Jumaat 01/06/07 merupakan penghulu segala hari, lagi sekali kami bersyukur kerana dapat menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Nabawi. Pada sebelah paginya selepas sarapan pagi kami dibawa oleh Ustaz untuk sekali lagi mengadakan ziarah ke makam Rasulullah SAW dan beribadat di Raudhah. Untuk jemaah wanita diupah seorang Mutawif wanita untuk membawa mereka. Selepas itu kami ke makam Baqi yang terletak bersebelah Masjid Nabawi. Baqi’ ialah sebuah pemakaman di Madinah, dimana dikuburkan lebih 10 ribu sahabat, isteri dan anak-anak Nabi SAW, serta tab’in dan para pengikutnya. Menziarahi adalah sunnah. Rasulullah pernah memintakan ampun bagi penghuni Baqi’, yang terkenal dalam doanya. (Shahih Muslim). Keluasan pemakaman Baqi ialah 174 962m2 dengan dikelilingi pagar setinggi 4 m dengan panjang 1726 m serta di kawal ketat oleh anggota keselamatan Arab Saudi. Kami pulang awal ke Hotel penginapan untuk persediaan sembahyang Jumaat dan perlu datang awal untuk mendapatkan saf didepan kerana kebiasaannya sembahyang Jumaat dihadiri terlalu ramai jemaah dari luar dan tempatan. Bagi yang berminta untuk membeli belah terdapat banyak kedai-kedai di bawah bangunan-banguan hotel yang berhawa dingin terdapat disekitar Masjid Nabawi.
Menurut catatan sejarah, Masjid Qibalatin mendapat nama kerana turunnya ayat Quran memerintah memindahkan kibat, “……Palingkanlah mukamu ke arah Masjidi Haram…( Al Baqarah 144 ). Ayat ini turun ketika Nabi SAW sedang menunaikan solat Zuhur di tempat ini, yaitu di Bani Salimah. Maka di tengah solat baginda berpaling menghadap ke Ka’bah. Sebelumnya kiblat menghadap Masjidil Agsa di Baitulmuqaddis. Bermula daripada hari tersebut umat Islam sehingga ke hari ini bersalat menghadap Kabbah di Masjidil Haram,Mekah. Terdapat banyak masjid-masjid bersejarah di sekitar Madinah seperti Masjid Abu Bakar, Masjid Umar, Masjid Usman, Masjid Ali, Masjid Al Ghamamah, Masjid Bilal dan setiap masjid ada catatan sejarah yang tersendiri yang tak dapat nak dicertakan disini. Oleh kerana kesuntukan kami tidak dapat melawat kesemuanya.
Kami seterusnya dibawa melawat Jabal Uhud, tempat yang terkenal dalam sejarah peperangan dalam Islam yang melihat 70 orang para sahabat yang syahid untuk mempertahankan agama Islam dari puak Quraisy. Anas ra, meriwayatkan bahawa Nabi SAW memandang ke Uhud sambil bersabda; “ Sesungguhnya Uhud adalah gunung yang sangat mencintai kita, dan kita pun mencintainya” ( Shahih Muslim). Ada satu riwayat menyatakan ketika Nabi SAW, Abu Bakar, Umar dan Usman mendaki Uhud dan mengoncangkan mereka lalu Nabi bersabda; “ Diam kamu, Uhud, sesungguhnya di atasmu terdapat Nabi, Shadiq (Abu Bakar) dan dua orang syahid” ( Shahih Bukhari). Di Jabal Uhud kami melawat makam syuhada Uhud yang merupakan sunnah menziarahinya.. Nabi SAW memerintahkan agar para syuhada Uhud dimakamkan dimedan pertempuran, dimana dua atau tiga orang dikuburkan dalam satu liang. Di antaranya yang dikebumikan disitu ialah bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah yang syahid dan dicincang badannya. Menurut cerita dari Mutawaif, bila digali kawasan perkuburannya ditepi Jabal Uhud untuk mengalirkan saluran mata air selepas 40 tahun semasa pemerintahan Muawiah, badannya ditemui masih elok dan kakinya yang terkena alat penggali masih mengeluarkan darah. Nabi SAW mengelar Hamzah sebagai “Sayyid al-Syuhada” (pemimpin para syuhada). Menurut Mutawaif lagi, semasa membuat saluran pengaliran air ada beberapa kubur terbongkar didapati tubuh badan mereka kelihatan masih baik dan tidak reput. Inilah keistimewaan yang dikurniakan Allah sesiapa yang dikehendakinya dari kalangan hambanya. Allah SWT berfirman maksudnya, “ Jangan kamu sangka mereka yang terbunuh pada jalan Allah itu sebagai orang mati (percuma) malah mereka tetap hidup lagi mendapat rezeki ( yang mewah) di sisi Tuhan mereka ( al-Imran ayat 169).
Disebelah Selatan makam syuhada , disamping Wadi Qonat terdapatnya Jabal Rumat (Jabal Ainain) dimana Nabi SAW meletakkan 50 orang pemanah (rumat) semasa perang Uhud yang di Ketuai oleh Abdullah bin Jabir ra.sebagai Komandan. Nabi SAW bersabda; “ Lindungilah pasukan berkuda, jangan sampai mereka menerobos ke kita dan tetaplah di tempat kamu, kalah atau menang, jangan sampai mereka masuk dari belakangmu”. Setelah kaum musykrin kocar-kacir, para pemanah meninggalkan tempat mereka untuk mendapatkan rampasan dan mengabaikan perintah komandannya. Kesempatan diambil oleh musuh dan mengepung kaum muslimim, hingga ramai sahabat yang gugur syahid dan Rasulullah SAW sendiri patah rahangnya. Kamu muslimin terpaksa berundur ke penduduk Jabal Uhud dan berkumpul disana, lalu solat zuhur sambil duduk. Disebelah tenggara Jabal Rumat terdapat sebuah masjid bersejarah dikenali sebagai Masjid Al-Subh dan Masjid Al-Ainain. Ramai sahabat besar Rasulullah SAW terkorban dalam peperangan Uhud dan kesah-kesah keberanian dan keikhlasan mereka dalam mempertahanankan Rasulullah SAW dan agama Islam banyak disebut dalam kitab-kitab sejarah.
Sebelum kembali ke Hotel penginapan kami dibawa ke Kebun Tamar dan Pasar Tamar di Kota Madinah. Disini jemaah boleh memilih berbagai jenis tamar dengan harga 5 Riyal sehingga 70 Riyal sekg. Tamar yang paling popular ialah tamar nabi atau lebih dikenali dengan nama tamar “ajwah” ( 70 Riyal, sekg. ( lebih kurang RM66 duit kita) ). Kelebihan kurma (tamar) Madinah, Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa diwaktu pagi makan 7 biji kurma dari kedua labah (iaitu batas sebelah timur dan barat ), ia tidak akan kena racun hingga waktu sore” (Shahih Muslim). Walau bagaimanapun, hadits tersebut tidak menyebut jenis kurma, sementara hadits-hadits laim membatasi maksud di atas dengan ‘Ajwah”, sebagaimana sabda Nabi SAW : “Barangsiapa di waktu pagi makan 7 biji kurma ‘ajwah, pada hari itu ia tidak akan kena racun maupun sihir.”(Shahih Bukhari). Terdapat papan tanda di pasar kurma yang menyatakan kelebihan kurma ajwa iaitu “Ajwa adalah kurma yang ditanam dengan tangan Rasulullah SAW sendiri dan ajwa merupakan kurma yang paling disukai oleh Rasulullah SAW. Dikatakan juga, dari Abu Hurairah ra: “Rasulullah SAW bersabda ; “Ajwa dari syurga dan dia ubat dari racun” (HR Muslim). Dari Aisyah rha, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya pada kurma ajwa itu ubat yang mujarab dan ajwa merupakan buah daripada buah syurga.”(HR Tirmizi)
Sesampai saja di Hotel kami mula berkemas-kemas untuk ke Mekah dan bersiap-siap untuk mengerjakan Umrah yang merupakan tujuan utama kami ke sini. Sebelum berangkat ke Mekah kami sempat menunaikan solat zohor di Masjid Nabawi dan selepas itu melakukan ziarah dan doa selamat tinggal dimakam Rasulullah SAW sebelum meninggalkan Madinah.Kami berharap ziarah ini bukan yang pertama dan terakhir dan kami berharap dimurahkan rezeki untuk datang lagi selepas ini di bumi Madinah Al Munawwarah.
No comments:
Post a Comment