Sabtu, 2 Syaaban 1446H | Amalan Syaaban Menghadapi Ramadan
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا
Daripada Abu Salamah bahawa 'Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: "Rasulullah SAW tidak pernah melaksanakan puasa lebih banyak dalam sebulan selain bulan Syaaban, ada kalanya baginda melaksanakan puasa bulan Syaaban seluruhnya. Baginda bersabda: "Lakukanlah amal-amal yang kalian sanggup melaksanakannya, kerana Allah tidak akan berpaling (dalam memberikan pahala) sampai kalian yang lebih dahulu berpaling (dari mengerjakan amal) ". Solat yang paling Nabi SAW cintai adalah solat yang dijaga kesinambungannya sekalipun sedikit. Baginda bila sudah biasa melaksanakan solat (sunat) baginda menjaga kesinambungannya". (HR Bukhari No: 1834) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Bulan Sya'ban adalah peluang untuk memperbanyakkan ibadah sunat seperti puasa dan amal soleh lain sebagai persediaan rohani bagi menghadapi bulan Ramadan. Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban untuk kita contohi.
2. Hadis ini mengajar pentingnya mengambil pendekatan sederhana dan realistik dalam ibadah, supaya kita tidak cepat merasa penat atau bosan. Amalan yang sedikit tetapi konsisten lebih bernilai di sisi Allah berbanding amalan besar yang dilakukan hanya sekali-sekala.
3. Solat sunat yang Nabi SAW cintai ialah yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.
4. Pelihara solat sunat mengiringi solat fardhu, duha, tahajud, witir dan lain-lain walaupun hanya dua rakaat.
5. Rasulullah SAW memanfaatkan bulan Syaaban sebagai masa latihan sebelum memasuki Ramadan. Ia memberi pengajaran kepada kita agar bersedia secara mental, fizikal, dan spiritual untuk menghadapi bulan yang penuh keberkatan.
Hadis ini memberi panduan kepada kita, cara mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan konsisten dan persiapan yang terancang. Ia juga mengajarkan bahawa keberkesanan ibadah terletak pada ketekunan dan istiqamah, bukan sekadar banyaknya amalan. Ambilah peluang untuk memperbaiki diri pada bulan Syaaban ini, sebagai persiapan menghadapi bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Laksanakan puasa sunat, solat sunat serta pelbagai amal soleh di bulan Syaaban ini. Semoga kebiasaan yang kita lakukan pada bulan ini akan berterusan di bulan Ramadan.
No comments:
Post a Comment