Wednesday, March 17, 2010

Mengingati Kematian

Rabu, 1 Rabiulakhir 1431H :-ALLAH berfirman bermaksud: “(Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkara lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk ayat 2).


Allah memulakan ayat ini dengan menyebut perkataan ‘mati’ terlebih dulu sebelum menyebut perkataan ‘hidup’. Apabila seseorang itu sentiasa mengingati mati, maka dia akan lebih tenang menghadapi segala ujian Allah. Ujian itu hanya proses untuk mendapat kejayaan daripada Allah. Kematian adalah suatu perkara yang tidak dapat dihindari dengan apa cara sekalipun. Mati adalah perpisahan nyawa daripada jasad seseorang yang menjadikannya musnah dan hancur dimakan ulat dan tanah. Rasulullah saw bersabda " Kematian itu adalah satu yang pasti berlaku kepada setiap orang".


Kematian bukanlah suatu kesudahan daripada segala-galanya. Sebenarnya ia adalah proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh (kubur) dan suatu kehidupan manusia dalam bentuk yang lain. Mengingati saat kematian akan menenangkan manusia dan mengingatkan kita bahawa setiap yang hidup akan kembali kepada Allah. Segala detik hidup yang sedang dilalui ini adalah bersifat sementara. Proses kehidupan ini amat singkat sebelum berpindah ke alam lain. Islam menganjurkan manusia supaya sentiasa mengingati mati dan mempelajari pula hakikat mati itu supaya kita dapat menempuh mati dengan penuh pengertian dan kesedaran.


Hakikatnya kematian memisahkan manusia daripada segala yang dikasihi dan dimiliki seperti anak-anak, harta benda dan kemewahan hidup. Rasulullah saw bersabda " Kematian adalah pemutus segala kenikmatan" .Bekalan yang dapat dibawa hanyalah amal salih yang dikerjakan ketika hidup di dunia ini. Sungguh rugi jika tidak melakukan amal ibadat ketika hidup di dunia ini. Ketahuilah Allah akan mengazabkan sesiapa saja yang lalai mengerjakan perintah-Nya. Allah berfirman bermaksud: “Tiap-tiap yang hidup akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (Surah al-Anbia, ayat 35).

Tidak diragukan lagi seorang mukmin itu ketika mana beliau mengingati kematian, pasti akan menemui, menyedari bahawa beliau akan dipersoalkan setiap amalannya sedang beliau keseorangan. Sesungguhnya tempat persemadiannya itu samada taman dari taman-taman syurga ataupun jurang dari jurang-jurang neraka. Seseorang mukmin ketika mana menyedari serta mengingati kesemua ini, menginsafi serta menghayati di pemikirannya, pastilah hatinya akan merasai ketakutan kepada Allah. Lalu sentiasa memuraqabahkan dirinya kepada Allah di ketika terang dan tersembunyi. Bahkan dalam pada itu juga ia akan menjuruskan seluruh tindakannya ke arah amal saleh sebagai persediaan serta bekalan untuk hari yang dijanjikan ini.

Semoga ia akan berada di kalangan mereka yang Allah limpahkan nikmat ke atas mereka iaitu golongan para-para nabi, siddiqin, syuhada dan sebaik mereka yang dibuat teman.
Tidak ada yang lebih baik dan apa yang dikatakan oleh sesetengah mereka: 'Berbekallah untuk peristiwa yang pasti berlaku. Maka sesungguhnya maut itu ketentuan bagi seorang hamba. Relakah engkau untuk menjadi teman pengiring bagi suatu golongan yang bagi mereka penuh bekalan, sedangkan engkau tanpa bekalan.'

Lanjutan daripada ini Rasulullah s.a.w memerintahkan umat ini untuk memperbanyakkan mengingati kematian dan pemutus kelazatan. Di riwayatkan oleh Tirmizi dari Abu Hurairah r.a, sabda Nabi s.a.w: “Perbanyakanlah mengingati perkara yang menghilangkan kelazatan - iaitu kematian.” Seterusnya Baginda s.a.w. memerintahkan untuk menziarahi kubur dan menyatakan faedahnya. Muslim meriwayatkan dari Buraidah r.a berkata: Sabda Rasulullah s.a.w: “Adalah aku (sebelum ini) menegah kamu dari rnenziarahi kubur, maka (tetapi kini) ziarahilah.”

Dalam suatu riwayat yang lain: “Maka barangsiapa yang hendak menziarahi kubur maka ziarahilah! Maka sesungguhnya ia mengingatkan kepada akhirat.” Lantaran ini jugalah baginda ar-Rasul mendidik para sahabatnya untuk bersedia menghadapi maut supaya mereka tidak dilalaikan oleh angan-angan. Bukhari meriwayatkan dari Ibn Umar r.a berkata: Rasulullah memegang dua bahuku lalu bersabda. “Hendaklah engkau berada di dunia seperti mana engkau seorang pedagang ataupun perentas jalan (pengembara).”

Ibn Umar berkata: 'Apabila engkau berada di waktu petang janganlah menunggu sehingga waktu subuh, dan apabila engkau di waktu subuh janganlah menanti hingga waktu petang, gunakanlah masa sihatmu sebelum engkau sakit dan masa hidup engkau sebelum engkau mati.' Daripada ini jugalah baginda ar-Rasul s.a.w menyuruh seseorang muslim bersegera menulis surat wasiat sebagai persediaan untuk “Hari Perjalanan”. As- Syaikahan meriwayatkan dan Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak ada yang paling penting bagi seseorang muslim baginya sesuatu yang diwasiatkan dan ia tidak akan tidur dua malam berturut-turut melainkan di sisinya wasiat yang ia tuliskan.” Berkata Ibn Umar: “Tidak aku lalui suatu malam pun semenjak aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang demikian melainkan di sisiku wasiatku.”

Seterusnya baginda mengibaratkan mereka yang sentiasa mengingati maut sebagai mereka yang paling berakal di kalangan manusia dan paling mulia di kalangan mereka. Diriwayatkan dan Abi Dunya dan At-Tabarani, Ibn Majah dan Baihaqi dan Ibn Umar bahawa seorang lelaki bertanyakan Nabi s.a.w, mukmin yang manakah paling cerdik?” Sabda Nabi: “Yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persediaan mereka selepas mati. Mereka itulah yang paling cerdik.”

Pada salafus salih adalah merupakan mereka yang paling banyak mengingati kematian dan mengambil pengajaran darinya. Adalah Ibn Umar r.a apabila mengingati kematian dan keadaan-keadaannya, ia menjadi tidak tenang seperti burung yang sedang berkibas dan tiap-tiap malam beliau mengumpulkan fukaha’ lalu mereka saling ingat kematian dan hari Kiamat. Setelah itu mereka menangis seolah-olah mereka menangisi satu kematian.

Hamid al-Qusairi berkata: “Setiap kita meyakini kematian, tetapi kita tidak membuat sebarang persediaan terhadapnya. Setiap kita juga meyakini dengan syurga tetapi tidak kelihatan kita melakukan sebarang amalan. Dan setiap kita meyakini dengan neraka akan tetapi kita tidak kelihatan takut kepadanya. Apakah yang menyebabkan kamu bergembira? Tidakkah ingatan dan harapan kamu kepada kematian itu merupakan perkara yang pertama-tama sekali mengingatkan kamu kepada suruhan Allah sama ada dengan melaksanakan kebaikan atau menghindari kejahatan. Wahai saudaraku, berjalanlah kamu kepada tuhanmu dengan jalan yang sebaik-baiknya.”

Berkata Hassan al-Basri: Maut membongkarkan kecelaan dan keaiban dunia. Maka mereka yang berakal tidak akan tinggal di dalamnya dalam keadaan penuh kegembiraan. Dan tidaklah bagi seseorang hamba yang melazimkan (menetapkan) dirinya untuk mengingati kematian melainkan dia akan merasakan dunia ini begitu kecil dan segala yang ada di dalamnya adalah hina.


Diriwayatkan daripada Muzni, ia berkata: Aku menemui as-Syafie ketika ia sedang sakit yang membawa kematian kepadanya. Aku berkata kepadanya: “Bagaimanakah keadaan engkau?” Lalu ia menjawab: “Aku akan menjadi seorang pengembara yang akan keluar dari dalam dunia ini. Dan kepada saudaraku, aku akan menjadi seorang yang akan dipisahkan dan mereka.

Sementara segala amalan keburukan aku adalah penanggunganku (akibatnya) dan aku merupakan seorang yang amat mengharapkan untuk meminum gelas kerahmatan (Allah). Kepada Allahlah aku akan kembali. Tidak aku ketahui apakah rohku ini bergerak ke syurga lalu aku akan mengucapkan tahniah kepadanya, atau ke neraka yang aku tanggung (seksanya).”


Kemudian beliau bernasyid:

Bila jiwaku tidak bermaya lagi dan jalan hidupkan sudah menjadi buntu.
Maka aku menjadi harapan terhadap keampunanmu itu sebagai tangga.

Dosa memang telah menguasai diriku tetapi bila aku membandingkannya dengan keampunan-Mu,

maka ianya (keampunan-Mu) itu adalah lebih besar.Kamu (ya Allah) akan sentiasa memberi keampunan kepada yang berdosa.

Kamu bersifat pemurah dari segi pemberian, dan pengampun dari segi memberikan kemuliaan dan penghormatan.”

Adalah Abu Darda’ r.a. ketika ia sedang duduk di suatu kubur, maka ditanyakan kepadanya, apakah yang engkau buat di situ? Jawabnya: “Aku sedang duduk di hadapan suatu kaum yang mengingatkan aku kepada tempat kembaliku. Bila mana aku menghilangkan diri daripada mereka (berpindah dan pergi ke tempat lain) mereka tidak akan mengumpat dan mencaci aku.” Kata Maimun bin Mahran: Aku keluar her sama-sama dengan ‘Umar bin Abdul Aziz kepada suatu tanah perkuburan, maka apabila ia melihat kepada kubur itu lalu ia menangis. Kemudian ia datang kepadaku dan berkata: “Ini adalah kubur datuk nenek Bani Umaiyah, seolah-olah mereka itu tidak lagi bersama-sama menikmati kehidupan (kesenangan hidup dunia) dengan penduduk dunia. Apakah kamu tidak mendapati mereka yang telah mati itu telah ditimpakan kepada mereka azab-azab Allah, bencana-bencana serta telah berterusan mengongkongi hidup mereka, dan ditimpa pula kepada mereka penyakit-penyakit yang menyerang tubuh badan mereka?” Kemudian beliau menangis, seraya berkata: “Demi Allah, tiada yang aku ketahui seorang manusia pun yang mendapat kenikmatan yang banyak (lebih), kecuali daripada mereka yang sudah sampai ke kubur ini dan sudahpun terselamat daripada azab-azab Allah s.w.t.”

Lantaran itu, wahai dai kepada Allah ingatlah kamu kepada mati dan perkara-perkara yang selepasnya, berbekallah kamu daripada pelabuhan dunia ni dengan amalan yang saleh, dan sentiasa tingkatkanlah diri kamu di dalam tangga kerohanian, dan selamatlah kamu dengan sempurna, dan akhirnya kamu akan sampai kepadanya di bawah kelembutan keredaan Allah, dan bersedialah untuk hari yang akan kamu temui!
Abdullah Nasih Ulwan

1 comment:

DN Adnin said...

terima kasih kerana mengingatkan, mohon kebenaran utk share this artikel utk di panjangkn kpd teman2