Selasa, 12 Syaaban 1446H |Tiga Penyebab Doa Tidak Makbul
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ قَالَ يَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ
Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: Doa seseorang sentiasa akan diperkenankan selagi ia tidak berdoa untuk perbuatan dosa ataupun memutuskan silaturahim dan selagi tidak tergesa-gesa. Seorang sahabat bertanya; 'Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan tergesa-gesa? ' Rasulullah SAW menjawab: 'Yang dimaksud dengan tergesa-gesa adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan; 'Aku telah berdoa dan terus berdoa tetapi aku tidak melihat diperkenankan'. Setelah itu, ia merasa kecewa dan berhenti berdoa. (HR Muslim No: 4918) Status: Sahih
Pengajaran:
1. Setiap doa akan diperkenankan Allah selagi seseorang tidak melakukan 3 perkara:
a. Tidak berdoa untuk perbuatan dosa
b. Tidak memutuskan silaturahim
c. Tidak tergesa-gesa meminta dikabulkan
2. Orang yang tergesa-gesa ialah yang tidak sabar doanya dikabulkan dan mudah berputus asa dan enggan berdoa kembali.
3. Dalam berdoa, kita harus memastikan bahawa niat kita adalah untuk kebaikan dan tidak untuk hal-hal yang buruk. Allah tidak akan mengabulkan doa yang bertujuan untuk kejahatan atau keburukan, termasuk memutuskan hubungan dengan keluarga atau merancang untuk menyakiti orang lain.
4. Marilah kita berdoa yang baik-baik, jagalah hubungan silaturahim dengan kerabat dan istiqamahlah untuk terus berdoa dengan bersabar dan tidak berputus asa. Yakinlah bahawa Allah tetap akan memperkenankan permohonan kita.
5. Doa adalah salah satu bentuk pengabdian dan pengharapan kita kepada Allah. Melalui doa, kita menunjukkan ketergantungan kita kepada-Nya dan meyakini bahawa hanya Allah yang dapat memberikan pertolongan. Oleh itu, kita harus tetap konsisten dalam berdoa, tanpa merasa lelah atau putus asa.
No comments:
Post a Comment