Isnin, 9 Zulkaedah 1447H | Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا
Daripada Abi Hurairah RA, beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang mempunyai kelapangan belanja (kemampuan) tetapi tidak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat (masjid) kami. (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan
Pengajaran:
1. Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi.
2. Orang yang mempunyai kelapangan (kemampuan kewangan) tetapi dengan sengaja tidak melaksanakan ibadah korban, seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat pada Hari Raya (menunjukkan satu bentuk ancaman).
3. Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang lebihan untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah).
4. Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.
5. Imam Malik berkata: “Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)
6. Berusaha melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga.
7. Islam sangat menekankan semangat pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian sosial melalui ibadah korban. Sikap sambil lewa terhadap ibadah boleh membawa kepada kelalaian dalam agama.
8. Bagi mereka yang berkemampuan dan ada lebihan wang, afdhal melaksanakan Ibadat Korban di mana kita tinggal. Ayuh buat tempahan korban sekarang.
No comments:
Post a Comment