tanpa usaha. Bahkan memerlukan kehidupan yang dibina atas iman, amal, taubat dan pengharapan kepada rahmat Allah.


No comments: