Thursday, August 7, 2025

Zikir Keluar Rumah

Khamis, 13 Safar 1447H  |  Zikir Keluar Rumah

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ مَا خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَيْتِي قَطُّ إِلاَّ رَفَعَ طَرْفَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ: اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عليَّ

Daripada Ummu Salamah, beliau berkata: Nabi SAW tidaklah keluar dari rumahku kecuali baginda menghadapkan pandangannya ke langit, lalu baginda membaca zikir:
اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عليَّ
(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari aku tersesat atau disesatkan orang lain, dari aku tergelincir atau digelincirkan orang lain, daripada aku menzalimi atau dizalimi orang lain, dari kebodohanku atau dibodohkan orang lain) (HR Abu Daud No: 5094) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik.

2.  Antara adab  etika keluar dari rumah ialah berzikir memohon perlindungan kepada Allah;


اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عليَّ
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari aku tersesat atau disesatkan orang lain, dari aku tergelincir atau digelincirkan orang lain, daripada aku menzalimi atau dizalimi orang lain, dari kebodohanku atau dibodohkan orang lain.

3.  Zikir ini mengandungi permintaan perlindungan dari beberapa perkara:

a.  Meminta perlindungan dari perkara yang berkaitan dengan agama iaitu perlindungan dari kesesatan atau disesatkan sama ada oleh Syaitan, Jin juga manusia yang ingin menjauhkan kita daripada jalan yang lurus.

b.  Meminta perlindungan dari perkara yang berkaitan dengan masalah dunia iaitu menzalimi diri sendiri dengan dosa atau dizalimi orang lain terhadap jiwa, harta dan kehormatan.

c.  Meminta perlindungan dari perkara yang berkaitan dengan interaksi dalam masyarakat iaitu tergelincir dalam dosa atau digelincirkan oleh orang lain dengan kejahatan mereka.

d.  Meminta perlindungan dari kejahilan (kebodohan) diri sendiri atau diperbodohkan orang lain.

Berusahalah untuk mengamalkan doa ini ketika keluar rumah.


No comments: