Ahad, 12 Muharam 1448H | Allah Benci Orang Yang Keras Kepala dan Kuat Bermusuh
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ
Daripada Aisyah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya manusia yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang keras kepala dan kuat bermusuhan. (HR Muslim No: 2668) Status : Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Orang yang paling Allah benci ialah mereka yang keras kepala, sukar menerima kebenaran dan kuat bermusuhan.
2. Menurut Muhammad Fuad Abdul Baqi, yang dimaksudkan الألد ialah permusuhan yang keras (keras kepala dan enggan menerima kebenaran). Manakala perkataan الخصم pula bermaksud permusuhan atau penentangan yang salah dalam menegakkan kebenaran ataupun menthabitkan kebatilan (Syarh Sahih Muslim). الخصم juga bermaksud orang yang gemar bertengkar dan bermusuhan.
3. Perkara yang dibenci Allah itu tidak terhad pada golongan batil sahaja, akan tetapi Allah juga benci pada golongan yang ingin menegakkan kebenaran namun memusuhi orang lain (dia saja yang betul sedangkan orang lain salah).
Firman Allah SWT:
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ
Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. (Al-Baqarah ayat 204)
4. Janganlah kerana kita tidak bersetuju dengan seseorang atau sekelompok, menjadikan kita benci dan memusuhi mereka hingga seolah-olah tiada kebaikan pada mereka malah kita berusaha memburuk-burukkan.
5. Pertelingkahan biasanya berpunca daripada sikap ego, keinginan untuk menang dan enggan mengaku kesilapan. Pertelingkahan yang tidak berfaedah akan mengeraskan hati, memutuskan ukhuwah, menimbulkan kebencian dan menghalang seseorang daripada menerima nasihat.
6. Seorang Muslim yang berakhlak mulia akan mengutamakan adab, menerima kebenaran dengan hati yang terbuka dan menjadikan dialog sebagai jalan untuk mencapai kefahaman, bukan sebagai medan untuk menunjukkan kehebatan diri. Jagalah akhlak dan wasilah kita dalam menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan agar kita tidak termasuk dalam golongan yang dibenci Allah.
No comments:
Post a Comment