Thursday, February 10, 2011

Nabi Muhammad SAW - Kelahiran

Khamis, 7 Rabiulawal 1432H:- Junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan di Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M).

Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah.

Ayahnya, Abdullah bin Abdul Muthalib, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.

Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim.

Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama lebih kurang empat tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Makkah untuk mengunjungi ibunya. Ketika bersama dengan Ibu susuannya dada Rasulullah SAW telah dibelah, dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Aku dibawa orang (Jibril a.s) ke telaga zamzam; di sana dadaku dibelah kemudian dibersihkan dengan air zamzam, sesudah itu aku dihantarkannya kembali ke tempatku semula.” (HR Muslim)

Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).

Sejak kecil, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan sosial arab jahiliyyah yang merosakkan dan penuh kekufuran.

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (Arab: نبي محمد صلى الله عليه وسلم‎) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia.

Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.

Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan rasul dan nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Muhammad sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa.

Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud: "Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

1 comment:

zainal said...

Riwayat hidup Rasululah yang sejak kecil menjadi yatim piatu adalah satu pengajaran yg baik utuk dihayati.

2. Apabila seseorang melalui liku hidup yang susah/sulit/derita, ianya akan membina jati diri seterusnya membentuk daya resilien.

3.Resilien bermaksud daya tahan yang mampu melonjakkan diri ke tahap yang lebih baik daripada sebelumnya.

4.Setiap anak perlu dilatih dgn sifat susah/sulit/menanggung beban/jauhi kemewahan/berpada dengan yang ada/hidup sederhana/menahan nafsu/pikul tanggungjawab/tidak bermegah, supaya membentuk resilien diri.

5.Diri yang resilien adalah senjata pertahanan diri yang terbaik menangkis ancaman/godaan/ajakan luaran.

W'aklam