Ahad, 8 Zulkaedah 1447H | Satu Rumah Satu Ibadah Korban
عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة
Daripada Mikhnaf bin Sulaim RA, beliau berkata: Kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah (keluarga), satu ibadah korban pada setiap setahun" (HR Ibnu Majah No: 3116) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Kita telah memasukki bulan Zulkaedah. Kita ada lebih kurang sebulan lagi untuk menyambut kedatangan Hari Raya Eidul Adha di mana antara amalan yang dituntut kepada Muslim yang mampu adalah ibadah Kurban.
2. Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Satu sembelihan korban boleh mewakili satu keluarga. Dalam mazhab Syafie ibadat korban hukumnya sunat Muakkad (amat digalakkan).
3. Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan dari segi kewangan daripada penduduk tempatan
4. Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail AS. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah
5. Jika kita mampu membayar bil handset RM 40.00 hingga RM 100.00 sebulan, sanggup membayar bil unifi RM 80.00 bulanan, sewajarnya kita juga mampu menyimpan sekitar RM 80.00 sebulan untuk membeli satu bahagian daripada korban pada setiap Hari Raya Korban.
6. Kira-kira sebulan lagi kita akan bertemu dengan Hari Raya Korban, banyak masjid dan surau telah mula berkempen penyertaan ibadat korban kepada ahli kariah. Ambil kesempatan untuk menyertainya, paling kurang satu bahagian
7. Hadis ini menunjukkan kepentingan ibadah korban sebagai amalan tahunan yang sangat dituntut dalam Islam. Ia bukan sahaja simbol ketaatan kepada Allah SWT, tetapi juga medium untuk menyemai nilai pengorbanan, kesyukuran dan keprihatinan sosial dalam masyarakat. Dengan melaksanakannya, seorang Muslim dapat mendekatkan diri kepada Allah serta menghidupkan sunnah para nabi.
No comments:
Post a Comment