Jumaat, 22 Muharram 1447H | Doa Kesejahteraan Dibaca Pagi dan Petang
حَدَّثَنِي جُبَيْرُ بْنُ أَبِي سُلَيْمَانَ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ قَالَ: سَمِعْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقُولُ: لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَدَعُ هَؤُلاَءِ الْكَلِمَاتِ إِذَا أَصْبَحَ وَإِذَا أَمْسَى: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي. اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي. اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Diriwayatkan oleh Jubair bin Abi Sulaiman bin Jubair bin Mut’im, beliau berkata: Aku mendengar Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini setiap kali baginda berada pada waktu pagi dan petang: ‘Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keampunan dan kesejahteraan dalam agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutuplah keaibanku dan tenangkanlah rasa takutku. Ya Allah, lindungilah aku dari hadapan, dari belakang, dari kanan, dari kiri dan dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada diserang secara tiba-tiba dari bawahku.’ (HR Abu Daud No: 5074) Status: Hadis Sahih.
Pengajaran:
1. Doa sebagai benteng harian. Dalam hadis ini Rasulullah SAW mengajar kita doa untuk dibaca pada waktu pagi dan petang.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي وَمَالِي. اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي. اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ مِنْ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
2. Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menyebut bahawa “العافية” (kesejahteraan) adalah antara nikmat terbesar yang diminta oleh Rasulullah SAW. Ianya merangkumi kesejahteraan akidah, jasmani, harta, dan keluarga. Oleh itu, Nabi SAW menjadikan doa ini sebahagian daripada rutin hariannya.
3. Kita diajar memohon perlindungan menyeluruh kepada Allah dari segala arah merangkumi daripada depan, belakang, kanan, kiri, atas, dan bawah menunjukkan kepada kita potensi bahaya dari segala arah, zahir dan batin, termasuk gangguan manusia, jin, dan musibah tidak dijangka.
4. Selain kesejahteraan, Rasulullah SAW juga memohon keampunan daripada dosa, kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Hal ini mengajarkan bahawa keselamatan rohani lebih penting daripada keselamatan jasmani sahaja.
5. Hadis ini memperlihatkan betapa pentingnya doa dalam kehidupan seorang Muslim, dan bagaimana Rasulullah SAW sendiri menjadikannya rutin harian. Ia merupakan model doa yang sangat komprehensif, merangkumi permohonan keselamatan fizikal, mental, dan spiritual. Seorang Muslim disarankan mengamalkan doa ini setiap pagi dan petang agar mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT dalam segenap aspek kehidupannya.
No comments:
Post a Comment