Thursday, September 10, 2009

Lailatul Qadar ( Malam Kemuliaan dan Kebesaran)

Khamis, 20 Ramadhan 1430H - Allah SWT berfirman yang ertinya : “ Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukan kamu apakah malam kemuliaan itu ?. Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Robnya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sampai terbit fajar " ( Al Qadr: 1 – 5 )

Keterangan:

Di antara malam-malam Ramadhan terdapat suatu malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadar” suatu malam yang terkenal kerana mempunyai keberkatan yang teramat besar. Di dalam Al Quran dinyatakan sebagai mempunyai keberkatan dan kelebihan ke rohaniah yang lebih besar daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa ia lebih bernilai daripada lapan puluh tiga tahun empat bulan. Rasulullah SAW bersabda : “Lailatul Qadar telah dikurniakan ke atas umatku dan tidak kepada lain-lain umat.” Sebab-sebab pengurniaan Lailatul Qadar ini banyak pendapat mengenainya. Menurut beberapa hadis, satu sebab diberikan malam ini kerana Rasulullah SAW pernah memikirkan tentang umur-umur umat terdahulu yang panjang-panjang dan apabila dibandingkan dengan keadaan umur pendek umatnya, maka baginda pun sangat berdukacita. Jika umat ini ingin berlumba dalam kesolehan dengan umat-umat terdahulu maka mustahil mereka dapat bersaing atau mengatasinya. Maka dengan rahmat Allah SWT, dikurniakan malam yang dipenuhi keberkatan ini.

Riwayat lain menyatakan bahawa suatu ketika Rasulullah SAW menceritakan kepada para sahabat tentang seorang yang sangat soleh dikalangan Bani Israil yang telah menghabiskan masanya di dalam jihad selama seribu bulan. Apabila mendengar cerita tersebut, para sahabat berasa cemburu kerana mereka tidak dapat mencapai ganjaran yang sama. Maka Allah SWT pun menganugerahkan malam Lailatul Qadar, melalui firman Allah SWT dalam surah Al Qadr.

Anas ra. meriwayatkan: Apabila Ramadhan bermula, maka Raslullah SAW pun bersabda: "Sesungguhnya telah datang kepadamu suatu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang ditolak daripada malam ini sesungguhnya ternafilah dia daripada segala kebaikannya. Dan tidaklah yang ditolak daripada kebaikan itu kecuali yang benar-benar tidak bernasib baik.”

Abu Hurairah ra.meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa berdiri ( dengan solat dan beribadat) pada malam Lailatul Qadar dengan iman dan ihtisab (Yakni dengan keyakinan yang sempurna dan harapan yang ikhlas untuk memperolehi ganjarannya ) maka dosa-dosa yang lepas akan diampunkan.” Kita hendaklah mempunyai azam yang kuat untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar ini dengan memperbanyakkan amalan ibadat sepanjang bulan Ramdahan dan tambahkan pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan dengan amalan-amalan solat, zikir, tilawah dan sebagainya dengan keimanan serta yakin dan ikhlas kerana Allah.

Anas ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Pada malam kemuliaan ( Lailatul Qadar) maka turunlah Jibril as. ke dunia dengan sekumpulan malaikat, lalu berdoa memohon rahmat ke atas setiap hamba Allah yang mereka lihat sedang beribadat, berdiri atau duduk sambil berzikir kepada Allah. Kemudian pada hari Aidil Fitri Allah berbangga mengenai mereka kepada malikat-malaikat ( yang pernah mempersoalkan penciptaan Adam dahulu ). “Wahai malaikat-malaikatKU apa ganjaran bagi orang yang telah menyermpurnakan kerjanya dengan baik?” Mereka pun menjawab: “ Wahai Allah, selayaknya ganjaran yang penuh diberikan kepadanya.” Maka Allah menjawab: “Wahai malaikat-malaikatKu, sesungguhnya hamba-hambaKU ini, lelaki dan wanita telah menyempurnakan kewajipan yang telah difardhukan ke atas mereka, kemudian mereka pun keluar menuju ke kawasan solat Aidilfitri meninggikan suara mereka berdoa kepadaKU. Aku bersumpah demi kemuliaan Ku, kemegahanKu, kehormatanKu, ketinggianKu dan tempatKu yang tertinggi,pasti akan Aku makbulkan doa orang-orang ini. “ Kemudian Allah pun berfirman: “Kembalilah kamu sekelian, Aku telah ampunkan dosa-dosa kamu, dan menggantikan perbuatan-perbuatan maksiatmu dengan kebaikan (hasanah).” Orang-orang ini pun kembali dengan pengampunan terhadap dosa-dosa mereka.

Aisyah ra. meriwayatkan: “Aku berkata : “Wahai Rasulullah SAW sekiranya aku bertemu dengan Lailatul Qadar, apakah doa yang perlu ku baca?" Rasulullah SAW bersabda : “Katakanlah : “ Ya, Allah sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosaku, Engkau suka mengampun, maka ampunilah aku. “

Tentang masa turunnya malam yang istimewa ini, terdapat kira-kira lima puluh pendapat yang berbeza-beza. Aisyah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadhan.” Menurut sebahagian besar ulama, sepuluh malam terakhir itu bermula daripada malam yang ke 21. Tidak kiralah sama ada Ramadhan itu mengandungi 29 hari atau 30 hari. Maka jika seseorang ingin mencari Lailatul Qadar maka carilah malam 21, 23, 25, 27 dan 29. Rasulullah SAW beriktikaf bermula pada malam yang ke – 21 Ramadhan. Berdasarkan itu, ulama-ulama berpendapat bahawa malam-malam ganjil adalah malam yang sesuai untuk Lailatul Qadar.

Ubadah bin Saamit ra berkata: “ Suatu ketika Rasulullah SAW keluar untuk memberitahu kami mengenai Lailatul Qadar ( tentang tarikh yang tepat). Malangnya perbalahan telah berlaku antara dua orang Islam, sesudah itu baginda bersabda:”Aku keluar untuk memberitahu kamu bilakan muncul Lailatul Qadar tetapi disebabkan dua orang berbalah, pengetahuan tarikh yang sebenar telah ditarik semula; mungkin itu terlebih baik, maka carilah pada malam kesembilan, ketujuh dan kelima.” Hadis ini memberi pengajaran bahawa akibat perbalahan mengakibatkan kehilangan rahmat hingga pengetahuan sebenar penetapan Lailatul Qadar hilang lenyap.

Ubadah bin Samit ra. meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya Rasulullah SAW mengenai Lailatul Qadar. Baginda menjawab: “Ia terdapat pada bulan Ramadhan, pada sepuluh yang terakhir pada malam-malam yang ganjil samada malam ke 21, ke 23, ke 25, ke 27, ke 29 dan malam terakhir Ramadhan. Sesiapa sahaja yang berjaga malam untuk beribadat dengan iman dan ihtrisab ( dengan keadaan iman yang ikhlas ingin memperolehi ganjaran ) maka terampunlah segala dosa-dosanya yang lampau. Diantara tanda-tanda pada malam ini ialah malam tersebut berkeadaan sunyi sepi penuh ketenangan serta bercahaya, tidak panas dan tidak sejuk tetapi sederhana seolah-olah bulan memancar terang. Pada malam itu panah-panah api tidak kelihatan memanah syaitan-syaitan. Keadaan ini tetap berkeadaan begitu sehinggalah munculnya Subuh. Tanda-tanda yang lain ialah pada waktu pagi, matahari akan naik tanpa pancaran cahaya, muncul seolah-olah seperti bulan mengambang penuh. Pada hari itu Allah mengharamkan syaitan naik bersama-sama matahari.”

Marilah kita bersama-sama berazam untuk mempertingkatkan amalan ibadat kita dan menjauhkan perkara yang ditegah oleh Allah dan RasulNya di sepanjang bulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan Allah akan temukan kita dengan malam Lailatul Qadar yang penuh rahmat dan berkat ini. Amin

Wallahu a’lam

(Dipetik daripada buku Fadhilat Ramadhan )

No comments: