Jumaat; 16 Jamadilakhir 1432H: Dari Abu al-Ja`d ad-Dhamiri, r.a, bahawa rasul s.a.w bersabda: “ sesiapa yang meninggalkan (solat Jumaat) sebanyak 3 jumaat dengan keadaan sengaja meringan-ringan dan mencuaikannya, nescaya Allah meterikan atas hatinya”. (HR Abu Daud)
Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:”Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.” (HR Bukhari)
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah."( Abu Hurairah r.a)
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah."( Abu Hurairah r.a)
Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu solat Jumaat, maka kerjakanlah sesudah itu solat (sunat) empat rakaat.” (HR Muslim)
Pengajaran Hadis:
1. Solat Jumaat adalah hari raya mingguan bagi umat islam dan menggantikan solat zohor bagi muslimin
2. Orang yang sengaja meninggalkannya perlulah bertaubat kepada Allah agar rahmat dan hidayahNya berterusan kepada diri dan keluarga
3. Syarat wajib jumaat ialah Islam, merdeka, baligh, berakal, sihat(tiada uzur) dan tinggal menetap(bermukim) ditempatnya.
4. Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu.
5. Hari Jumaat juga dinamakan ‘Yaumul-mazid’ iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ‘waktu mustajab’.
6. Hari Jumaat Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain.
7. Tetapi malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.
8. Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.
9. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.
10. Solat Jumaat difardhukan kepada kaum lelaki dan tidak difardhu solat Jumaat kepada kaum wanita.
1 comment:
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," (Surah Al-Jumu'ah: 9).
2. Hati hiba melihat org yg tidak solat jumaat. Lemahnya iman saya kerana hanya mampu melihat dan menolak pelakuan tersebut dlm hati sahaja.
2.Kejarlah akhirat, insyallah dunia akan mendekati kita.
Wallahuaklam
Post a Comment