Sunday, August 31, 2025

Akhlak Muslim

Ahad, 7 Rabiul Awal 1447H  | Akhlak Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: 'Janganlah kalian saling mendengki, saling melakukan Najsh (sengaja menawarkan harga belian yang tinggi sedangkan dia tidak berniat membelinya dengan tujuan supaya orang lain merasakan barangan tersebut bernilai tinggi dan mereka akan membelinya dengan harga yang lebih mahal). Jangan saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menzalimi, tidak boleh mengkhianati dan tidak  merendahkan ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Setiap Muslim dengan yang Iain adalah haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya (dicerobohi)." (HR Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam melarang umatnya berakhlak buruk antaranya:

a.Berdengki
b. Najsh (menipu dalam jual beli atau manipulasi harga)
c.Membenci
d.Memusuhi atau memutuskan hubungan
e.Membeli sesuatu yang telah dibeli atau dijanjikan kepada orang lain

2.Setiap Muslim adalah bersaudara. Muslim dilarang berbuat zalim dengan Muslim yang lain antaranya dengan cara:

a.Menzalimi
b.Mengkhianati
c.Menghina

3. Taqwa adalah asas akhlak yang baik, letaknya di dalam hati dan mesti dizahirkan dalam tindakan.

4.Seseorang Muslim dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim.

5.Penghinaan  boleh berlaku apabila seseorang meremeh, memperlekeh juga merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan termasuk kesalahan mereka. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang tesebut.

6.Muslim sesama Muslim dilarang:

a.Menumpahkan darah sesama Muslim
b.Menzalimi hartanya
c.Merendahkan kehormatannya

Dalam kita membina sebuah masyarakat dan negara yang harmoni, marilah kita memelihara hak saudara Muslim sebagai tanda kita menyayangi mereka. Jauhilah berakhlak buruk terhadap Muslim yang lain serta tidak menzaliminya. Ukhuwah Islamiah adalah asas kekuatan umat; ia runtuh jika hak persaudaraan diabaikan.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 
telegram.me/hadisharian_ikram

Saturday, August 30, 2025

Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

Sabtu, 6 Rabiul Awal 1447H  | Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah kamu daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, jangan mengintip, janganlah kamu saling dengki-mendengki, jangan berpaling daripada saudaramu, jangan saling membenci, dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari No: 5717) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain kerana ia membawa kepada dosa dan perpecahan.

2.  Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa prasangka buruk terhadap orang Islam tanpa bukti akan merosakkan hati, menimbulkan permusuhan, dan membawa kepada dosa mengumpat serta fitnah.

3.  Seorang Muslim wajib menjaga kehormatan saudaranya dengan tidak mencari-cari berita atau mengintip kelemahan, aib atau kesalahannya. Kedua-duanya dilarang kerana ia melanggar hak peribadi Muslim dan boleh memecah belahkan masyarakat.

4.  Hasad dengki adalah penyakit hati yang membinasakan amal dan merosakkan hubungan persaudaraan.

5.  Islam melarang sikap berpaling daripada saudara Muslim yang lain, tidak bertegur dan memutuskan silaturahim.

6.  Islam juga melarang saling membenci, sama ada melalui kata-kata, perbuatan, atau sikap yang lahir daripada hati yang kotor.

7.  Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim dengan sentiasa hidup dalam suasana kasih sayang, dan menjadi saudara seagama yang sejati.

Marilah kita  menjaga persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, tidak berdengki, elakkan membenci, dan tidak membelakangkan orang lain. Hiduplah kita sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan mengukuhkan persaudaraan berlandaskan iman dan kasih sayang.


Friday, August 29, 2025

Muslim Yang Utama

Jumaat, 5 Rabiul Awal 1447H  | Muslim Yang Utama

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam yang bagaimanakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lidah dan tangannya". (HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.  Menjaga lidah daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.  Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa lidah boleh menjadi punca fitnah, ghibah (mengumpat), namimah (adu domba), penghinaan, penipuan, dan syirik. Oleh itu, menjaga lidah daripada kata-kata yang menyakiti orang lain adalah tanda kesempurnaan Islam seseorang.

4.  Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya mencuri, memukul, merampas haka tau merosakkan harta benda malah termasuk menulis dan menyebarkan sesuatu yang berbentuk umpatan, fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain.

5.  Individu yang paling utama di sisi Allah adalah mereka yang sentiasa dirasai kebaikannya serta tidak menyakiti dan memudaratkan orang lain yang berada disekelilingnya sama ada melalui lisan mahupun perbuatannya.

6.  Kita perlu ingat, apa yang ditulis, ditutur mahupun perlakuan kita  terhadap orang lain akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)

7.  Imam al-Khaththabi berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

8.  Seorang Muslim yang sempurna Islamnya ialah yang tidak menyakiti orang lain dengan perbuatannya. Marilah kita menjadi  Muslim yang utama dengan menjaga lisan dan tangan kita daripada menyakiti dan menzalimi orang di sekeliling kita tanpa mengira bangsa dan agama.


Thursday, August 28, 2025

Saling Berkasih Sayang Dengan Menyebarkan Salam

Khamis, 4 Rabiul Awal 1447H  | Saling Berkasih Sayang Dengan Menyebarkan Salam

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman. Dan kamu tidak dikatakan benar-benar beriman sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang apabila kamu melakukannya, nescaya kamu akan saling berkasih sayang? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kamu.” (Sahih Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syurga hanya untuk orang yang beriman

2.  Satu daripada syarat menjadi orang beriman ialah saling menyayangi sesama mereka

3.  Menurut Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, syarat utama untuk masuk syurga ialah iman yang sempurna. Namun, iman itu tidak akan sempurna melainkan dengan adanya kasih sayang sesama Muslim.

4.  Kasih sayang yang dimaksudkan bukan hanya perasaan di hati, tetapi dizahirkan dengan perbuatan seperti memberi salam, membantu, mendoakan, dan menjaga hak-hak persaudaraan.

5.  Tuntutan menyebarkan salam apabila bertemu sesama Muslim sama ada orang yang kita kenal atau tidak.

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ

“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. [HR Muslim, no 56]

6.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa amalan memberi salam adalah kunci kepada perhubungan hati. Salam bukan sekadar ucapan, tetapi doa keselamatan dan kesejahteraan bagi saudaranya.

7.  Salam menumbuhkan rasa cinta, menghilangkan kebencian, mengeratkan silaturahim, dan memupuk suasana aman dalam masyarakat.


Wednesday, August 27, 2025

Saling Berkasih Sayang Kerana Allah Dinaungi Di Hari Kiamat

Rabu, 3 Rabiul Awal 1447H   |  Saling Berkasih Sayang Kerana Allah Dinaungi Di Hari Kiamat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak: "Dimanakah orang-orang yang saling berkasih sayang kerana keagungan-Ku? Hari ini kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku." (Sahih Muslim No: 4655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Saling mengasihi dan berkasih sayang antara sesama orang beriman adalah suatu tuntutan.

2. Menurut Imam al-Nawawi, kasih sayang kerana Allah bermaksud seseorang mencintai saudaranya semata-mata kerana agama, iman dan ketaatan, bukan kerana dunia, harta, atau kepentingan lain.

3.Dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah akan tergolong dalam salah satu golongan yang akan mendapat naungan di hari Kiamat. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa naungan Allah adalah satu bentuk perlindungan khusus daripada kepanasan dan kesusahan di Padang Mahsyar.

4.Ibnu Hajar rahimahullah berkata, dua orang yang saling menyayangi di jalan Allâh, di mana ia berpisah dan berkumpul kerana-Nya, iaitu apabila keduanya saling menyayangi kerana agama, bukan kerana yang lainnya. Menyayangi kerana agama ini tidak putus, baik dia berkumpul secara hakiki atau tidak, sampai kematian memisahkan keduanya.

5.Seorang lelaki yang menyayangi lelaki lain kerana Allah begitu juga wanita yang menyayangi wanita lain kerana Allah, dianjurkan  oleh Rasûlullâh SAW agar kita memberitahu kepadanya. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis  dengan lafaz:

إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ

Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allâh

Kemudian balaslah ucapan tersebut dengan lafaz:

أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ

Mudah-mudahan Allâh menyayangimu yang telah menyayangiku kerana-Nya.

Dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera, berusahalah kita memiliki seramai mungkin sahabat yang baik dengan mengasihi mereka. Moga kita tergolong dalam golongan yang mendapat naungan di hari akhirat nanti dengan saling menyayangi sahabat kita semata-mata kerana Allah.


Tuesday, August 26, 2025

Kesempurnaan Iman Dengan Mengasihi Orang Lain

Selasa, 2 Rabiul Awal 1447H  |  Kesempurnaan Iman Dengan Mengasihi Orang Lain

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak beriman  (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri". (HR Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim.

2.Jika kita suka diri kita mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya menyayangi saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama. Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain.

3. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa kasih sayang itu bermaksud menginginkan kebaikan dunia dan akhirat untuk saudaranya sama seperti dia inginkan untuk dirinya sendiri, bukan sekadar perkara duniawi.

4. Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa apabila seseorang mukmin benar-benar mencintai saudaranya, dia tidak akan sanggup menzalimi, menipu, atau mengambil kesempatan atas kelemahan saudaranya. Sebaliknya, dia akan berusaha menjaga hak-hak saudaranya dan menggembirakannya.

5.Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini  begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam.

6.Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat” (al-Hujurat: 10)

7.Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.

Marilah kita memperbaharui semangat perpaduan dan kebersamaan dengan saling mengasihi dan menyayangi orang lain. Semoga sifat tersebut mengukuhkan jati diri kita dalam bekerjasama mewujudkan Negara Yang Utuh Teguh dan mendapat keredhaan Allah.


Monday, August 25, 2025

Sayangi Manusia Lain

Isnin, 1 Rabiul Awal 1447H  | Sayangi Manusia Lain

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ

Daripada Jarir bin Abdullah RA berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia." (HR Bukhari  No: 6828) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat saling mengasihi dan menyayangi sesama manusia adalah suatu keperluan dalam mewujudkan kehidupan yang rahmah dan berkasih sayang.

2.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa maksud hadis ini ialah sesiapa yang tidak menzahirkan sifat rahmah (kasih sayang, belas ihsan, simpati, tolong-menolong) terhadap orang lain, maka Allah tidak akan melimpahkan rahmat-Nya kepadanya.

3.  Menyayangi sesama manusia dengan cara menunaikan tanggungjawab yang menjadi hak orang lain yang berada di sekeliling antaranya seperti sabda Rasulullah SAW:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain itu ada enam: (iaitu) apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah dia, apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, doakan dia (dengan mengucapkan Yarhamukallah), apabila dia sakit, jenguklah dia, dan apabila dia meninggal, iringilah jenazahnya.” (HR Muslim No: 4023) Status: Hadis Sahih

4.  Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini bersifat umum iaitu meliputi rahmat kepada semua manusia, sama ada Muslim atau bukan Muslim, kanak-kanak, orang tua, fakir miskin, hamba, atau sesiapa sahaja.

5.  Kasih sayang sesama manusia akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan terhindar daripada penindasan.

6.  Jauhilah sifat benci, dengki, sakit hati sesama kita juga kaum dan bangsa lain. Jadikanlah perbezaan bangsa untuk kita saling berkenal mesra dan menyebarkan kebaikan agar kita menjadi qudwah kepada mereka.


Sunday, August 24, 2025

Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

Ahad, 30 Safar 1447H  |  Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik." (Sunan Tirmizi No: 1910)  Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana-mana sahaja berada dan dalam setiap waktu.

2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa taqwa ialah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya dalam setiap keadaan, sama ada ketika bersendirian atau di khalayak ramai.

3.Takwa itu ialah sifat berhati-hati dan sentiasa merasakan diri diawasi oleh Allah.

4.Abu Darda berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah seorang hamba yang takut kepada Allah hinggakan dalam urusan seberat zarahpun dia masih takut. Setengah perkara yang halal pun ditinggalkan kerana takut ia menjadi haram.

5.Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan seperti beristighfar, berwuduk, solat, sedekah dan sebagainya. Firman Allah:

إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذٰلِكَ ذِكرىٰ لِلذّٰكِرينَ

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu akan menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat. (Surah Hud ayat: 114)

6.Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan Non Muslim.

7.Jagalah akhlak dalam perhubungan sesama kita dalam organisasi dan masyarakat. Elakkan umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya.

Jadilah kita orang bertaqwa, yang melakukan amal soleh dan menjauhi mungkar, serta berakhlak mulia dalam pergaulan sesama manusia. Bersamalah kita membina masyarakat dan negara yang harmoni dan sejahtera.


Saturday, August 23, 2025

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

Sabtu, 29 Safar 1447H  |  Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

حَدَّثَنَا هَاشِمٌ حَدَّثَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ حَدَّثَنِي شَهْرٌ حَدَّثَنِي أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Telah menceritakan kepada kami Hasyim telah menceritakan kepadaku Abdul Hamid telah menceritakan kepadaku Syahr telah menceritakan kepadaku Abu Dzabyah ia berkata; Bahawasanya Syurahbil bin As Simth memanggil Amru bin Abasah As Sulami dan bertanya, "Wahai Ibnu Abasah, apakah Anda mahu menceritakan kepadaku suatu hadis yang telah Anda dengar dari Rasulullah SAW tanpa ada tambahan ataupun kedustaan? Dan janganlah anda ceritakan kepadaku suatu hadis dari sahabat lain yang ia mendengarnya dari baginda selain anda. Amru bin Abasah berkata; Baiklah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala telah berfirman: 'Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'"(Musnad Ahmad No: 18621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah apabila:

1.  Saling mencintai kerana Allah

2.  Saling merapatkan hubungan (ukhuwah) kerana Allah

3.  Saling menziarahi kerana Allah

4.  Saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Allah

5.  Saling menyantuni dengan bantu membantu dan tolong menolong kerana Allah

Marilah kita tanamkan sifat saling menyayangi, pereratkan ukhuwah sesama kita, saling menziarahi dan menyantuni khususnya kepada yang lebih tua juga orang yang lemah. Dengan adanya sifat dan amalan terpuji ini, kita akan berjaya membina masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera.

Jadikanlah diri kita orang yang dicintai Allah dari asbab kecintaan kita kepada orang lain.


Friday, August 22, 2025

Jadilah Warganegara Bermanfaat

Jumaat, 28 Safar 1447H   |   Jadilah Warganegara Bermanfaat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ  وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW  bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh (HR Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. Status hadis hasan dalam Sahih Al Jaami’ no. 176).

Pengajaran:

1.Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, berusahalah menjadi orang yang paling bermanfaat kepada orang lain kerana orang yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

2.Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang,  membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.

3.Realiti hidup pada masa kini ada yang terkesan dengan pelbagai masalah antaranya kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan masalah orang lain. Perbuatan tersebut lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi.

4. Marilah kita menjadi orang yang bermanfaat dengan sentiasa berusaha mewujudkan masyarakat dan negara yang bersatu padu dan diredhai Allah.  Berusahalah kita menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Keberadaan kita dalam organisasi,  masyarakat dan negara amat dirasai manfaat kebaikannya. Ketiadaan kita pula akan ditangisi.




Thursday, August 21, 2025

Manusia Yang Paling Dicintai Allah

Khamis, 28 Safar 1447H   | Manusia Yang Paling Dicintai Allah

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ  وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW  bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh (HR Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. Status hadis hasan dalam Sahih Al Jaami’ no. 176).

Pengajaran:

1.Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, berusahalah menjadi orang yang paling bermanfaat kepada orang lain kerana orang yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

2.Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang,  membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.

3.Realiti hidup pada masa kini ada yang terkesan dengan pelbagai masalah antaranya kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan masalah orang lain. Perbuatan tersebut lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi.

4. Marilah kita menjadi orang yang bermanfaat dengan sentiasa berusaha mewujudkan masyarakat dan negara yang bersatu padu dan diredhai Allah.  Berusahalah kita menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Keberadaan kita dalam organisasi,  masyarakat dan negara amat dirasai manfaat kebaikannya. Ketiadaan kita pula akan ditangisi.


Wednesday, August 20, 2025

Rahmat Kepada Semua

Rabu, 26 Safar 1447H  |  Rahmat Kepada Semua

عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:  لَنْ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَرَاحَمُوا. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ كُلُّنَا رَحِيمٌ. قَالَ:  إِنَّهُ لَيْسَ بِرَحْمَةِ أَحَدِكُمْ صَاحِبَهُ وَلَكِنَّهَا رَحْمَةُ النَّاسِ رَحْمَةُ الْعَامَّةِ

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum (kepada seluruh makhluk)” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)

2.  Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.

3.  Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.

4.  Umat Islam haruslah memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujurat: 13)

5.  Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia adalah dituntut. Ia boleh dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji. Bersifat rahmah dengan menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.

6.  Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih sayang kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah serta sesama manusia.

7.  Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam.

8.  Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.

9.  Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

“Sesungguhnya Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”. (HR At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih Al-Jaami’ no 2377)

Marilah kita berkongsi nilai membina semangat setiakawan sesama rakyat Malaysia. Bersifat rahmah sebagai Muslim kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita sentiasa teguh bersama membina negara tercinta.


Tuesday, August 19, 2025

Orang Yang Terbaik

Selada, 25 Safar 1447H   |   Orang Yang Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ  فَقَالَ   أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ   قَالَ  فَسَكَتُوا  فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ  فَقَالَ رَجُلٌ  بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ  أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا  قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ  وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ 

Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik di antara yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW pun mengulangi pertanyaan tersebut sampai tiga kali. Kemudian mereka pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik di antara yang terburuk di antara kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda,“Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak merasa aman dari gangguannya.” (Sunan  Tirmidzi no. 2263) Status: Sahih dalam Shahih Al-Jami’ no. 2603.

Pengajaran:

1.  Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan  kebaikan kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguannya.

2.  Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguannya

3.  Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai kebaikan oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain. (HR Ibn Hibban  No:  2/48)

4.  Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. (Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139


Monday, August 18, 2025

Sujud Mengugurkan Dosa

Isnin, 24 Safar 1447H   |   Sujud Mengugurkan Dosa

عَنْ سَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الْمُسْلِمَ لِيُصَلِّيَ وَخَطَايَاهُ مَوْضُوعَةٌ عَلَى رَأْسِهِ ، فَكُلَّمَا سَجَدَ تَحَاتَّتْ عَنْهُ ، فَتَفْرُغُ حِينَ يَفْرُغُ مِنْ صَلَاتِهِ ، وَقَدْ تَحَاتَّتْ خَطَايَاهُ

Daripada Salman al-Farisi RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang Muslim apabila dia solat, dosa-dosanya diletakkan di atas kepalanya. Maka setiap kali dia sujud, dosa-dosa itu gugur daripadanya. Maka apabila dia selesai solat, dia pun telah selesai dalam keadaan dosa-dosanya telah gugur daripadanya." (HR Tabarani No: 1153 dalam al-Mu‘jam al-Kabir, dan disebut juga oleh al-Mundhiri dalam al-Targhib wa al-Tarhib) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kepentingan Solat dalam kehidupan Muslim bukan sahaja tuntutan ibadah, tetapi juga jalan penyucian diri daripada dosa yang boleh mencemari hati dan iman.

2.  Sujud bukan sekadar gerakan fizikal, tetapi ia mempunyai dimensi rohani yang mendalam. Sujud adalah kedudukan paling hampir antara hamba dan Tuhannya, dan pada saat itu rahmat dan keampunan Allah sangat dekat.

3.  Menurut Imam al-Nawawi, pengampunan ini merujuk kepada dosa-dosa kecil, sementara dosa besar memerlukan taubat yang khusus. Maka, solat menjadi sebab penghapusan dosa-dosa kecil.

4.  Hadis ini mengingatkan kita bahawa solat bukan hanya kewajipan, tetapi anugerah dan rahmat. Malah orang yang solat berpeluang berulang-ulang untuk membersihkan diri daripada dosa. Sujud dalam solat menjadi lambang penyerahan diri dan penghinaan ego, yang dengannya Allah memuliakan dan mengampunkan hamba-hamba-Nya.


Sunday, August 17, 2025

Perbanyakkan Doa Ketika Sujud

Ahad, 23 Safar 1447H  | Perbanyakkan Doa Ketika Sujud

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Waktu paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkan doa. (HR Muslim no: 482) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sujud adalah kedudukan paling istimewa dalam solat. Waktu sujud adalah posisi fizikal yang menunjukkan penghinaan diri secara mutlak kepada Allah dan paling hampir kepada-Nya.

2.  Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa kedudukan paling hampir dalam hadis ini bukan secara fizikal, tetapi dari segi kedudukan kerohanian dan kemuliaan, kerana sujud melambangkan puncak kehinaan diri di hadapan Allah dan kerendahan hati sepenuhnya.

3.  Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din menyebut bahawa hati yang hadir dan penuh tumpuan dalam sujud adalah kunci utama doa dimakbulkan, dan ketika itu jiwa sangat hampir dengan rahmat Ilahi.

4.  Doa adalah senjata Mukmin. Perbanyakkan doa ketika sujud kerana ia antara tempat mustajabnya doa.

5.  Hadis ini mendidik kita bahawa sujud adalah waktu paling hampir antara seorang hamba dengan Tuhannya, dan oleh itu kita dianjurkan memperbanyak doa dalam keadaan tersebut. Sujud mengisyaratkan bahawa kedekatan kepada Allah bukan melalui kedudukan duniawi atau fizikal, tetapi melalui pengabdian yang ikhlas dan tunduk hati dalam ibadah.

Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

Saturday, August 16, 2025

Kelebihan Sujud Dalam Solat

Sabtu, 22 Safar 1447H  |  Kelebihan Sujud Dalam Solat

عَنْ ثَوْبَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً، إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً، وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً، وَرَفَعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةً، فَاسْتَكْثِرُوا مِنَ السُّجُودِ

Daripada Thawban RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Tiada seorang hamba pun yang bersujud kepada Allah dengan satu sujud, melainkan Allah akan menulis untuknya satu kebaikan, menghapuskan daripadanya satu dosa (keburukan), dan mengangkatnya satu darjat. Maka perbanyakkanlah sujud. (HR Muslim No: 488) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menunjukkan kelebihan sujud sebagai bentuk ibadah yang sangat mulia. Sujud merupakan tempat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya.

2.  Sujud bukan hanya dalam solat fardhu, tetapi juga termasuk sujud dalam solat sunat, sujud tilawah, dan sujud syukur. Hal ini memperlihat bahawa amalan sujud mempunyai kesan rohani yang sangat besar.

3.  Ibn Hajar al-Asqalani menegaskan bahawa tiga ganjaran yang disebut dalam hadis ini untuk orang yang sujud iaitu penambahan pahala, penghapusan dosa, dan peningkatan darjat adalah tanda kasih sayang dan kemurahan Allah SWT terhadap hamba-Nya.

4.  Hadis ini menggalakan agar memperbanyak sujud sebagai galakan untuk memperbanyak solat, khususnya solat sunat, kerana setiap kali sujud dalam solat membawa kepada ganjaran tersebut.

5.  Memperbanyak sujud bermakna memperbanyak peluang untuk mendapat rahmat dan keampunan Allah serta mendekatkan diri kepada Allah.


Friday, August 15, 2025

Wuduk Menghapuskan Dosa

Jumaat, 21 Safar 1447H   |   Wuduk Menghapuskan Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ، أَوِ الْمُؤْمِنُ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ، خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ، خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ، خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنَ الذُّنُوبِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya setiap dosa yang dilihat oleh matanya bersama air  atau bersama titisan terakhir air. Apabila dia membasuh kedua tangannya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air  atau bersama titisan terakhir air. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh kakinya ketika berjalan, bersama air  atau bersama titisan terakhir air  hingga dia keluar dalam keadaan suci daripada dosa-dosa.” (HR Muslim No: 244) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa wuduk bukan hanya menyucikan tubuh secara zahir, tetapi juga menyucikan hati dan roh dengan menghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh anggota tubuh. Setiap kali seseorang membasuh anggota wuduk, dosanya yang berkaitan dengan anggota tersebut akan diampunkan.

2.  Ulama berpendapat bahawa dosa yang diampunkan melalui wuduk adalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan perbuatan anggota badan  seperti melihat perkara haram, menyentuh perkara dosa, berjalan ke tempat maksiat, dan sebagainya. Manakala dosa besar  memerlukan taubat nasuhah.

3.  Setiap anggota badan memainkan peranan dalam penentuan dosa dan pahala. Maka, perlu dijaga dengan baik anggota mata, tangan, kaki dan lain-lain.

4.  Pentingnya kesempurnaan dan keikhlasan dalam berwuduk yang dilakukan dengan penuh tumpuan, tertib dan niat yang betul akan membawa kepada keampunan Allah.

5.  Wuduk boleh menjadi penyebab kepada pengampunan dosa, oleh itu wuduk perlu dilakukan dengan sempurna dan penuh penghayatan, bukan sekadar sambil lewa.

6.  Islam mengajar bahawa kebersihan luaran membawa kepada kebersihan dalaman, dan ini mendekatkan diri kepada Allah.


Thursday, August 14, 2025

Anggota Wuduk Bercahaya

Khamis, 20 Safar 1447H  |   Anggota Wuduk Bercahaya

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ، عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan wajah, tangan dan kaki mereka bercahaya disebabkan kesan wuduk. Maka sesiapa yang mampu memanjangkan cahaya (kesan wuduk) itu, hendaklah dia melakukannya." (HR Bukhari No:136) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Wuduk adalah lambang cahaya keimanan di akhirat. Orang beriman dikenali melalui kesan anggota wuduk mereka. Pada hari kiamat, umat Nabi Muhammad SAW akan dikenali dengan tanda cahaya pada anggota wuduk mereka.

2.  Amalan wuduk bukan hanya persediaan untuk solat, tetapi ibadah itu sendiri yang akan memberi manfaat besar di akhirat.

3.  Wuduk bukan sekadar menyucikan tubuh, tetapi melakar cahaya akhirat yang akan menyinari kita di hadapan Allah kelak.

4.  Imam An-Nawawi menerangkan digalakkan meluaskan sedikit kawasan basuhan wuduk – sunat (seperti melewatkan sempadan siku atau buku lali), dengan syarat tidak berlebihan.

5.  Hadis ini mengangkat ibadah wuduk sebagai tanda kemuliaan umat Islam pada hari kiamat. Kesan wuduk akan menjadi sinar pengenalan di akhirat, maka kita digalakkan untuk memperelok dan menyempurnakan wuduk, malah menambah sedikit basuhan (tanpa berlebihan) bagi menzahirkan kesungguhan dalam ibadah.


Wednesday, August 13, 2025

Cara Berwuduk Sempurna

Rabu, 19 Safar 1447H   |  Cara Berwuduk Sempurna

عَنْ ‌حُمْرَانَ مَوْلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رضي الله عنه: أَنَّهُ رَأَى عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ دَعَا بِوَضُوءٍ، فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِنْ إِنَائِهِ، فَغَسَلَهُمَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا، وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلَاثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كُلَّ رِجْلٍ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، وَقَالَ:  مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غَفَرَ اللهُ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

Daripada Humran, maula (pembantu) kepada Saidina Uthman bin ‘Affan RA meriwayatkan bahawa dia pernah melihat Saidina Uthman meminta air untuk berwuduk. Lantas ia menuangkan air dari bekasnya ke kedua tangannya lalu membasuhnya tiga kali, lalu memasukkan tangan kanannya ke air wuduk kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya. Setelah itu, ia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya sampai ke siku tiga kali. Lalu ia mengusap kepalanya, kemudian membasuh setiap kakinya tiga kali. Kemudian ia berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian mendirikan solat dua rakaat dan tidak bercakap dengan dirinya (tidak lalai), nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari No: 159) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menjadi dalil utama bagi tatacara wuduk Nabi SAW, ia merangkumi semua rukun dan sunat wuduk secara tertib bermula dari membasuh kedua tangan, berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya, membasuh muka, membasuk kedua tangan hingga ke siku, menyapu kepala, dan membasuh kaki hingga ke buku lali semuanya dilakukan sebanyak tiga kali.

2.  Dua rakaat solat sunat selepas wuduk bukan sekadar solat biasa, tetapi penyempurna wuduk yang membawa keampunan dosa jika dilakukan dengan khusyuk.

3.  Imam Malik berpendapat bahawa wuduk yang sempurna dan disusuli solat sunat selepasnya menunjukkan penyucian fizikal dan rohani, yang menyebabkan seseorang layak menerima keampunan daripada Allah SWT.

4.  Khusyuk dalam solat adalah kunci kepada penerimaan ibadah dan pengampunan dosa.

5.  Hadis ini memberikan panduan lengkap tentang tatacara wuduk Nabi SAW, dan ganjaran besar kepada sesiapa yang mencontohi cara tersebut. Solat sunat wuduk yang dilakukan dengan penuh khusyuk adalah ibadah yang mendalam dan membawa keampunan dosa-dosa yang lalu.


Tuesday, August 12, 2025

Doa Berpakaian Baharu

Isnin, 17 Safar 1447H  |  Doa Berpakaian Baharu

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ، عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Daripada Abu Said al-Khudri menceritakan bahawa apabila Rasulullah SAW memakai pakaian baru, Baginda akan menamakainya mengikut jenisnya seperti serban, baju atau selendang, kemudian Baginda berdoa: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'" (HR Abu Daud No: 4020) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mensyukuri nikmat berpakaian tanpa mengira pakaian itu biasa atau mewah, ia tetap kurniaan Allah.

2.  Berdoa ketika menerima nikmat baru, seperti pakaian baharu, adalah sunnah yang patut diamalkan.

3.  Setiap nikmat ada potensi baik dan buruknya, justeru kita diajar agar sentiasa memohon kepada Allah untuk diberi kebaikan dan dijauhkan keburukan daripada pakaian yang kita pakai.

4.  Antara doa ketika memakai pakaian baharu ialah melahirkan rasa Syukur dengan lafaz pujian kepada Allah di samping memohon kebaikan pakaian tersebut, kebaikan tujuan ia diperbuat juga perlindungan daripada keburukan pakaian tersebut seperti riak atau digunakan untuk perkara maksiat.

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Maksudnya: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'

5.  Doa ini mendidik hati agar bersikap tawaduk dan bersandar hanya kepada Allah dalam setiap urusan, termasuk hal kecil seperti berpakaian.

6.  Hadis ini mengajarkan kesyukuran, kesedaran dan akhlak mulia dalam perkara seharian seperti memakai pakaian baharu.


Bunyi Terompah Bilal Di Syurga

Selasa, 18 Safar 1447H  |  Bunyi Terompah Bilal Di Syurga

عن أبي هريرة رضى الله عنه : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ عِنْدَ صَلَاةِ الْفَجْرِ يَا بِلَالُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الْإِسْلَامِ فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الْجَنَّةِ قَالَ مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ      

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA ketika solat Subuh: "Wahai Bilal, ceritakan kepadaku amalan yang paling engkau harapkan ganjarannya dalam Islam, kerana sesungguhnya aku mendengar suara terompahmu di hadapanku di dalam syurga."
Lalu Bilal menjawab: "Aku tidak melakukan satu amalan pun yang paling aku harapkan ganjarannya selain daripada setiap kali aku berwuduk pada waktu malam atau siang, aku akan solat dengannya (wuduk itu) sebanyak yang ditakdirkan untukku solat." (HR Bukhari No: 1149) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menunjukkan keutamaan menjaga wuduk dan solat sunat selepas berwuduk, walaupun hanya dua rakaat. Amalan itu tidak semestinya besar, tetapi konsisten dan ikhlas, seperti yang dilakukan oleh Bilal bin Rabbah.

2.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa bunyi terompah Bilal yang didengar oleh Nabi menandakan kedudukan tinggi Bilal di syurga dan Nabi bertanya bukan kerana tidak tahu, tetapi untuk mendidik umatnya tentang kelebihan amalan Bilal.

3.  Amalan Bilal penghuni Syurga walaupun kecil namun dilakukan dengan istiqamah iaitu sentiasa menjaga wuduk dan melaksanakan solat sunat selepas wuduk .

4.  Perbuatan Bilal menunjukkan bahawa wuduk bukan hanya persediaan untuk solat wajib, tetapi juga pembuka kepada solat sunat yang membawa keampunan dan pahala besar.

5.  Hadis ini menerangkan bahawa amalan ikhlas dan istiqamah, walaupun kecil, mampu menjadi sebab masuk syurga. Bilal bin Rabah r.a. tidak menyebut jihad, puasa, atau sedekah besar, tetapi hanya amalan berwuduk dan solat sunat selepas berwuduk yang dilakukannya secara tetap dan ikhlas.


Monday, August 11, 2025

Doa Berpakaian Baharu

Isnin, 17 Safar 1447H  |  Doa Berpakaian Baharu

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ، عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Daripada Abu Said al-Khudri menceritakan bahawa apabila Rasulullah SAW memakai pakaian baru, Baginda akan menamakainya mengikut jenisnya seperti serban, baju atau selendang, kemudian Baginda berdoa: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'" (HR Abu Daud No: 4020) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mensyukuri nikmat berpakaian tanpa mengira pakaian itu biasa atau mewah, ia tetap kurniaan Allah.

2.  Berdoa ketika menerima nikmat baru, seperti pakaian baharu, adalah sunnah yang patut diamalkan.

3.  Setiap nikmat ada potensi baik dan buruknya, justeru kita diajar agar sentiasa memohon kepada Allah untuk diberi kebaikan dan dijauhkan keburukan daripada pakaian yang kita pakai.

4.  Antara doa ketika memakai pakaian baharu ialah melahirkan rasa Syukur dengan lafaz pujian kepada Allah di samping memohon kebaikan pakaian tersebut, kebaikan tujuan ia diperbuat juga perlindungan daripada keburukan pakaian tersebut seperti riak atau digunakan untuk perkara maksiat.

اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ

Maksudnya: 'Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan.'

5.  Doa ini mendidik hati agar bersikap tawaduk dan bersandar hanya kepada Allah dalam setiap urusan, termasuk hal kecil seperti berpakaian.

6.  Hadis ini mengajarkan kesyukuran, kesedaran dan akhlak mulia dalam perkara seharian seperti memakai pakaian baharu.


Sunday, August 10, 2025

Larangan Tergesa-gesa Dalam Berdoa

Ahad, 16 Safar 1447H  |  Larangan Tergesa-gesa Dalam Berdoa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Akan dikabulkan doa salah seorang diantara kalian selama ia tidak terburu-buru, maksud terburu-buru, ia berkata; aku telah berdoa namun tidak dikabulkan doaku.  (HR Tirmizi No: 3309) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Berdoa adalah ibadah. Hendaklah seorang Muslim memperhatikan adab-adab dan syarat-syarat dalam berdoa yang merupakan sebab dikabulkan doa.

2.  Antara adab ketika berdoa ialah tidak terburu-buru dalam berdoa.

3.  Antara sifat terburu-buru yang dilarang ketika berdoa ialah tidak sabar untuk segera diperkenankan dengan berkata: “Aku sudah berdoa kepada Allah tapi kenapa Allah tak juga mengabulkan doaku.? Perkataan itu keluar dari seseorang yang lemah hatinya dan dia tidak yakin sepenuhnya kepada Allah. Bagaimana mungkin doanya akan diperkenankan.

4.  Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini mengajar kita untuk tidak berputus asa dalam berdoa, walaupun doa itu belum diperkenankan dalam waktu yang cepat. Allah SWT Maha Mengetahui masa terbaik untuk mengabulkan sesuatu permintaan hambanya.


5.  Berdoalah dengan bersungguh-sungguh tanpa merasa jemu dan bosan. Yakinlah, setiap kali kita berdoa ia adalah ibadah untuk kita. Yakinlah doa kita tetap akan dikabulkan. Yakinlah kita dengan Firman Allah:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila dia berdo’a kepada Ku.” (Surah Al-Baqarah ayat: 186).

6.  Jangan berputus asa dalam berdoa, terus berdoa dengan yakin dan sentiasa bersangka baik terhadap Allah.


Saturday, August 9, 2025

Zikir Melihat Sesuatu Yang Disukai dan Dibenci

Sabtu, 15 Safar 1447H  |   Zikir Melihat Sesuatu Yang Disukai dan Dibenci

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ  الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ  الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Daripada 'Aisyah RA, kebiasaannya Rasulullah SAW jika menyaksikan hal-hal yang baginda sukai, baginda mengucapkan “Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmus solihat” (segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna). Sedangkan jika baginda menyaksikan hal-hal yang tidak menyenangkan baginda mengucapkan “Alhamdulillah ‘ala kulli hal“ (segala puji bagi Allah atas segala keadaan)” (HR Ibn Majah No: 3803) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah contoh ikutan yang paling baik. Baginda SAW mengajar adab dalam menghadapi pelbagai keadaan hidup, sama ada baik atau buruk. Ia adalah tanda kesempurnaan iman, iaitu bersyukur ketika senang dan reda serta memuji Allah ketika susah.

2.  Rasulullah SAW mengajar kita ucapan zikir apabila melihat atau menerima suatu berita atau perkara yang kita sukai. Ucapkanlah kalimah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna.

3.  Rasulullah SAW juga mengajar kita ucapan zikir apabila menerima berita atau menyaksikan sesuatu yang tidak menyenangkan hati, maka ucapkanlah kalimah

الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Maksudnya: Segala puji bagi Allah atas segala keadaan.

4.  Hadis ini mengajar kita untuk mengawal reaksi dan emosi dengan berpandukan kepada zikir dan kesedaran akan hikmah setiap yang berlaku. 

#BangunkanJiwaTaqwa

Friday, August 8, 2025

Ucapan Salam Memasuki Rumah Tiada Penghuni

Jumaat, 14 Safar 1447H  |  Ucapan Salam Memasuki Rumah Tiada Penghuni

عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ‏:‏ إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ‏:‏ السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ‏

Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar RA berkata: Sekiranya seseorang itu masuk ke dalam rumah yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin (salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh)” (HR Bukhari No: 1055) dalam Adab al-Mufrad. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memberi salam ketika memasuki rumah sama ada yang berpenghuni mahupun yang tiada penghuni adalah dituntut.

2.  Imam al-Mutawalli berkata: “Dianjurkan bagi orang yang masuk rumah sendiri untuk memberi salam atas keluarganya dan dianjurkan bagi orang yang hendak masuk masjid atau rumah yang di dalamnya tidak terdapat orang lain, maka ucapkanlah; ‘Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillahissolihin.’.

3.  Imam Nawawi berkata: “Sebelum memasuki rumah yang tiada berpenghuni, dianjurkan untuk membaca basmallah, berdoa dan kemudian memberi salam.” (Kitab Raudhatul Thalibin)

Firman Allah SWT:

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً

Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. (Surah al-Nur ayat: 61)

Apabila kita ingin masuk ke dalam rumah atau bilik yang tiada penghuni, sama ada telah lama tiada berpenghuni ataupun yang kita diami cuma tiada orang di dalam, maka ucapkanlah:

السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.


Thursday, August 7, 2025

Zikir Keluar Rumah

Khamis, 13 Safar 1447H  |  Zikir Keluar Rumah

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ مَا خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَيْتِي قَطُّ إِلاَّ رَفَعَ طَرْفَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ: اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عليَّ

Daripada Ummu Salamah, beliau berkata: Nabi SAW tidaklah keluar dari rumahku kecuali baginda menghadapkan pandangannya ke langit, lalu baginda membaca zikir:
اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عليَّ
(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari aku tersesat atau disesatkan orang lain, dari aku tergelincir atau digelincirkan orang lain, daripada aku menzalimi atau dizalimi orang lain, dari kebodohanku atau dibodohkan orang lain) (HR Abu Daud No: 5094) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik.

2.  Antara adab  etika keluar dari rumah ialah berzikir memohon perlindungan kepada Allah;


اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عليَّ
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari aku tersesat atau disesatkan orang lain, dari aku tergelincir atau digelincirkan orang lain, daripada aku menzalimi atau dizalimi orang lain, dari kebodohanku atau dibodohkan orang lain.

3.  Zikir ini mengandungi permintaan perlindungan dari beberapa perkara:

a.  Meminta perlindungan dari perkara yang berkaitan dengan agama iaitu perlindungan dari kesesatan atau disesatkan sama ada oleh Syaitan, Jin juga manusia yang ingin menjauhkan kita daripada jalan yang lurus.

b.  Meminta perlindungan dari perkara yang berkaitan dengan masalah dunia iaitu menzalimi diri sendiri dengan dosa atau dizalimi orang lain terhadap jiwa, harta dan kehormatan.

c.  Meminta perlindungan dari perkara yang berkaitan dengan interaksi dalam masyarakat iaitu tergelincir dalam dosa atau digelincirkan oleh orang lain dengan kejahatan mereka.

d.  Meminta perlindungan dari kejahilan (kebodohan) diri sendiri atau diperbodohkan orang lain.

Berusahalah untuk mengamalkan doa ini ketika keluar rumah.


Wednesday, August 6, 2025

Doa Ketika Ujian Berat Menimpa

Rabu, 12 Safar 1447H  |  Doa Ketika Ujian Berat Menimpa

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ، فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Daripada Anas bin Malik RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana ditimpa musibah (kesusahan atau penderitaan). Jika dia terpaksa juga ingin berdoa (memohon kematian), maka hendaklah dia berkata: 'Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.'" (HR Bukhari No: 6351) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kita dilarang daripada meminta kematian hanya kerana ditimpa kesusahan, penyakit, kegagalan, atau tekanan hidup. Hidup dan mati adalah ketentuan qadar dan qada’ Allah, dan hikmah ujian yang datang tidak kita ketahui.

2.  Kesabaran dalam mengharungi ujian kehidupan adalah jalan kepada pengampunan dan ganjaran yang besar. Ujian hidup adalah cara Allah meninggikan darjat hamba-Nya.

3.  Jika kita merasa dalam keadaan sangat berat menghadapi ujian penyakit contohnya dan niatnya bukan untuk lari dari takdir, Nabi SAW mengajar doa yang lebih selamat dan penuh adab untuk dibaca:

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Maksudnya: Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.

4.  Kehidupan atau kematian adalah rahsia Allah. Kita tidak tahu sama ada kesusahan hidup itu sebenarnya membawa kebaikan, atau kematian itu sebenarnya membawa keburukan, maka kita serahkan kepada Allah yang Maha Mengetahui.


Tuesday, August 5, 2025

Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW

Selasa, 11 Safar 1447H  |  Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW

عن شهر بن حوشب قال‏:‏قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ  قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ  قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ  فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ  وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ

Daripada Syahr bin Hausyab, katanya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW disisi engkau?" Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) - “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” - Ummu Salamah berkata: "Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: "Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya." (HR Tirmizi No: 3522) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Sebagai Muslim kita perlu memperbanyak doa kepada Allah kerana doa umpama tali yang menghubungkan antara hamba dengan Pencipta.

2.  Antara doa yang sering dan banyak diucapkan oleh Rasulullah SAW adalah permohonan agar ditetapkan hati:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.

3.  Dikhususkan doa untuk tetap hati kerana jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan yang lain akan ikut menjadi baik.

4.  Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.

5.  Setiap kita memiliki hati yang bila-bila masa boleh berubah (berbolak balik).

6.  Rasulullah SAW mengajar doa agar kita memiliki hati yang tetap dan istiqamah

Banyakkan doa agar memiliki hati yang tetap dan istiqamah di atas jalan Islam.


Monday, August 4, 2025

Berselawat Tuntutan Mukmin

Isnin, 10 Safar 1447H  |  Berselawat Tuntutan Mukmin

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ

Daripada Ka'b ibnu Ujrah berkata, bahawa ketika ayat ini diturunkan : Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56) Lalu kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu. Maka bagaimanakah caranya mengucapkan selawat untukmu?" Rasulullah SAW. menjawab: Ucapkanlah, "Ya Allah, limpahkanlah selawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan limpahkanlah berkah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguh¬nya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia.” Abdur Rahman ibnu Abu Laila mengatakan, "Semoga dilimpahkan pula kepada kami disertakan dengan mereka." (HR Bukhari No: 2497) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin.

2.  Abul Aliyah telah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan selawat daripada Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Selawat dari para malaikat ialah doa mereka untuk Baginda Nabi SAW.

3.  Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat daripada Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat daripada para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.

4.  Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat ke atas baginda. Seafdhal-afdhal selawat adalah selawat yang biasa dibaca semasa tasyahud akhir setiap solat (Mustika Hadis 1/259) atau yang dipanggil selawat Ibrahimi:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

5.  Setiap Mukmin dituntut berselawat setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW. Antaranya dengan lafaz:

صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Atau

عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Marilah kita memperbanyak selawat ke atas Rasulullah SAW. Abi Umamah berkata Rasulullah bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً

Maksudnya: Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249 No: 5791) Status: Hadis Hasan


Sunday, August 3, 2025

Doa Pagi dan Petang

Ahad, 9 Safar 1447H  |  Doa Pagi dan Petang

حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْجَلِيلِ حَدَّثَنِي جَعْفَرُ بْنُ مَيْمُونٍ حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي بَكْرَةَ أَنَّهُ قَالَ لِأَبِيهِ : يَا أَبَتِ إِنِّي أَسْمَعُكَ تَدْعُو كُلَّ غَدَاةٍ اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَدَنِي اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي سَمْعِي اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَصَرِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ تُعِيدُهَا ثَلَاثًا حِينَ تُصْبِحُ وَثَلَاثًا حِينَ تُمْسِي وَتَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ تُعِيدُهَا حِينَ تُصْبِحُ ثَلَاثًا وَثَلَاثًا حِينَ تُمْسِي قَالَ نَعَمْ يَا بُنَيَّ إِنِّي سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُو بِهِنَّ فَأُحِبُّ أَنْ أَسْتَنَّ بِسُنَّتِهِ 

Telah menceritakan kepada kami Abu ‘Amir, telah menceritakan kepada kami Abdul Jalil, telah menceritakan kepadaku Ja’far bin Maimun, telah menceritakan kepadaku Abdurrahman bin Abu Bakrah bahawa ia berkata kepada Ayahnya; “Wahai ayahku, aku mendengarmu berdoa di setiap pagi dengan: Ya Allah, berikanlah kesehatan buat badanku, buat pendengaran dan penglihatanku, tiada Tuhan yang berhak di sembah selain Engkau. Ayah selalu mengulanginya hingga tiga kali ketika pagi dan petang, dan ayah juga selalu berdoa dengan doa: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu dari kekufuran, dan kefakiran, Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur, tidak ada Tuhan yang berhak di sembah kecuali Engkau. Ayah pun selalu mengulanginya tiga kali di waktu subuh dan tiga kali lagi di waktu petang.” Abu Bakrah menjawab; “Benar, wahai anakku, sebab aku pernah mendengarnya dari Nabi SAW, baginda juga selalu berdoa dengan (kalimat tersebut) sementara aku senang mengikuti sunahnya.”  (HR Ahmad No: 19534) Status: Hadis Hassan.

Pengajaran:

1.  Berdoa dalam apa juga situasi adalah suatu tuntutan dalam kehidupan Muslim.

2.  Antara doa Rasulullah SAW di waktu pagi dan diulang sebanyak tiga kali adalah:

اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَدَنِي اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي سَمْعِي اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَصَرِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: Ya Allah, berikanlah kesehatan buat badanku, buat pendengaran dan penglihatanku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.

3.  Antara doa Rasulullah SAW pada waktu petang juga dibaca tiga kali adalah: 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung diri kepada-Mu dari kekufuran, dan kefakiran, Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari siksa kubur, tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau.

Marilah kita amalkan doa ini diwaktu pagi dan petang.


Saturday, August 2, 2025

Zikir Penghapus Dosa Sebanyak Buih Dilaut

Sabtu, 8 Safar 1447H  |  Zikir Penghapus Dosa Sebanyak Buih Dilaut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW  baginda bersabda: Barangsiapa bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak tiga puluh tiga kali, dan bertahmid kepada Allah tiga puluh tiga kali, dan bertakbir kepada Allah tiga puluh tiga kali, hingga semuanya berjumlah sembilan puluh sembilan, dan baginda  menambah dan kesempurnaan seratus adalah membaca Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku walahul walahul hamdu wahuwa 'alaa kulli syai'in qadiir, maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan. (HR Muslim No: 939) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara amalan yang digalakkan selepas solat fardhu ialah membaca Tasbih (Subhaanallah) sebanyak 33 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan Takbir (Allahu Akbar) sebanyak 33 kali.

2.  Bagi menjadikan zikir tersebut sempurna, zikir terakhir (ke 100) dibaca sekali:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

3.  Sesiapa yang menyempurnakan zikir di atas dengan ikhlas, dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan (dosa kecil).

4.  Zikir ini merupakan salah satu bentuk kesyukuran atas nikmat solat dan kehidupan. Zikir ini juga berfungsi untuk membersihkan hati dan memperkukuh hubungan dengan Allah.

5.  Luasnya Rahmat Allah ke atas hamba-hambanya. Amalan yang amat mudah dan ringan untuk dilakukan, tetapi mempunyai ganjaran yang sangat besar. Berusahalah untuk istiqamah dengan zikir selepas solat fardhu, semoga ia menjadi penghapus dosa.


Friday, August 1, 2025

Zikir Selepas Makan Mengampunkan Dosa

Jumaat, 7 Safar 1447H  |  Zikir Selepas Makan Mengampunkan Dosa

عَنْ سَهْلِ بْنِ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَكَلَ طَعَامًا فَقَالَ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

Daripada Sahl bin Mu‘adz bin Anas, daripada bapanya, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang selepas makan mengucapkan:
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ
'Segala puji bagi Allah yang telah memberi aku makan ini dan merezekikannya kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatan daripadaku,' nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Tirmizi No: 3458) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Doa dan zikir adalah dituntut dalam apa juga yang dilakukan termasuk sebelum dan selepas makan.

2.  Islam mengajar adab dan akhlak selepas makan. Barangsiapa selepas makan berzikir dan membaca doa ini;
الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ
Maka akan diampunkan dosa-dosa kecilnya. Hal ini menunjukkan luasnya rahmat Allah dan keberkatan doa-doa harian apabila dihayati dengan ikhlas.

3.  Lafaz Doa ini mengandungi pengakuan bahawa tiada daya dan kekuatan pada kita melainkan dengan izin Allah. Bahkan mendidik jiwa untuk tidak sombong atau berbangga dengan usaha kita kerana rezeki bukan dari usaha kita semata-mata.

4.  Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi menyatakan: Hadis ini menunjukkan betapa besar nilai kesyukuran sebenar, hingga menjadi sebab diampunkan dosa.

5.  Amalkan doa selepas makan ini

"الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا، وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ”

Maksudnya: 'Segala puji bagi Allah yang telah memberi aku makan ini dan merezekikannya kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatan daripadaku,'