Selasa, 10 Rabiulakhir 1432H : Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.” (HR Abu Daud)
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (HR al-Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a katanya :Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Tiga Golongan manusia yang Allah tidak akan bercakap dengan mereka di hari kiamat, tidak menganggap mereka sebagai orang yang bersih, tidak melihat kepada mereka, dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dengan azab yang sangat pedih. Mereka ialah orang tua yang berzina, raja atau pemimpin yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong”. ( HR Muslim)
Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Saya dengar nabi SAW bersabda:”Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak.” (Bukhari )
Pengajaran Hadis:
1. Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya.
2. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat. Oleh itu Islam menganggap perbuatan berbohong atau berdusta adalah satu perbuatan munafiq.
3. Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.
4. Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar dan dahaga sahaja.
5. Amatlah malang dan ruginya bagi orang yang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan-perkataan yang kotor memaki hamun, berbohong dan sebagainya, sebagaimana biasa, sedangkan ia berpuasa, maka ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah S.W.T bahkan mendapat dosa pula
6. Allah S.W.T. amat benci kepada tiga golongan manusia, iaitu orang tua yang masih tidak meninggalkan perbuatan zina, pemimpin yang bercakap bohong dan orang miskin yang sombong.
7. Siksaan di akhirat adalah amat pedih. Oleh itu selagi hayat dikandung badan, pergunakanlah masa sepenuhnya untuk membanyakkan amal ibadat agar kehidupan di dunia dan akhirat mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T.
8. Rasulullah SAW menjelaskan sifat-sifat orang munafiq, di antaranya: Apabila ia berkata, ia berbohong, apabila berjanji, ia mungkiri dan apabila diberi amanah, ia khianat. Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.
9. Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berwasiat kepadanya:” Hanya dengan satu perkara: "Laa Takzib! (Jangan berbohong!)." Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu."Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab:”Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum", fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.
1 comment:
Hidup dgn berterus terang dan jujur akan mendatangkan ketenangan jiwa.
2.Sikap jujur datang hasil daripada hati yang terdidik dgn iman dan ihsan pada Allah.
3.Orang yg yakin pd hari kebangkitan dan yakin bahawa Allah melihat semua tingkahlakunya akan sentiasa mengingatkan diri supaya bersikap jujur.
4.Hati yg tunduk pd Allah dgn sentisa menyucikannya akan mudah membentuk sifat jujur.
Wallahuaklam
Post a Comment