Tuesday, February 18, 2025

Solat Sunat Zohor

Selasa, 19 Syaaban 1446H  |  Solat Sunat Zohor

عن أم حبيبة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرُمَ عَلَى النَّارِ

Daripada Ummu Habibah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: “Barangsiapa menjaga solat 4 rakaat sebelum zuhur dan 4 rakaat sesudahnya, maka Allah mengharamkan neraka baginya.” (HR Tirmidzi no: 428) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang mengerjakan solat sunat 4 rakaat sebelum dan sesudah zuhur.

2.  Orang yang menjaga secara konsisten solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zohor, akan dijauhkan daripada api neraka. Hal ini menunjukkan bahawa amalan sunat dapat membantu meningkatkan kualiti ibadah seseorang dan menjadi penyelamat di hari akhirat kelak.

3.  Dalam hadis yang lain, daripada Abdullah bin As-Saib, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  menunaikan solat 4 rakaat setelah waktu zawal (matahari gelincir ke barat) atau disebut rawatib qabliyah zuhur (solat sunat sebelum solat zuhur).  Baginda SAW bersabda,

إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِى فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

“Ini adalah waktu dibukakannya pintu langit. Aku suka jika amalan solehku naik pada waktu itu.” (HR. Tirmidzi, no. 478). Status hadis hasan.

4. Hadis ini memberikan dorongan yang kuat untuk menjaga solat sunat sebelum dan selepas solat Zuhur. Dengan menjaga amalan ini, seseorang tidak hanya mendekatkan dirinya kepada Allah, tetapi juga memperoleh perlindungan dari api neraka, sebagai balasan atas istiqamahnya dalam beribadah.


No comments: