Wednesday, October 21, 2009

Bahaya Lisan (Lidah) 2

Rabu, 2 Zulkaedah 1430H - Bencana keempat: Berbantah-bantahan dan bertengkaran

Perbuatan dan kelakuan serupa itu adalah terlarang juga dalam agama. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jangan banyak membantah saudaramu, jangan bersenda gurau dengannya dan jangan membuat janji kepadanya, lalu anda memungkirinya.”

Sabdanya lagi: “Tiada akan sesat sesuatu golongan manusia sesudah diberi Allah petunjuk kepadanya, melainkan bila mereka selalu saja berbantah-bantahan.”

Lagi sabdanya: “Tiada akan sempurna hakikat keimanan seseorang, sehingga ia meninggalkan berbantah-bantahan, sekalipun apa yang diperbantahkan itu ialah kebenaran.”

Berkata Bilal bin Saad: “Kiranya anda melihat seorang yang pintar berbicara, suka membantah dan suka membanggakan pendapatnya, maka ketahuilah bahwa kerugiannya telah sempurna.”

Berkata Ibnul Alu Laila: “Tiada saya membantah sahabatku, kecuali saya telah mendustakannya ataupun menyebabkan kemarahannya.”

Berita-berita yang menunjukkan tercelanya sifat suka berbantah-bantahan dan bertengkar-tengkaran itu banyak sekali, sehingga tidak boleh dikira banyaknya.

Batasan sifat suka berbantah-bantahan itu ialah menyanggah percakapan orang lain dengan melahirkan kekurangan dalam percakapan mereka, sama ada dalam lafaznya atau maknanya, ataupun dalam maksud perbicaraannya. Meninggalkan sifat berbantah-bantahan ialah dengan menjaga diri supaya tidak mengingkari orang lain atau membantahnya. Setiap perbicaraan yang anda dengar andaikata ia memang dari yang benar, maka hendaklah anda mempercayainya. Tetapi jika ia dari yang salah, ataupun dari yang dusta, sedangkan ia tiada pula bersangkut-paut dengan urusan agama, maka hendaklah anda mendiamkan diri saja.

Yang perlu jika berlaku sesuatu perbahasan dalam masalah ilmiah lebih baik anda mendiamkan diri saja, ataupun jika mahu menyoal, soallah sekadar mahu mengambil tahu saja, bukan kerana sebab hendak mengingkar atau menyanggah. Ataupun bertanya dengan lemah-lembut kerana ingin mengetahui duduknya perkara itu bukan dengan tujuan untuk menyangkal atau membantah.

Adapun bertanya dengan tujuan untuk mengalahkan hujah orang lain, menunjukkan kelemahannya, sehingga ia tidak sanggup menjawab, ataupun untuk mengurangi kedudukannya dengan mendedahkan kecacatan dalam perbicaraannya dan menisbahkan kepada kecuaian dan kejahilan dalam percakapannya; maka inilah yang dinamakan pertentangan yang dilarang oleh agama, dan yang tidak akan terlepas dari dosa, kecuali dengan jalan berdiam diri saja.

Sebab utama yang menjadikan seseorang itu bersikap seperti itu ialah kerana hendak meninggikan diri dengan menunjukkan banyak ilmu atau keutamaan, manakala ia menyerang orang lain itu kerana hendak menunjukkan kekurangan dan kecetekan pengetahuan orang yang diserangnya. Kedua-duanya adalah sifat yang membinasakan.

Berbantah-bantahan itu tentu sekali akan menyakiti hati orang lain dan menimbulkan kemarahannya dan memaksa orang yang ditentang itu supaya kembali menyokong percakapannya, sekadar yang boleh, sama ada percakapan itu benar atau batil. Dia akan mengurangi kedudukan orang yang berbicara itu dengan apa cara saja, sehingga terjadilah suatu persengketaan antara dua orang yang berbantah-bantahan itu.

Adapun ubat dan penawarnya, iaitu dengan mematahkan perasaan membesar diri, yang muncul dari sebab suka menunjukkan keutamaan diri sendiri. Dan juga dengan menghapuskan sifat buas yang ada pada dirinya, kerana suka merendahkan peranan orang lain dan mengurangkan kedudukannya.

Bencana kelima: Pertelingkahan

Pertelingkahan adalah di antara sifat-sifat yang terkeji dan dilarang oleh agama. Ia adalah ekoran dari sebab pertengkaran dan berbantah-bantahan. Hakikat permusuhan itu adalah disebabkan kerana terlampau banyak perbantahan dan mengadu pendapat, untuk memperoleh harta benda dunia ataupun sesuatu hak yang tertentu.

Dalam sebuah Hadis sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah Ta’ala, ialah orang yang paling degil dan suka bertelingkah.”

Sifat pertelingkahan itu tiada cela, melainkan kerana ingin menegakkan kebatilan, ataupun untuk memenangkan sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang cukup terlebih dulu, seperti orang ingin mempertahankan sesuatu perkara sebelum faham benar-benar, bahwa yang hak itu berada di pihak mana. Ataupun ia mencampuradukkan pertelingkahannya dengan kata-kata yang menyakiti hati yang tidak perlu ditonjolkan dalam membenarkan hujah-hujah atau mengajukan kebenaran. Ataupun yang menariknya kepada pertelingkahan itu, semata-mata kerana sengaja hendak menundukkan musuh dan mematahkan harapannya, sedangkan ia sendiri memandang kecil terhadap kadar wang yang dipertelingkahkan itu.

Dalam perkara yang dipertelingkahkan itu, ada orang yang memang dengan terang-terang telah menyatakan hasratnya, bahwa maksudnya ialah tiada lain, kecuali untuk menundukkan lawannya, atau mematahkan kehendak lawan itu. Kadang-kadang ia berkata: Kalau saya menang dalam perkara ini dan mendapat wang tersebut, barangkali saya akan buangkan wang itu ke dalam perigi buta saja, asalkan saya puas hati. Nyatalah bahwa maksudnya tiada lain, melainkan untuk melahirkan perasaan degil dan suka bertelingkah yang akan menimbulkan permusuhan sesudah itu. Kelakuan ini amat dicela.

Adapun orang yang teraniaya yang ingin mempertahankan hujahnya menerusi jalan syariat, tanpa disertai sifat degil dan melampaui batas, ataupun tidak menambah hujah-hujahnya dengan kata-kata yang tidak perlu dalam persoalannya dan tidak pula bertujuan memaksa atau menyakiti lawannya, maka perbuatannya itu diharuskan dan tidak haram. Tetapi yang sebaiknya hendaklah dijauhi, selagi ada jalan lain yang boleh ditempuhnya, tanpa melakakukan salah satu dari sifat-sifat tadi. Sebab menjaga lidah dengan hanya menyebutkan kata-kata yang perlu saja dalam pertelingkahan sekadar sederhana adalah diterima keuzurannya. Pertelingkahan itu akan menyempitkan dada dan menimbulkan perasaan marah. Apabila perasaan marah telah menguasai jiwa akan terlupalah orang yang bertelingkah itu akan dirinya dan yang tinggal hanya dendam khusumat dalam diri masing-masing dari kedua-dua orang yang bertelingkah itu, sehingga tiap-tiap seorang akan merasa senang jika mendengar keburukan lawannya, dan merasa dukacita jika mendengar kebaikannya, dan masing-masing pun bebas memainkan lidahnya untuk menjatuhkan kehormatan yang lain. Maka orang yang memulakan permusuhan ini ialah orang yang menempa segala larangan-larangan ini.

Mula-mula sekali hatinya akan terganggu sehingga dalam sembahyangnya sekalipun ia akan diganggu oleh pemikiran mencari hujah-hujah untuk mengalahkan lawannya. Kalau demikianlah halnya, maka sudah nyatalah bahwa perkara yang dipertelingkahkan itu tidak lagi berdiri atas batas atau had yang wajib.

Ingatlah bahwa permusuhan itu adalah punca dari segala kejahatan, begitu juga dengan sikap suka berbantah-bantahan atau suka bertengkar-tengkaran. Oleh itu janganlah hendaknya dibukakan pintu untuk perkara-perkara yang terlarang ini, kecuali dalam keadaan yang amat dharurat sekali. Maka ketika itu hendaklah dipelihara baik-baik lidah dan hati dari kata-kata ketelanjuran yang disebabkan oleh permusuhan itu, dan memanglah hal serupa itu amat sukar dapat dilakukan. Bahkan sekiranya boleh, biarlah sikap yang diambil dalam menghadapi permusuhan, berbantah-bantahan atau bertengkar-tengkaran itu, ialah sifat lunak hati dan manis tutur kata.

Allah Ta’ala telah berfirman: “Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik.” (al-Baqarah: 83)

Ibnu Abbas r.a. telah berkata: Jika seseorang makhluk Allah memberi salam kepadamu, maka hendaklah engkau membalas salamnya, meskipun orang itu seorang Majusi.

Berfirman Allah s.w.t.: “Apabila kamu sekalian diberikan penghormatan dengan sesuatu salam, maka hendaklah kamu membalas salam itu dengan lebih baik daripadanya ataupun dengan yang sepertinya.” (an-Nisa‘: 86)

Berkata Ibnu Abbas r.a. lagi: “Andaikata yang berkata baik kepadaku itu Fir’aun sekalipun, niscaya aku akan membalasnya.”

Dalam sebuah Hadis berbunyi: Kata-kata yang baik itu adalah sedekah.

Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: “Kebajikan itu adalah seperkara yang paling mudah sekali, iaitu dengan bermuka manis dan berkata lemah-lembut.”

Berkata setengah ahli pendita: “Kata-kata yang lemah-lembut itu mencuci hasad dengki yang berselaput di dalam anggota-anggota badan.”

Berkata yang lain pula: “Semua ucapan yang tidak menyebabkan kemurkaan Tuhan, malah boleh menjadikan temanmu redha kepadamu, maka hendaklah jangan lokek mengucapkannya, moga-moga Allah akan membalasmu dengan pahala orang-orang yang berbuat kebajikan.”

Bencana keenam: Meniru percakapan yang indah-indah

Yang dimaksudkan dengan percakapan yang indah-indah itu ialah bercakap fasih yang dibuat-buat dan memaksa diri berkata-berkata dengan bersajak atau berfasih atau meniru cara orang lain bercakap; semua ini termasuk memaksa diri dengan tercela dan terlarang dalam agama. Sepatutnya bila seseorang itu berkata, cukuplah dengan menerangkan maksud perkara yang dicakapkan itu. Yang dikatakan maksud dari percakapan ialan memahamkan tujuannya, tidak lebih dari itu. Apabila ditambah lebih dari itu, ataupun disampaikan segera berbunga-bunga yang tak perlu, maka itu termasuk perkara yang dicela. Dan tidak terkira dalam perkara-perkara yang terlarang itu, mengindahkan peringatan ataupun pidato di hadapan khalayak ramai, tetapi mestilah tanpa berlebih-lebihan atau menggunakan kata-kata yang sukar difahami oleh mereka. Adapun kata-kata yang sedap didengar itu akan meninggalkan kesan dan pengaruh kepada pendengaran orang ramai.

No comments: