Khamis, 10 Syaaban 1447H | Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Tidak dicabut sifat belas kasihan (rahmat Allah) kecuali dari orang yang celaka (berbuat keji)." (HR Tirmizi No: 1846) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki.
2. Sifat kasih sayang merangkumi kasih sayang terhadap manusia, belas kasihan kepada kanak-kanak, orang lemah dan masyarakat sekeliling di samping sifat empati yang lahir daripada iman.
3. Allah akan mencabut sifat kasih sayang (rahmat-Nya) daripada orang yang melakukan perbuatan keji dan maksiat.
4. Perbuatan keji (seperti menghina, memfitnah, mengumpat dan mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sekeliling) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim. Tanpa disedari Allah telah menghilangkan rasa kasih sayang dalam dirinya.
5. Menurut Ibn al-Athir, orang yang celaka merujuk kepada orang yang hatinya keras, tidak tersentuh dengan penderitaan orang lain serta hilang rasa belas kasihan akibat dosa yang berterusan.
6. Salman al-Farisi berkata: “Sesungguhnya apabila Allah inginkan kebinasaan kepada seorang hambaNya, maka Dia mencabut darinya sifat malu, apabila sifat tersebut tercabut maka akan dicabut darinya sifat amanah sehingga dia menjadi pengkhianat. Apabila sifat amanah dicabut darinya maka akan dicabut darinya sifat rahmah (sifat belas kasih) sehingga dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan demikian, maka akan dicabut sebahagian iman dari tengkuknya dan bila sudah demikian maka dia tidak akan ditemui kecuali dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat”.
Jauhi perkara keji. Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji.
No comments:
Post a Comment