Wednesday, September 9, 2009

Beritikaf Dalam Mencari Lailatul Qadar

Rabu, 19 Ramadhan 1430H - Iktikaf bermaksud bertafakur dalam masjid mencari keredaan Allah S.W.T.

Jenis-jenis iktikaf -
Iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk;
1. Iktikaf sunnat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata untuk bertaqorrub kepada
Allah SWT seperti; iktikaf 10 hari terakhir bulan Ramadan.
2. Iktikaf yang wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti: "Kalau Allah SWT
menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf.

Waktu iktikaf - Iktikaf wajib tergantung pada berapa lama waktu yang dinazarkan, sedangkan iktikaf sunat tidak ada batasan waktu tertentu, bila-bila saja pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat. Ya'la bin Umayyah berkata: " Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tak lain hanya untuk beriktikaf."

Syarat-syarat iktikaf
1. Muslim
2. Berakal
3. Suci dari janabah (junub), haid dan nifas.

Oleh kerana itu, iktikaf tidak sah bagi orang kafir, anak yang belum mumaiyiz (mampu membezakan), orang junub, wanita haid dan nifas.
Rukun-rukun iktikaf
1. Niat (QS. Al Bayyinah : 5), (HR: Bukhari & Muslim tentang niat)
2. Berdiam di masjid (QS. Al Baqarah : 187)
Di sini ada dua pendapat ulama tentang masjid tempat iktikaf. Sebahagian ulama membolehkan iktikaf di setiap masjid yang diguna untuk solat berjemaah lima waktu. Hal itu dalam rangka menghindari seringnya keluar masjid dan untuk menjaga pelaksanaan solat jemaah setiap waktu.
Ulama lain mensyaratkan agar iktikaf itu dilaksanakan di masjid yang diguna untuk membuat solat Jumaat, sehingga orang yang beriktikaf tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya menuju masjid lain untuk solat Jumaat.
Pendapat ini dikuatkan oleh para ulama Syafiiyah bahawa yang afdal iaitu iktikaf di masjid jami', kerana Rasulullah s.a.w iktikaf di masjid jami'. Lebih afdal di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa.

Hal-hal yang diperbolehkan bagi mutakif (orang yang beriktikaf)
1. Keluar dari tempat iktikaf untuk menghantar isteri, sebagaimana yang dilakukan oleh
Rasulullah s.a.w terhadap isterinya Sofiyah ra. (HR. Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Menyisir atau mencukur rambut, memotong kuku, membersihkan tubuh dari kotoran dan
bau badan.
3. Keluar dari tempat keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil,
makan, minum (jika tidak ada yang menghantarkannya), dan segala sesuatu yang tidak
mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali setelah menyelesaikan
keperluannya .
4. Makan, minum, dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.
Hal-hal yang membatalkan iktikaf
1. Meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, kerana
meninggalkan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid.
2. Murtad ( keluar dari agama Islam )
3. Hilangnya akal, kerana gila atau mabuk
4. Haid atau Nifas
5. Berjimak (bersetubuh dengan isteri) (QS. 2: 187), akan tetapi memegang tanpa syahwat, tidak
apa-apa sebagaimana yang dilakukan Nabi dengan isteri- isterinya.
6. Pergi solat Jumaat (bagi mereka yang membolehkan iktikaf di surau yang tidak digunapakai
untuk solat Jumaat).

Rasulullah SAW beriktikaf di dalam mencari Lailatul Qadar
Abu Said Al Khudri ra: meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW beriktikaf didalam sebuah khemah (dalam masjid) pada sepuluh hari yang pertama bulan Ramadhan. Kemudian dilanjutkan pada hari sepuluh hari yang pertengahan. Kemudian baginda akan menjenguk kepalanya keluar khemah sambil berkata: “ Sesungguhnya takkala mencari Lailatul Qadar aku beritikaf pada sepuluh hari pertama dan menyambungnya kesepuluh hari yang pertengahan untuk maksud yang sama. Kemudian aku beritahu bahawa malam ini (Lailatul Qadar) terdapat pada sepuluh hari yang terakhir.

Maka mereka yang menyertaiku hendaklah terus beriktikaf. Sesungguhnya hampir sahaja aku ditunjukkan malam tersebut namum aku telah dilupakan malam yang mana satu. Dan sesungguhnya aku melihat diriku sujud kepada Allah dengan dahi di dalam lumpur pada pagi hari selepas daripada malam tersebut. Dengan ini carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam Ramadhan yang terakhir. Carilah pada malam-malam ganjil. ”Abu Said ra berkata : " Malam yang sama hujan pun turun. Atas masjid bocor dan aku lihat Rasulullah SAW sedang sujud di dalam lumpur, dan kejadian itu berlaku pada pagi malam yang ke 21.”

Aisyah ra meriwayatkan: "Semasa sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, Rasulullah SAW mengikat kain sarungnya seketat-ketatnya, berjaga setiap malam dan menggerakkan keluarganya untuk beribadat.” Mengikat kain seketat-ketat dimaksudkan sebagai tanda baginda tidak membataskan diri dalam mengerahkan tenaganya ketika beribadat atau baginda menjauhkan sama sekali segala bentuk hubungan kelamin dengan isteri-isterinya.

Ibn Abbas ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Orang yang beriktikaf akan terbebas daripada dosa-dosanya dan sesungguhnya dia akan diberikan ganjaran yang sama sebagaimana mereka yang berbuat kebaikan atau hasanat (disebabkan dia beriktikaf)”.

Ibn Abbas ra meriwayatkan bahawa suatu ketika tatkala beliau sedang beriktikaf di dalam masjid Nabawi, sesorang telah datang menemuinya sambil memberi salam lantas duduk. Ibn Abbas ra lalu bercakap kepadanya: "Aku lihat kamu dalam keadaan sedih dan berdukacita” Orang itu menjawab: "Ya, wahai anak kepada bapa saudara Rasulullah SAW (sepupu) sesungguhnya aku mempunyai hak yang perlu dipenuhi. Aku bersumpah dengan penghuni kubur yang mulia ini (Rasulullah SAW) bahawa aku tidak dapat menyempurnakan hak tersebut.” Ibn Abbas menjawab : "Bolehkah aku menjadi perantara bagi pihak mu?”. Ibn Abbas ra pun memakai kasutnya dan keluar daripada masjid. Melihat ini orang itu pun berkata: ”Lupakah tuan bahawa tuan sedang beriktikaf ?” Matanya digenangi airmata, lalu Ibn Abbas pun berkata: Tidak, peristiwa itu masih terbayang-bayang di ruang mataku apabila penghuni yang mulia ini bersabda: "Barangsiapa bergerak dengan maksud mahu menyelesaikan suatu urusan (hajat) saudaranya maka itu adalah terlebih baik daripada dia beritikaf selama sepuluh tahun. Barangsiapa beritikaf satu hari (kerana mencari keredahaan Allah ) maka di antaranya dan api neraka ialah tiga parit (khandak) yang setiap parit itu sejauh antara langit dan bumi.”

No comments: