Thursday, October 29, 2009

Ibadat Qurban

Khamis, 22 Zulkaedah 1430H ;- Bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhjijah adalah bulan-bulan haji di mana difardukan Allah ke atas umat Islam akan ibadat haji bagi yang mampu melakukannya, iaitu mampu dari sudut kewangan, persediaan, kesihatan, kenderaan dan yang berkaitan dengannya. Didalam bulan Zulhijjah juga terdapat suatu ibadat sunat yang dituntut oleh agama Islam untuk dilaksanakan ialtu ibadat qurban sempena mengingati peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. seperti yang dikisahkan Al Quran (As-Shaaffat : 102) :"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata :"Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu, maka pikirkan apa pendapatmu !" ia (Ismail) menjawab : "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaallah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar".

Para ahli tafsir menyatakan, perintah Allah kepada Ibrahim agar menyembelih putranya sendiri untuk menyampaikan pesan kepada kita, bahwa betapapun besarnya cinta seseorang kepada anak atau apapun yang dimiliki, bukanlah sesuatu yang bererti bila Allah menghendakinya. Disebutkan juga dalam akhir kisah tersebut, Allah memberikan pengganti seekor domba besar atas keberhasilan Ibrahim dan Ismail dalam melaksanakan perintah dan ujian yang amat berat itu, seperti diungkap Al-Quran (As-Shaaffat : 107) :"Dan kamu tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar".

Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 : Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 : Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

Sabda Rasulullah S.A.W.: Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.

Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram. Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.

Diantara fadhilat-fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:
Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah: Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah. Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda: Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)

Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

Perlu diingatkan tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu. Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.

Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut. Walaubagaimana pun tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar. Tidak sah menyembelih korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya. Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya. Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.

Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban. Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :

1. Membaca Bismillahirrohmanirrahim
2. Berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
3. Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
4. Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
5. Membaca doa : Maksudnya: "Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya."

Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.

No comments: