Isnin,16 Syawal 1430H - Alhamdulillah, pada 31 Jun 2007 bersamaan dengan 14 Jamadilawal 1428 H ,saya dan jemaah Umrah Kota Mas TM seramai 29 orang telah selamat sampai ke Kota Madinah lebih kurang pukul 1.00 pagi ( waktu di Malaysia 5.00 petang ) selepas lebih kurang 18 jam perjalanan melalui udara dan darat. Kebesaran Allah terserah sepanjang perjalanan dimana manusia menyembah Allah bukan saja di daratan tetapi juga di udara. Akhirnya saya dan rombongan menjadi tertamu Allah dibumi yang penuh rahmat dan berkat ini “Madinah Al Munawarah.”.
Rasulullah SAW bersabda , “ Tidak digalakkan mengembara melainkan ke tiga buah masjid iaitu Masjidil Haram ( di Mekah), Masjidku ( Masjid Nabawi di Madinah) dan Masjid Aqsa (di Baitul Muqaddis ).”( Hadis riwayatkan dari Abu Hurairah.)
Rasulullah SAW bersabda, “ Tetamu Allah ada tiga : Orang yang berperang pada jalan Allah, orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah”. (Riwayat An Nasai, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Al-Hakim,Al-Baihaqi). Dan di riwayatkan juga oleh Ibhu Majah , Nabi SAW bersabda; “Allah menyeru mereka (untuk berperang, mengerjakan haji dan mengerjakan umrah) mereka menyahut seruanNYA dan mereka memohon ( berdoa) kepada Allah maka Allah mengurniakan kepada mereka ( apa yang mereka pohon)”.
Ketika masuk ke sempadan Kota Madinah selepas lebih kurang 5 jam perjalanan menaiki bas dari Lapangan Terbang Jeddah kami dikejutkan oleh Mutawif kerana ramai tertidur keletihan dan diminta membaca doa memasuki Kota Madinah. “ Ya Allah, negeri ini adalah tanah haram Rasulmu, dan telah Engkau haramkan ia di atas lisan baginda SAW, maka jadilah ia penjaga bagiku dari neraka, aman dari seksa dan buruk perhitungan di hari kemudian”. Amin
Kami akhirnya sampai di Hotel Al Wasil yang terletak lebih kurang 500 meter dari Masjid Nabawi. Masjid Nabawi diwaktu pagi semasa ketibaan kami tersergam indah dengan lampu yang terang benderang memancar dari menara-menaranya dan persekitaran. Di waktu pagi yang sunyi itu kelihatan manusia sudah mula beransur-ansur keluar dari penginapan masing-masing untuk menunju ke Masjid Nabawi. Kami jemaah yang baru tiba, walau pun masih keletihan dan mengantuk tidak sabar-sabar nak menyusul mereka. Tepat pukul 3:00 pagi azan pertama berkumadang di udara mengejutkan manusia yang lena dibuai mimpi dan kelihatan manusia mula berpusu-pusu ke Masjid Nabi dan jumlah mereka semakin ramai. Di Madinah azan dilaungkan dua kali iaitu yang pertama untuk persediaan solat Subuh dan sejam selepas itu barulah azan Subuh.
Selepas urusan di Hotel selesai kami dinasihatkan oleh Mutawaif bersiap-siap untuk ke Masjid Nabawi untuk mengerjakankan solat Suboh secara berjemaah. Setelah semua jemaah berkumpul kami terus ke Masjid dan sampai dibibir Masjid Nabawi kami terpaku sekejap melihat kehebatan pembinaanya. Dengan iringan doa masuk ke masjid kami melepasi pintu masuk dan sekali lagi kagum dengan kehebatan senibinanya dan keluasannya. Semua ruang yang luas itu sudah mula dipenuhi oleh para jemaah yang kebanyakannya berpakaian jubah serba putih dan dari berbagai bangsa. Di Masjid Nabawi jemaah wanita dikehendaki memasuki pintu yang dikhaskan untuk mereka dan bersolat juga khusus untuk wanita maka terpisahlah suami dengan isteri dan anak-anak perempuan tercinta mereka untuk seketika dan janji setia dibuat untuk tempat pertemuan selepas solat nanti. Kami yang buat pertama kali memasuki Masjid Nabawi masih lagi terpinga-pinga dan mengikut saja Ustaz dan tidak berani berpecah dari rombongan kami. Kami sempat minum air zam zam yang disediakan yang terdapat disetiap ruang masjid untuk para jemaah. Air zam zam yang dibawa dari Mekah itu sungguh menyegarkan dan memberi kekuatan kepada kami untuk menunaikan perintah Allah. Selepas mendapatkan tempat di bawah payung besar yang canggih (boleh dibuka dan tutup mengikut kesesuaian cuaca), kami kemudian menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid.
Sementara menunggu waktu solat subuh fikiran terlayang akan kelebihan Kota Madinah yang dibaca dari buku-buku dan yang didengar dari kuliah-kuliah. Dari Aisyah r.ha ia berkata : “ Ketika kami masuk, Madinah adalah negeri tempat bersarangnya penyakit, lalu Rasulullah SAW berdoa : “Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah, sebagaimana Engkau berikan ke cintaan kepada Mekah, atau lebih dari itu, dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya, dan gantikan wabah penyakitnya dengan juhfah,” (Shahih Bukhari dan Muslim).
Riwayat lain adalah dari Umar r.a ia berkata: “ Di Madinah harga-harga naik hingga harus berkerja keras. Lalu, Rasulullah SAW bersabda: “Bersabarlah, dan berilah khabar gembira, sesungguhnya aku telah memberkati bekal dan makanan kalian, maka makanlah dan jangan bercerai – berai. Sesungguhnya makanan satu orang cukup untuk berdua, makanan untuk berdua cukup untuk berempat dan makanan untuk berempat cukup untuk berlima atau berenam. Sesungguhnya barokah itu ada dalam kebersamaan. Barangsiapa bersabar atas penderitaannya, aku akan jadi saksi di Hari Kiamat” (HR Bazzar).
Pengalaman saya dan cerita daripada jemaah memberitahu “membeli nasi berani bukhari di Madinah untuk seorang boleh berkongsi untuk dua orang banyaknya, inilah berkatnya doa Rasullullah SAW.
Saya teringat seorang Ustaz dalam Takzirah Zohor di Surau Telekom ada menyebut, keutamaan tinggal di Madinah, Rasulullah bersabda: “ Madinah lebih baik bagi mereka seandainya mereka tahu”. Tidak seorang pun yang meninggalkannya kecuali Allah akan menggantikannya dengan orang lebih baik, serta tidak pula seorang teguh atas kelaparan dan kesulitan hidup di dalamnya, kecuali aku akan menjadi syafaat dan saksi atasnya di Hari Kiamat” ( HR Muslim)
Ustaz yang sama juga ada menyatakan, “Keutamaan mati di Madinah – Sabda Nabi s.a.w “Barangsiapa dikalangan kamu yang mampu mati di Al Madinah maka hendaklah ia mati di Al Madinah kerana sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati disitu”. ( Riwayat Ahmad,At-Tirmizi,Ibnu Majah,Ibnu Hibban). Dengan keutamaan yang besar ini Umar ra pernah berdoa supaya dimatikan di Madinah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari didalam Sohehnya dibawah Keutamaan-keutamaan Al Madinah dengan doanya yang berbunyi “Ya Allah, kurniakan aku mati syahid pada jalanMu dan jadikan kematianku di negeri RasulMu SAW.”.
Beruntung benarlah mereka yang meninggal dunia di bumi Madinah kerana mendapat jaminan syafaat dari Rasulullah SAW. Pengalaman saya sepanjang tiga hari berada di Masjid Nabawi, mendapati setiap hari selapas solat lima waktu, ada saja solat jenazah diadakan. Semuga Allah memberkati mereka.
Dibumi Madinah ini juga diceritakan, jika ada seseorang yang mengeluh kepada Rasulullah kerana sakit atau luka, baginda meletakkan tangannya ke tanah kemudian mengangkatnya, sambil berkata: “Dengan Nama Allah, tanah kami yang baik ini, semoga dapat menyembuhkan orang-orang yang sakit diantara kami dengan izin Tuhan kami ( Shahih Muslim). Debu yang dimaksudkan dalam hadis ini bersifat umum dan berlaku diseluruh Madinah.
Kelebihan Madinah juga diceritakan oleh ulama-ulama sebagaimana Rasulullah bersabda: “Ya Allah, barangsiapa yang menzalimi penduduk Madinah, menakut-nakutinya dan membebaninya, maka atasnya laknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya; Allah tidak akan menerimanya di Hari Kiamat ( HR Thabrani ). Hadits lain mangatakan: “Barangsiapa menakut-nakuti penduduk Madinah, maka ia telah menakut-nakuti orang (malaikat ) yang di samping saya ( HR Ahmad)
Perasaan aman - damai, tenang dan tenteram amat dirasai dibumi Madinah ini, kebesaran dan keagungan Allah serta RasulNya terserah disetiap sudut buminya yang penuh brokah dan dirahmti Allah sepanjang masa. Rasulullah SAW bersabda; “ Sesungguhnya ia adalah tanah yang aman, sesungguhnya ia adalah tanah yang aman”. Saya dan jemaah juga bertambah teruja lagi mendengar cerita tentang Dajjal yang tidak mampu memasuki ke Madinah. Dari Anas ibn Malik r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Tidak ada suatu negeri pun kecuali Dajjal akan memasukinya kecuali Mekah dan Madinah, di keduanya tidak terdapat satu tempat pun kecuali akan para malaikat berbaris menjaganya. Kemudian Madinah akan menggoncangkan penduduknya sebanyak tiga kali. Lalu Allah mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik” ( Shahih Bukhari).
Alhamdulliah, peribahasa Melayu mengatakan “ tak kenal maka tak cinta” untuk mengenali Madinah keseluruhannya tak sempat untuk tempoh tiga hari ziarah tapi sedikit sepanjang mengenali Kota Madinah maka lebih terasa dekat dihati. Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa iman berkaitan erat dangan Madinah. “ Sesunggunya kedekatan iman itu dengan Madinah bagaikan kedekatan ular dengan batu.” (Shahih Bukhari).
No comments:
Post a Comment