Friday, August 15, 2025

Wuduk Menghapuskan Dosa

Jumaat, 21 Safar 1447H   |   Wuduk Menghapuskan Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ، أَوِ الْمُؤْمِنُ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ، خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ، خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ، خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنَ الذُّنُوبِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya setiap dosa yang dilihat oleh matanya bersama air  atau bersama titisan terakhir air. Apabila dia membasuh kedua tangannya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air  atau bersama titisan terakhir air. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh kakinya ketika berjalan, bersama air  atau bersama titisan terakhir air  hingga dia keluar dalam keadaan suci daripada dosa-dosa.” (HR Muslim No: 244) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa wuduk bukan hanya menyucikan tubuh secara zahir, tetapi juga menyucikan hati dan roh dengan menghapus dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh anggota tubuh. Setiap kali seseorang membasuh anggota wuduk, dosanya yang berkaitan dengan anggota tersebut akan diampunkan.

2.  Ulama berpendapat bahawa dosa yang diampunkan melalui wuduk adalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan perbuatan anggota badan  seperti melihat perkara haram, menyentuh perkara dosa, berjalan ke tempat maksiat, dan sebagainya. Manakala dosa besar  memerlukan taubat nasuhah.

3.  Setiap anggota badan memainkan peranan dalam penentuan dosa dan pahala. Maka, perlu dijaga dengan baik anggota mata, tangan, kaki dan lain-lain.

4.  Pentingnya kesempurnaan dan keikhlasan dalam berwuduk yang dilakukan dengan penuh tumpuan, tertib dan niat yang betul akan membawa kepada keampunan Allah.

5.  Wuduk boleh menjadi penyebab kepada pengampunan dosa, oleh itu wuduk perlu dilakukan dengan sempurna dan penuh penghayatan, bukan sekadar sambil lewa.

6.  Islam mengajar bahawa kebersihan luaran membawa kepada kebersihan dalaman, dan ini mendekatkan diri kepada Allah.


No comments: