Rabu, 19 Safar 1447H | Cara Berwuduk Sempurna
عَنْ حُمْرَانَ مَوْلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رضي الله عنه: أَنَّهُ رَأَى عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ دَعَا بِوَضُوءٍ، فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِنْ إِنَائِهِ، فَغَسَلَهُمَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا، وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلَاثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كُلَّ رِجْلٍ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، وَقَالَ: مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غَفَرَ اللهُ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Daripada Humran, maula (pembantu) kepada Saidina Uthman bin ‘Affan RA meriwayatkan bahawa dia pernah melihat Saidina Uthman meminta air untuk berwuduk. Lantas ia menuangkan air dari bekasnya ke kedua tangannya lalu membasuhnya tiga kali, lalu memasukkan tangan kanannya ke air wuduk kemudian berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya. Setelah itu, ia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya sampai ke siku tiga kali. Lalu ia mengusap kepalanya, kemudian membasuh setiap kakinya tiga kali. Kemudian ia berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian mendirikan solat dua rakaat dan tidak bercakap dengan dirinya (tidak lalai), nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (HR Bukhari No: 159) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Hadis ini menjadi dalil utama bagi tatacara wuduk Nabi SAW, ia merangkumi semua rukun dan sunat wuduk secara tertib bermula dari membasuh kedua tangan, berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya, membasuh muka, membasuk kedua tangan hingga ke siku, menyapu kepala, dan membasuh kaki hingga ke buku lali semuanya dilakukan sebanyak tiga kali.
2. Dua rakaat solat sunat selepas wuduk bukan sekadar solat biasa, tetapi penyempurna wuduk yang membawa keampunan dosa jika dilakukan dengan khusyuk.
3. Imam Malik berpendapat bahawa wuduk yang sempurna dan disusuli solat sunat selepasnya menunjukkan penyucian fizikal dan rohani, yang menyebabkan seseorang layak menerima keampunan daripada Allah SWT.
4. Khusyuk dalam solat adalah kunci kepada penerimaan ibadah dan pengampunan dosa.
5. Hadis ini memberikan panduan lengkap tentang tatacara wuduk Nabi SAW, dan ganjaran besar kepada sesiapa yang mencontohi cara tersebut. Solat sunat wuduk yang dilakukan dengan penuh khusyuk adalah ibadah yang mendalam dan membawa keampunan dosa-dosa yang lalu.
No comments:
Post a Comment