Sabtu, 6 Rabiul Awal 1447H | Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah kamu daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, jangan mengintip, janganlah kamu saling dengki-mendengki, jangan berpaling daripada saudaramu, jangan saling membenci, dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari No: 5717) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain kerana ia membawa kepada dosa dan perpecahan.
2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa prasangka buruk terhadap orang Islam tanpa bukti akan merosakkan hati, menimbulkan permusuhan, dan membawa kepada dosa mengumpat serta fitnah.
3. Seorang Muslim wajib menjaga kehormatan saudaranya dengan tidak mencari-cari berita atau mengintip kelemahan, aib atau kesalahannya. Kedua-duanya dilarang kerana ia melanggar hak peribadi Muslim dan boleh memecah belahkan masyarakat.
4. Hasad dengki adalah penyakit hati yang membinasakan amal dan merosakkan hubungan persaudaraan.
5. Islam melarang sikap berpaling daripada saudara Muslim yang lain, tidak bertegur dan memutuskan silaturahim.
6. Islam juga melarang saling membenci, sama ada melalui kata-kata, perbuatan, atau sikap yang lahir daripada hati yang kotor.
7. Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim dengan sentiasa hidup dalam suasana kasih sayang, dan menjadi saudara seagama yang sejati.
Marilah kita menjaga persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, tidak berdengki, elakkan membenci, dan tidak membelakangkan orang lain. Hiduplah kita sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan mengukuhkan persaudaraan berlandaskan iman dan kasih sayang.
No comments:
Post a Comment