Wednesday, March 10, 2010

Keutamaan Azan

Rabu, 24 Rabiulawal 1431H : - Azan merupakan salah satu tanda kewujudan umat Islam di suatu tempat atau di sesebuah negara ialah dengan terbinanya masjid-masjid dan kedengarannya Muazzin melaungan azan memanggil dan mengingatkan umat Islam supaya mengerjakan sembahyang. Inilah yang menjadi syiar dan keagungan Islam yang mesti dijaga dan dihormati.

Imam Nawawi Rahimahullah pernah berkata bahawa azan itu mempunyai empat hikmah:

  1. Untuk menzahirkan tanda Islam dan kalimah tauhid.
  2. Untuk memberitahu tanda masuk waktu sembahyang.
  3. Untuk memberitahu akan tempat sembahyang.
  4. Untuk memanggil berjemaah.

Tugas sebagai muazzin adalah tugas yang sangat mulia dan banyak kelebihannya. Bayangkan mengenai kelebihan yang diterima oleh seorang muazzin itu sebagaimana yang diperolehi Bilal bin Rabah Radiallahu-Anhu, seorang muazzin yang paling terkenal dan termasyhur di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di mana baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mendengar bunyi tapak kaki Saiyidina Bilal bin Rabah di dalam syurga, sedangkan pada ketika itu Saiyidina Bilal bin Rabah masih hidup. Inilah tanda tingginya martabat sebagai muazzin di sisi Allah Subhanahu Wataala .

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadith:-
Maksudnya:Dari Ibnu Amru bin Al-‘As Radiallahu-Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tukang azan yang melaungkan azan secara sukarela adalah seperti seorang syahid yang berlumuran darah, jika dia meninggal dunia, matinya tidak berulat di dalam kubur. (Riwayat Al-Imam At-Thabrani)

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi:-
Maksudnya:Barangsiapa azan tujuh tahun dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala, nescaya wajib baginya lepas dari api neraka. (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi)

Sebagai umat Islam kita sepatutnya mengambil berat terhadap seruan yang menyeru ke arah mencapai kemenangan dan mengingati Allah Subhanahu Wataala. Jangan dipermudah-mudahkan dan tidak diambil indah serta berpura-pura tidak mendengar dan langsung tidak menyahutnya, kerana perbuatan sedemikian adalah dicela oleh syara’. Islam telah mengajarkan kita supaya apabila azan dilaungkan oleh muazzin, maka orang yang mendengar hendaklah mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh muazzin itu kecuali pada “Hayya ‘Alas-Solah” dan “Hayya ‘Alal-Falah” maka katakanlah “Laa Haula Walaa Quwata Illa Billah” dan pada azan subuh apabila dikatakan “Assalatu Khairum-Mininan-Naum” maka katakanlah “Sadaqta Wabararta”.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:-
Maksudnya:Dari Abi Said Al-Khudri Radiallahu-Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Apabila kamu mendengar seruan azan, maka kamu ucapkan sepertimana orang yang azan itu ucapkan. (Riwayat Imam Al-Bukhari).

Di samping itu perlu juga diketahui bahawa azan juga boleh menjadi penawar dan obat kepada kerasukan, resah gelisah, menghindarkan daripada kejahatan jin, meredakan orang marah dan mengelokkan perangai buruk, orang yang hendak belayar dan ketika berlaku kebakaran. Azan juga sunat diperdengarkan kepada anak yang baru lahir.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:-
Maksudnya:Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Seandainya manusia mengetahui tentang apa kelebihan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan mereka mengundi, nescaya mereka akan mengundi. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Wahai kaum muslimin,Ingatlah bahawa kita ini adalah orang Islam yang sepatutnya tidak mengabaikan ajaran Islam dan hendaklah menyahut seruan-seruan ke arah kebaikan. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al Jumu'ah, ayat 9:-
Tafsirnya:Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang Jumaat dan tinggalkanlah berjual beli pada saat itu. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya.

Kelebihan Azan Dan Iqamah
Melakukan azan dan iqamah adalah lebih afdhal daripada menjadi imam. Ini kerana azan dan iqamah itu adalah tanda atau alamat waktu sembahyang dan ianya juga lebih banyak manfaat daripada menjadi imam. Muazzin (tukang azan) itu juga merupakan pemegang amanah (amin). Manakala menjadi imam itu adalah penjamin (dhamin). Oleh yang demikian, amin itu lebih baik daripada dhamin. (I‘anah ath-Thalibin: 1/383) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Imam-imam itu dhumana (menjamin sembahyang makmumnya) dan orang-orang yang azan itu umana (amanah atas waktu sembahyang) maka Allah memberi petunjuk kepada imam-imam dan mengampunkan orang-orang yang azan.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa menjadi imam itu lebih afdhal daripada azan dan iqamah. Kerana dikhususkan bagi orang yang menjadi imam itu terdiri daripada orang yang berilmu tinggi. Demikian juga mendirikan sembahyang itu lebih afdhal daripada menyerukannya. (I‘anah ath-Thalibin: 1/384) Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maksudnya : “Maka azanlah untuk kamu oleh salah seorang di kalangan kamu, kemudian hendaklah yang mengimamkan kamu itu orang yang akhbar (berilmu) di kalangan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun menurut Ibnu Hajar dan Imam an-Nawawi, bahawa azan berserta iqamah itu lebih afdhal daripada menjadi imam. (I‘anah ath-Thalibin: 1/384)

Selain itu, banyak lagi disebutkan di dalam hadis mengenai kelebihan-kelebihan azan dan iqamah dan orang yang melaungkannya. Antaranya ialah:

  1. Sehingga Orang Sanggup Berundi Untuk Medapatkannya
    Hadis daripada Abu Hurairah katanya:
    Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seandainya manusia mengetahui tentang apa (kelebihan) dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan mereka berundi, nescaya mereka akan berundi. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada at-tahjir (sembahyang zohor di awal waktu) nescaya mereka akan berlomba-lomba mendapatkannya. Seandainya mereka mengetahui apa (kelebihan) pada al-‘atamah (sembahyang isya’) dan subuh nescaya mereka mendatanginya walaupun dengan merangkak-rangkak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  2. Dipohonkan Ampun Dan Mendapat Pahala Sepertimana Pahala Orang Yang Bersembahyang Dengannya. Hadis daripada al-Bara’ bin ‘Azib katanya: Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya mengucapkan selawat kepada (makmum-makmum) di baris hadapan. Sementara orang yang azan akan dipohonkan ampun baginya sejauh suaranya dan akan dipersaksikan dia oleh sesiapa yang mendengarnya daripada tumbuhan yang hidup dan kering dan baginya pahala seperti pahala sesiapa yang bersembahyang bersamanya.”(Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)
  3. Mengusir Syaitan
    Hadis daripada Abu Hurairah katanya: Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk sembahyang diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu baharulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’ie)
  4. Mendapat Pahala Yang Banyak
    Sebagaimana di dalam hadis daripada Mu‘awiyah katanya: Maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Muazzin-muazzin itu ialah orang yang paling panjang lehernya di hari qiamat.”
    (Hadis riwayat Muslim)
    Adapun yang dimaksudkan dengan orang yang paling panjang lehernya di hari qiamat itu ialah disebabkan dia melihat pahalanya yang banyak. Menurut an-Nadhr bin Syumail, adapun kelebihannya ketika berada di padang mahsyar melepaskannya daripada kesusahan dan kesesakan disebabkan ramainya orang pada hari perhitungan itu. Menurut pendapat yang lain, bahawa orang itu banyak pengikutnya. Kata Ibnu al-A‘arabiy, maksudnya ialah orang yang banyak amalannya. Sementara menurut al-Qadhi ‘Iyadh dan yang lainnya ialah bermaksud orang yang cepat masuk ke dalam syurga. Dikatakan juga ianya bermaksud sebagai ketua. (Syarah Shahih Muslim: 2/77)
  5. Balasan Syurga
    Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Barangsiapa azan selama dua belas tahun wajiblah baginya syurga dan ditulis untuknya dengan azannya itu pada setiap hari enam puluh kebajikan dan pada setiap iqamah pula tiga puluh kebajikan.”(Hadis riwayat Ibnu Majah)
  6. Jin Dan Manusia Serta Selainnya Menjadi Saksi Di Hari Qiamat
    Sebagaimana hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman katanya: Maksudnya: “Sesungguhnya Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu berkata kepadanya (‘Abdullah bin ‘Abdurrahman): “Sesungguhnya aku melihat engkau menyukai kambing dan sahara. Jika engkau berada di lingkungan kambing atau saharamu lalu engkau azan untuk sembahyang, maka tinggikanlah suaramu ketika melaungkannya. Kerana tidak didengar suara orang yang azan oleh jin dan manusia serta lain-lainnya melainkan menjadi saksi baginya di hari qiamat. Berkata Abu Sa‘id: “Aku mendengarnya daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”(Hadis riwayat al-Bukhari dan an-Nasa’ie)
  7. Pintu Langit Dibuka Dan Saat Doa Mustajab
    Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: “Jika dilaungkan iqamah untuk sembahyang, maka dibukakan pintu-pintu langit dan dimakbulkan doa.” (Hadis riwayat Ahmad)

    Sabda Baginda lagi:
    Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ada dua waktu tidak ditolak doa orang yang berdoa, iaitu ketika iqamah sembahyang dan dalam barisan jihad pada jalan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Azan menurut syarak ialah seruan atau pemberitahuan, yang terdiri daripada rangkaian ayat tertentu yang disyariatkan, bertujuan memberitahu dan memanggil orang ramai untuk sembahyang lima waktu juga sembahyang Jumaat. Azan mengandungi kata-kata mengagung-agungkan Allah, kalimah syahadah diikuti dengan ajakan beribadah dan kejayaan yang diistilahkan sebagai hay'alah dan diakhiri dengan kata-kata mengagung-agungkan Allah.

Orang yang menyeru kalimah-kalimah azan dinamakan muazzin atau tukang azan. Azan adalah sesuatu yang disyariatkan berdasarkan keterangan al-Quran, sunah dan ijma ulama.
Dalam surah al-Jum'at: 9 dijelaskan: “Wahai orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”
Bermaksud bahawa apabila imam telah naik mimbar dan muazzin telah azan pada hari Jumaat, maka kaum muslimin wajib segera memenuhi panggilan muazzin dan meninggalkan semua urusan dunia yang sedang dilakukan.

Terlalu banyak fadilat azan, juga kelebihan orang yang melaungkan azan, antaranya ialah:

  1. Keampunan Allah yang banyak, di mana keampunan itu digambarkan sejauh laungan suara yang dilaungkan ketika azan dan baginya pahala sama seperti pahala orang yang sembahyang bersamanya, seperti yang dijelaskan dalam hadis daripada Barra bin Azib, yang menyatakan bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah dan malaikatnya berselawat ke atas mereka yang berada di saf hadapan, manakala muazzin diampuni dosanya sepanjang suaranya, ucapannya dibenarkan oleh mereka yang mendengarnya, yang terdiri daripada benda basah dan kering dan dia akan memperoleh pahala sebanyak pahala mereka yang sembahyang bersamanya.
  2. Iblis dan syaitan lari bertempiaran mendengar bacaan azan, berdasarkan hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda: “Apabila azan dilaungkan untuk sembahyang, syaitan lari terkentut-kentut lintang-pukang sehingga tidak mendengar suara azan dan apabila sempurna azan, dia datang hingga apabila dilaungkan iqamah untuk sembahyang dia lari lagi, sehinggalah sempurna iqamah dibaca, lalu dia datang, mengganggu dan menimbulkan rasa waswas dalam diri, membisikkan kepadanya: Ingatkan itu dan ini, sesuatu yang tidak terlintas sebelum itu, menyebabkan seseorang itu tidak sedar berapa rakaat dia sembahyang.”
    Kerana itu tidak seyogia seseorang itu keluar dari masjid ketika dilaungkan azan, supaya tabiat seseorang itu tidak menyerupai tabiat syaitan. Walaupun demikian tidak mengapa kerana uzur, kerana sesuatu hajat, tetapi seseorang itu hendaklah balik semula ke masjid.
    Hadis daripada Said bin Al-Mussayyab, beliau berkata, dikatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: “Tidak seyogia seseorang itu keluar dari masjid, selepas an-nida,' kecuali dia hendak kembali semula ke masjid atau dia menjadi seorang munafik”.
  3. Dengan azan dosa-dosa diampuni Allah dan akhirnya seseorang itu dimasukkan ke syurga berdasarkan hadis Aqabah bin Amir, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda: “Tuhan kamu kagum terhadap orang yang memelihara kambing di atas kelompok bukit yang berazan dan menunaikan sembahyang.” Allah berfirman:” Lihatlah hamba-Ku ini, dia azan dan mendirikan sembahyang kerana takutkan Aku. Maka sesungguhnya Aku telah ampuni hamba-Ku ini dan Aku masukkan dia dalam syurga.”

Azan selepas masuk waktu sembahyang adalah daripada amalan sunah. Azan disyariatkan untuk memberitahu waktu, kerana itu ia tidak disyariatkan untuk dilakukan sebelum masuk waktu, kecuali pada sembahyang subuh, iaitu azan awal untuk memberitahu orang yang sedang tidur.

Orang yang azan atau muazzin hendaklah Islam, baligh lagi berakal. Hanya dilakukan oleh kaum lelaki dan tidak mengurang atau menambah ayat-ayat azan yang telah disyariatkan. Azan adalah ibadah. Ibadah perlu dilakukan menurut apa yang telah disyariatkan. Untuk memperoleh kesempurnaan sembahyang, sunat-sunat azan hendaklah diikuti, iaitu azan hendaklah dilakukan dalam keadaan suci, bersih daripada hadas kecil dan besar dan dilakukan semata-mata kerana Allah. Berdasarkan keterangan ini, ibu yang baru bersalin tidak boleh membacakan azan, biarpun untuk anak yang baru dilahirkan, kerana ibu berkenaan adalah keadaan berjunub. Perempuan tidak ahli untuk berazan.

Azan sembahyang hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiri dan menghadap kiblat. Sunat meletakkan tapak tangan kanan di telinga kanan dan tapak tangan kiri di telinga kiri atau memasukkan jari telunjuk dalam telinga kanan dan kiri menurut seperti yang dilakukan oleh Bilal. Bilal berkata: “Maka aku masukkan jariku dalam telinga lalu aku azan”- hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban. Azan sembahyang hendaklah dilaungkan oleh orang yang bersuara baik lagi lantang kerana Rasulullah pernah bersabda kepada Abdullah bin Zaid agar mengajar azan kepada bilal kerana suara Bilal lebih lantang daripada suaranya.

Kaum wanita yang hendak sembahyang berjemaah tidak disunatkan azan. Suara tinggi wanita boleh membawa fitnah. Hadis daripada Ibn Umar menjelaskan: “Kaum wanita tidak boleh azan juga iqamah”. Sunat berselawat ke atas Nabi sebaik-baik sahaja azan tamat dilaungkan. Allah akan berselawat kepada orang yang berbuat demikian sepuluh selawat bagi setiap selawat yang dilafazkan.

Bacaan iqamah sebaik-baik dibaca oleh orang yang azan. Demikianlah disebut dalam sebuah hadis daripada Ziad bin Harith as-Sadaiy, yang menyatakan bahawa dia pernah azan. Tidak lama selepas itu Bilal datang untuk iqamah. Baginda bersabda: “Bahawasanya saudara Sada' (Ziad bin Harith) telah azan, sesiapa yang azan, dialah yang iqamah” - Riwayat Abu Daud dan Tarmizi.

Rasulullah menyatakan bahawa doa yang dipohon antara azan dan iqamah tidak akan ditolak oleh Allah - Riwayat Abu Daud dan Tarmizi.

Sunat bagi makmum bangun untuk mendirikan sembahyang apabila muazzin membaca pada ayat qad qamati `s-salah. Demikianlah yang dijelaskan oleh Anas r.a, Ahmad Rahimu `Llah, juga oleh Abu Hanifah. Ibn Umar tidak berdiri kecuali setelah mendengar muazzin sempurna membaca kalimah-kalimah berkenaan. Menurut mazhab Asy-Syafie, seseorang itu tidak perlu bangun sehingga iqamah yang dibaca oleh muazzin sempurna dibaca.

Muazzin perlu mendapat izin atau persetujuan daripada imam sebelum iqamah, apatah lagi sekiranya iqamah itu dilakukan orang lain. Tidak seyogia seseorang itu masuk urusan iqamah sehinggalah dia mendapat izin daripada imam. Tidak menambah perkataan ``sayyidina'' contohnya ketika iqamah juga azan. Tidak terdapat bukti daripada ulama salaf daripada kitab-kitab hadis, juga daripada amalan sahabat, tabiin, juga daripada ulama fikah, pengikut-pengikutnya juga oleh khulafau `r-rasyidin. Menambah kalimah ini pada ibadah yang disyariatkan bukan merupakan amalan memuliakan Nabi. Setiap amalan mesti ada sandaran.

Dilarang seseorang itu keluar dari masjid ketika atau selepas azan. Hadis daripada Abu Hurairah menjelaskan bahawa dia telah melihat seorang lelaki keluar dari masjid selepas muazzin melaungkan azan. Baginda bersabda: Perbuatan ini sesungguhnya telah mengingkari Abu Al-Qasim s.a.w. - hadis ditakhrij oleh Muslim dalam sahihnya. Hukum iqamah sama seperti hukum azan. Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan ketika iqamah, antaranya sunat mempercepat bacaan iqamah dengan menghimpunkan dua baris ayat iqamah dengan satu nafas, berdasarkan hadis Jabir yang menyatakan: Apabila azan, hendaklah engkau lambatkan dan apabila iqamah hendaklah engkau cepatkan. Jadikan jarak antara azan dan iqamah sekira-kira orang yang makan dapat menghabiskan makanannya.

Dalam hadis Abdullah bin Maghfal dijelaskan bahawa baginda bersabda: Tempoh antara dua azan ialah satu sembahyang. Menurut Abdul Aziz bin Abdullah Ibn Bazz r.a, iqamah tidak perlu cepat, sehinggalah imam memerintahkan supaya iqamah, di mana ia mengambil masa suku jam, satu per tiga jam atau seumpamanya mengikut keperluan. Sekiranya imam lambat datang, orang lain boleh menjadi imam sembahyang bersama orang lain. Berdasarkan keterangan ini, tukang azan tidak perlu iqamah cepat untuk mendirikan sembahyang kerana tempoh antara azan dan iqamah sebelum menunaikan sembahyang itu adalah jelas.

Menurut pendapat ulama Asy-Syafie, sunat dilakukan iqamah di tempat yang lain daripada tempat azan dengan suara yang lebih rendah, perlahan daripada suara azan. Iqamah tidak boleh dilakukan sehinggalah imam memberi keizinan berdasarkan kepada amalan Bilal yang meminta izin baginda sebelum iqamah: Aku berkata kepada Nabi Muhammad, aku hendak melakukan iqamah. Baginda menjawab: Tukang azan lebih berhak dengan azan dan imam lebih berkuasa terhadap iqamah - riwayat Ibn Adiy.

Di luar keperluan sembahyang, sunat azan di sebelah telinga kanan bayi yang baru dilahirkan dan diiqamahkan di telinga sebelah kiri. Azan juga perlu dilakukan ketika berlaku kebakaran, waktu perang, berlaku ribut taufan, juga ketika iblis dan syaitan menjelmakan diri. Begitu juga azan pada telinga orang yang sedih, orang yang jatuh, orang yang sedang marah dalam keadaan panas baran atau ketika seseorang itu tidak sedarkan diri, menjadi liar kelakuannya atau ketika dirasuk iblis dan syaitan. Iblis akan lari jauh hasil daripada azan yang dilaungkan. Tidak disunatkan azan ketika mayat dimasukkan dalam kubur menurut pendapat yang muktamad di kalangan ulama mazhab Asy-Syafie.

2 comments:

zainal said...

Berdasarkan kajian didapati setiap detik, azan dikumandangkan dimuka bumi kerana wujud 5 kali azan + 5 kali iqamah. Masa utuk satu-satu waktu solat berbeza berdasarkan daerah, negeri, negara.
Azan juga adalah syiar yg perlu dipertahankan kerana ia seruan/peringatan yg tulen, ikhlas dan sesuai dgn fitrah manusia.

MarwanSalim said...

Alhamdulillah. Terima kasih atas perkongsian artikel yg bermanfaat