Thursday, March 10, 2011

Wudhuk Yang Sempurna

Khamis, 5 Rabiulakhir 1432H :Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mahukah aku tunjukkan satu pemadam yang dengannya dapat kamu hapuskan dosa serta mengangkat darjat? Jawab para sahabat:”Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Kata baginda:”Sempurnakanlah wudhuk sewaktu kepayahan (seperti sejuk, sakit dan sebagainya) banyak berjalan ke masjid dan menanti waktu masuk sembahyang, perkara inilah yang dinamakan Ribat” (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a, beliau telah ditanya: “Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah S.A.W berwuduk.. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk .” (HR Muslim )

Dari Nu’aim bin Abdullah r.a katanya, dia melihat Abu Hurairah berwudhuk. Dia mencuci muka dan tangannya hingga sampai ke batas bahu. Kemudian dicucinya kedua kakinya hingga sampai ke betis. Sesudah itu dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Sesungguhnya umatku akan datang kelak di hari kiamat bercahaya-cahaya wudhuknya. Maka siapa yang dapat melebihi batas-batas yang wajib, lebihkanlah” (HR Muslim)

Dari Umar bin al-Khattab r.a katanya:” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda:”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat.” (HR Muslim)

Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW lebih suka mandahulukan yang kanan dalam segala keadaan (perbuatan) seperti memakai terompah, bersikat, berwudhuk dan mandi.” (HR Muslim)

Dari Anas r.a mengatakan;” Nabi s.a.w berwudhuk setiap kali beliau hendak sembahyang” Bertanya Amr bin Amir kepada Anas,:”Bagaimana yang anda sendiri lakukan?” Jawab Anas:”Kami cukupkan saja wuduk yang telah ada, selagi belum berhadath.” (HR al-Bukhari)

Keterangan Hadis;

1. Salah satu syarat sah sembahyang ialah mengambil wudhuk. Dengan wudhuk yang sempurna seseorang akan dapat mengerjakan solat/sembahyang dengan penuh khusyuk.

2. Ketika berwudhuk kita diharuskan membaca doa-doa yang tertentu seperti berikut:

i. Ketika berkumur, berniatlah: "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".
ii. Ketika membasuh muka, berniatlah:"Ya Allah, putihkanlah (berikanlah cahaya) pada mukaku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".
iii. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah:"Ya Allah, berikanlah buku hisab ku di tangan kanan ku ini".
iv. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah:"Ya Allah, janganlah Kau berikan buku hisab ku di tangan kiri ku ini".
v. Ketika membasuh kepala, berniatlah:"Ya Allah, lindunglah aku dari terik matahari di padang Mahsyar dengan Arasy Mu".
vi. Ketika membasuh telinga, berniatlah:"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini". vii. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah:"Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqim".
viii. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah:"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat".

3. Berwudhuk tidak sahaja diperlukan ketika hendak mengerjakan solat tetapi kita juga disarankan agar berwudhuk apabila hendak membaca al-Quran, mempelajari sesuatu ilmu dan ketika hendak masuk tidur kerana sesungguhnya wudhuk itu dapat menggugurkan dosa-dosa kecil yang dilakukan dan menjadikan seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan bersih di samping menambah keserian wajah.

4. Wudhuk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang. Sembahyang yang dimaksudkan ialah sembahyang yang mampu menegah seseorang itu daripada melakukan kerja-kerja yang keji dan mungkar kerana wudhuk itu bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas sedangkan sembahyang pula dapat membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah kerana sembahyang adalah merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.

5. Selaku manusia yang beriman peluang-peluang ini hendaklah direbut dengan penuh keimanan apalagi jika perkara-perkara itu kelihatan terlalu remeh (biasa) dan mudah.Dalam setiap perbuatan niat adalah perkara yang paling penting kerana dengan inilah Allah mengukur sejauhmanakah keikhlasan hati hamba-Nya.

6. Kanan adalah bahagian atau pihak yang berlawanan dengan kiri. Kanan menunjukkan makna yang baik. Oleh itu anggota kanan diutamakan dalam segala perkara yang dilakukan melainkan untuk mencuci kotoran atau najis di mana tangan kiri yang akan mengambil alih.

7. Islam menyarankan kita agar mendahulukan anggota kanan dalam berwudhuk dan termasuk ketika makan, minum dan mengambil serta memberi. Bahkan di akhirat kelak orang yang menerima buku amalnya melalui tangan kanan menunjukkan ia bakal menjadi penghuni syurga dan begitulah sebaliknya.

1 comment:

zainal said...

Wudhu bukan sahaja untuk bersih fizikal juga bersih rohani.

2. Mana satu yang perlu didulukan!. Ianya menjadi perbahasan ahli falsafah. Sama ada Bersih Jasad → Bersih rohani @
Bersih rohani → bersih jasad ??

3.Islam melihat saling hubungan antara semua komponen dalam tubuh manusia. Ianya saling melengkapi. Tiada satu mendahului satu yang lain. Inilah indahnya Islam.

Wallahuaklam.