Isnin, 30 Syawal 1430 H : - Kebanyakan ulama tidak mengharuskan berjabat tangan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram (ajnabi) ini termasuklah Dr. Abdul Karim Zaidan, Dr. Abdullah Faqih, hatta ulama-ulama dari kalangan al-Syafie juga tidak mengharuskan berjabat tangan dengan perempuan yang bukan mahram.
Bagi mereka yang bermazhab al-Syafie juga memaklumi pertimbangan yang halus dalam masalah ini. Hujah yang dikemukakan dalam mengharamkan berjabat tangan antara lelaki dengan wanita ialah Rasulullah s.a.w. tidak pernah berjabat tangan dengan wanita biarpun dalam peristiwa baiah, sabda baginda yang bermaksud: " Demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah berjabat tangan dengan wanita dalam baiah." (Riwayat al-Bukhari, jld:8, halaman:636).
Dalam sepotong hadis yang lain daripada Aisyah r.a.h memberitahu yang bermaksud: Demi Allah sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah melakukan sesuatu apa pun yang tidak diperintah Allah, dan sesungguhnya tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan mana-mana perempuan.
Apabila Rasulullah menerima pengakuan baiah daripada mereka baginda berkata: "Aku telah terima baiah kamu dengan perkataan." (riwayat Muslim, jld:12, hlm:188-189 ).
Dalam masa yang sama pandangan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi juga banyak menyelesaikan persoalan ini. Beliau mengeluarkan fatwa berkaitan bab bersalaman dengan wanita (Fatawa Mu’asarah). Berikut adalah fatwa dan penjelasan beliau secara ringkas.
1. Harus berjabat tangan dengan syarat tidak disertai dengan syahwat, rasa kenikmatan atau rasa terangsang. Tidak menimbulkan fitnah. Jika disertai dengan syahwat dan terangsang nafsu, maka haram hukumnya walaupun dengan mahram (ipar duai, mertua, anak saudara dan lain- lain).
2. Berjabat tangan hendaklah pada tempat yang perlu sahaja. Contohnya: suasana hari raya, ramai sahabat handai, tetamu yang datang yang kebanyakannya adalah saudara-mara, sama ada melalui nasab atau perkahwinan.
3. Ia pada kadar yang tidak keterlaluan dan berlebihan sebagai langkah berjaga-jaga kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah berjabat salam dengan wanita bukan mahram.
4. Lelaki beriman yang menjaga agamanya seharusnya tidak memulakan salam (kepada wanita). Ia bersalaman bila pihak wanita yang memulakan dahulu.
5. Hukum bersalaman dengan wanita ini terhad dan khusus bagi siapa yang memerlukan sahaja.
Kesimpulannya, saya berpendapat harus bersalam dalam keadaan dan situasi tertentu sahaja. Contohnya, persidangan atau mesyuarat atau lawatan ke luar negara, yang menjadi kebiasaan orang berjabat tangan sebagai tanda selamat datang dan selamat pulang.
Jika tidak berjabat atau bersalam bagi mereka kurang beradab atau kurang sopan. Bayangkan sahaja ketika ada yang menghulur tangan kita di atas pentas atau sedang dikelilingi orang ramai. Mungkin keengganan kita bersalam boleh menjatuh air muka seseorang serta mengaibkannya.
Islam tegah kita bersalaman dengan wanita kerana khuatir fitnah. Saya kira persidangan dan mesyuarat bukanlah situasi yang boleh menimbulkan syahwat.
Dalam masa yang sama, janganlah bersikap terlalu mudah dalam hukum bersalam. Tentang bersalam dengan ahli-ahli korporat kerana menguruskan perniagaan, kalau boleh berusaha elok untuk mengelakkannya, kerana saya tidak nampak sebagai sesuatu yang mendesak.
Oleh : Mohd. Farid Ravi Abdullah
No comments:
Post a Comment