Thursday, March 24, 2011

Syirik

Khamis,19 Rabiulakhir 1432H; Rasullah s.a.w bersabda: " Sesiapa mati dalam keadaan ia melakukan sebarang syirik terhadap Allah, masuklah dia ke dalam neraka."(HR Abdullah bin Mas'ud r.a)

Rasullah s.a.w bersabda: " Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah?'' Baginda s.a.w menjawab: " (Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah…."(HR Abu Hurairah r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab: "( Syirik yangkecil itu) ialah riak - Allah Taala akan berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: " Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dahulu ( untuk menunjukan kepada meraka ), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"( HR Mahmud bin Labid r.a )

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik.”(H Riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari.” (H.Riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Adakah kamu mahu aku memberitahu kamu tentang suatu perkara yang aku takuti ke atas kamu daripada dajal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Bagindapun berkata:” Syirik khafi iaitu seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana ada orang yang memerhatikannya.” (H Riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:" Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”(H.Riwayat Muslim)

Dari Abdullah bin Umar r.a katanya,:”Tatkala turun ayat yang berbunyi:”Mereka yang beriman dan tidak mencampur-baurkan iman mereka dengan aniaya, mereka akan beroleh ketenteraman dan akan dipimpin (Allah). Bertanya para sahabat Rasulullah s.a.w:”Siapakah di antara kami yang tidak aniaya terhadap dirinya sendiri? Maka diturunkan Allah ayat:”Sesungguhnya syirik (mempersekutukan Allah) adalah aniaya yang amat besar.)” (HR al-Bukhari)

Dari ‘Auf bin Malik al-Asyja’i r.a katanya:”Kami biasa melakukan mantera pada masa jahiliyah. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah s.a.w:”Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda tentang mentera ?” Jawab baginda:”Peragakanlah (bacalah) menteramu itu di hadapanku. Mentera tidak ada salahnya selama tidak mengandungi syirik.” (HR Muslim)

Pengajaran hadis:

1. Kita diperintahkan menjauhi dosa syirik kerana dosa orang yang mensyirikkan Allah SWT amat besar. Antaranya ialah seperti yang disebutkan di dalam firman Allah yang maksudnya: ”Orang yang menyekutukan Allah, diharamkannya syurga atasnya dan tempat kembalinya adalah neraka. Dan orang-orang zalim itu tidak memiliki para penolong.” (Al Ma’idah: 72)

2. Syirik dikatakan sebagai satu kezaliman yang sangat besar kerana manusia yang diciptakan Allah, diberi rezeki oleh Allah, kehidupan oleh Allah, tetapi ia tidak tahu berterima kasih bahkan menyekutukan Allah dengan yang lain. Rasulullah SAW telah mengajarkan sebuah doa agar terhindar daripada dosa syirik iaitu: “Ya Allah, aku meminta perlindungan kepada-Mu dari perbuatan menyekutukan Engkau dengan sesuatu, sedangkan aku mengetahui hal itu. Dan aku meminta perlindungan kepada Engkau dari tindakan menyekutukan-Mu dengan sesuatu dan aku tidak tahu.”

3. Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram di sisi Islam sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir, memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang mengandungi benda-benda najis dan kotor.

4. Perbuatan ini adalah termasuk dalam perbuatan ‘syirik yang tersembunyi’ yang diertikan sebagai mengiktiqadkan sesuatu sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan yang baik atau buruk, contohnya disebabkan tangkal azimat yang digunakan itu maka seseorang itu terselamat daripada bahaya dan sebagainya.

5.Kecuali jika ia menggunakan ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah atau sifat-Nya atau yang berbentuk zikrullah maka yang demikian tidaklah diharamkan.

6. Di antara perbuatan syirik tersembunyi yang lain adalah seperti;
a) Menanamkan perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.
b) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain daripada Allah.
c) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.
d) Mengatakan:” Kalaulah tidak kerana pertolongan dia, tentulah aku tidak berjaya” dan sebagainya.
e) Mengatakan:” Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda dan sebagainya tentulah rumahku dimasuki pencuri”.
f) Melakukan sesuatu amal ibadat atau membuat sesuatu pengorbanan, perjuangan, bukan kerana menjunjung perintah Allah tetapi untuk suatu tujuan yang lain.

7. Selaku umat Islam hendaklah kita menjauhi segala bentuk perbuatan yang mensyirikkan Allah kerana dosa syirik adalah dosa yang paling besar. Sebaliknya hendaklah meletakkan keyakinan bahawa segala sesuatu itu adalah bergantung pada takdir Allah dan keizinan-Nya jua.

8. Antara unsur syirik yang sering berlegar dalam kehidupan masyarakat Islam pada hari ini ialah keramat, perdukunan dan bertenung nasib.

9. Bagi seseorang dukun dan tukang ramal kebiasaannya mereka mengaku tahu tentang perkara-perkara yang tersembunyi atau bersifat ghaib sehingga banyak memberitahu tentang kejadian masa lalu kepada orang yang datang kepadanya menerusi jampinya. Sedangkan hal yang diperkatakan itu berada dalam persangkaan dan ramalan yang samar atau sekadar meneka semata-mata di mana menaruh kepercayaan seratus peratus padanya hukumnya adalah berdosa besar di sisi Islam.

10. Seorang mukmin, kita wajib percaya sepenuhnya terhadap Rukun Iman dan Rukun Islam yang menuntut agar tidak meletakkan sesuatu yang selain daripada Allah S.W.T sebagai tempat bergantung sebaliknya hendaklah memperbanyakkan usaha dan berdoa ke hadrat Allah S.W.T agar memperkenankan segala apa yang dihajati atau mengelak dari segala kecelakaan yang mendatang.

11. Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.

12. Sebaliknya riya’ pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).

13. Definisi perubatan Islam adalah melaksanakan amalan perubatan berdasarkan paradigma, nilai dan tatacara yang tidak bercanggahan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Ramai di kalangan umat Islam terkeliru dengan istilah perubatan sehingga terjebak ke dalam dunia syirik.

14. Islam telah memberikan panduan yang jelas bahawa semua ilmu perubatan yang mengandungi sihir (jampi mentera yang melanggar syariat), bercampur dengan amalan-amalan haram (bersemah – sembelihan korban sebagai jamu) dan amalan-amalan berdamping dengan makhluk halus yang diyakini berkuasa menentukan kesembuhan penyakit adalah syirik serta amat dilarang dalam Islam.

15. Islam meletakkan bahawa apa-apa perubatan sekalipun sama ada tradisional mahupun perubatan moden semuanya hendaklah bersandarkan kepada hukum bahawa Allah adalah Maha Berkuasa dalam menetapkan penyembuhan sesuatu penyakit. Segala macam bahan yang digunakan dalam proses perawatan tidak kira sama ada menggunakan teknologi perubatan yang telah dipermodenkan mahupun secara terapi tradisional adalah sekadar alat semata-mata. Dalam perkataan lain, segala kaedah dan ubatan yang digunakan hanyalah sebagai ´al-asbab´ dan kita wajib percaya bahawa makhluk tidak berkuasa ke atas sesuatu melainkan segalanya terletak pada ketentuan dan keizinan Allah S.W.T jua.

1 comment:

zainal said...

Buku "40 perkara yang membatalkan iman menurut Al Quran dan Sunnah" oleh penulis Drs. Hanafi Mohamed, Penerbit: Pustaka Haji Abdul Majid amat baik menjadi renungan bersama.

2.40 perkara tersebut ialah:


1. Syirik
2. Meninggalkan Solat Fardu
3. Meninggalkan Puasa Ramadan
4. Enggan Mengeluarkan Zakat
5. Enggan Menunaikan Haji
6. Riddah (Murtad)
7. Kufur Terhadap Allah
8. Mengingkari Takdir Allah
9. Beramal Selain Mencapai Keredhaan Allah
10. Mentaati Selain Perintah Allah dan Rasul
11. Tawakal Selain Allah
12. Memperhambakan Manusia
13. Berpaling dari Peringatan Allah
14. Mengkhianati Amanah Allah dan Rasul
15. Menyembunyikan Kebenaran Ayat Allah S.W.T. Kerana Takut Kepada Ancaman Manusia
16. Mengubah dan Menyalahgunakan Ayat-ayat Allah S.W.T.
17. Memecahbelahkan Perpaduan Kaum Muslimin
18. Mempermainkan Kesucian Agama
19. Menghukum dengan Hukum Manusia dan Menolak Hukum Allah
20. Menghalalkan yang Haram dan Mengharamkan yang dihalalkan Allah S.W.T.
21. Mengajak Umat Islam Meninggalkan Jihad di Jalan Allah
22. Mengkafirkan Sesama Muslim
23. Cinta Kepada Kehidupan Dunia Melebihi Cinta kepada Allah atau Akhirat
24. Mengamalkan Cara Hidup Orang Kafir
25. Berpegang Teguh kepada Adat Resam Nenek Moyang yang Berlawanan dengan Syariat Islam
26. Munafik (Nifak)
27. Beramal dengan Riak
28. Gemar Mengamalkan Perkara Bidaah
29. Membuat Peraturan atau Undang-undang yang Berlawanan dengan Petunjuk Allah dan RasulNya
30. Tidak Beradab Terhadap Rasulullah S.A.W.
31. Menghina Sahabat Rasulullah S.A.W.
32. Mengangkat Orang Kafir Menjadi Pemimpin
33. Menolong Orang Kafir Mengintip Rahsia Orang-orang Beriman
34. Memberi Amanah atau Kepercayaan kepada Orang Kafir untuk Kepentingan Umat Islam
35. Memohon Keampunan Dosa bagi Orang Kafir
36. Taksub kepada Ulama dalam Perkara Maksiat
37. Mempercayai Tukang Tenung
38. Mengamalkan dan Mempercayai Sihir
39. Mempercayai Kuasa Azimat
40. Bersumpah dengan Selain Nama Allah

3.Sama-sama kita semak supaya tidak tergelincir.

Wallahuaklam.