Friday, July 4, 2025

Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

Jumaat, 8 Muharram 1447H  |   Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, aku mendengar Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa melakukan puasa satu hari di jalan Allah (dalam melakukan ketaatan pada Allah / jihad ), maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun. (HR Bukhari No: 2840) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Puasa adalah antara ibadat yang menjadikan seseorang hamba dekat dengan syurga dan jauh daripada neraka.

2.  Puasa adalah perisai kepada seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدْ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka” (HR Ahmad 3/241) Status: Hadis Sahih

3.  Sehari ibadat puasa oleh seorang Mukmin yang dilakukan dengan ikhlas akan menjauhkan seseorang dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.

4.  Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk melakukan puasa sunat khususnya pada bulan Muharam. Antara hari yang digalakkan berpuasa selain daripada Isnin dan Khamis, puasa Tasu’a (9 Muharam) dan puasa Asyura (10 Muharam) juga puasa sunat pada pertengahan bulan hijrah atau dipanggil puasa hari puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah)

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Dari Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari Bidh  (Putih) dalam sebulan iaitu tiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Marilah kita melakukan puasa sunat pada sepanjang bulan Muharam ini selain daripada puasa pada hari ke 9 (Tasu’a), hari ke 10 (Asyura). Disamping  puasa sunat hari Isnin dan Khamis juga puasa hari-hari puteh pada 13hb, 14hb dan 15hb Muharam.

Moga ibadat puasa akan menghindarkan kita dari api neraka.


Thursday, July 3, 2025

Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

Khamis, 7 Muharram 1447H  |  Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abdullah bin Abbas RA, beliau menceritakan: Ketika Nabi SAW melaksanakan puasa Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa. Kemudian ada sahabat yang berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang Yahudi dan Nasrani. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tahun depan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Namun, belum sampai tahun depan, Nabi SAW diwafatkan. (HR Muslim No: 1916) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara hari yang digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa sunat hari Tasu'a (9hb Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam)

2.  Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam)  dan puasa sunat Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.

3.  Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:

a)  Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura  (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b)  Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c)  Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

Marilah kita tunaikan puasa Sunat Tasu'a (9hb Muharam) yang jatuh pada 5hb Julai hari Sabtu dan puasa Sunat Asyura (10hb Muharam) pada 6hb Julai hari Ahad. Moga Allah akan mengampukan dosa-dosa kita setahun yang lalu.

Mungkinkah Muharam ini tidak akan kita temui pada tahun hadapan?


Wednesday, July 2, 2025

Puasa Asyura

Rabu, 6 Muharram 1447H  |  Puasa Asyura

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan dari pada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam)

2.  Puasa Asyura ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa setahun yang lalu (Imam Nawawi kata diampunkan segala dosa kecil). Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:

سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة

Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR. Muslim No: 1976). Status: Hadis Sahih

Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura pada 6hb Julai ini. Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu. Jadilah Muslim yang memiliki jati diri yang kukuh, bersih dari dosa dan maksiat. Kita perlu melahirkan warganegara yang merdeka daripada dosa, dan dalam masa yang sama memiliki peribadi yang utuh untuk membangunkan Negara yang Sejahtera.




Tuesday, July 1, 2025

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

Selasa, 5 Muharam 1447H  |  Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang dibuktikan dengan sifat berkasih sayang sesama saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Mengikut Sarjana Muslim, maksud kasih sayang adalah:

a.  Sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW telah mengislamkan beberapa orang pimpinan kaum Aus dan Khazraj dan mereka telah dipersaudarakan yang sebelum ini puluhan tahun sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain. Apabila berlaku peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan pula golongan Muhajirin dan Ansar. 

5.  Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.

6.  Marilah kita menjadikan peringatan peristiwa hijrah ini dengan menyemarakkan ikatan saling berkasih sayang. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.

7. Kesempurnaan iman bukan hanya diukur melalui ibadah khusus kita sahaja, tetapi sejauh mana seseorang itu mampu menyayangi dan menginginkan kebaikan untuk orang lain sebagaimana untuk dirinya sendiri.

JOM sempena Maal Hijrah 1447 ini kita sempurnakan iman dengan saling berkasih sayang dan berukhuwah untuk mewujudkan Negara Malaysia yang cemerlang dan diampuni Allah.

Membangun Ummah Madani

#BangunkanJiwaTaqwa