Rabu, 9 Syaaban 1447H | Jangan Menangguh Untuk Bersedekah.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Engkau bersedekah ketika engkau masih sihat dan ketika engkau berasa kedekut (kikir) dan takut menjadi miskin serta berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga nyawa telah sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, "Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sebenarnya telah menjadi milik si fulan (waris)." (HR Bukhari no: 2748) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Sedekah yang paling besar pahalanya ialah sedekah yang dilakukan:
a. Ketika seseorang masih sihat
b. Ketika berasa sayang kepada harta dan bimbang harta akan berkurang jika bersedekah
c. Ketika masih berhasrat mengumpul harta untuk menjadi kaya.
Hal ini kerana sedekah tersebut dilakukan dengan pengorbanan nafsu dan kecintaan dunia, bukan kerana terpaksa.
2. Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita. Menangguhkan sedekah boleh mengurangkan keikhlasan dan tidak menunjukkan pengorbanan sebenar.
3. Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai dihalkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.
4. Harta adalah amanah bukan milik mutlak kita.
5. Sedekah adalah latihan melawan sifat tamak dan cinta dunia.
No comments:
Post a Comment