Sabtu, 24 Jamadil Awal 1447H | Tangan Di atas Lebih Baik Dari Di bawah
عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ
Daripada Hakim bin Hiram RA dari Nabi SAW berkata: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah. Mulakanlah (pemberianmu) untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu. Sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya (daripada meminta), Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”. (HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Tangan yang di atas (memberi) adalah lebih baik daripada tangan di bawah (meminta-minta atau mengemis).
2. Berusahalah menjadi pemberi berbanding penerima. Orang yang memberi lebih baik dan barakah rezekinya berbanding orang yang menerima.
3. Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita seperti isteri, anak-anak juga ibu bapa.
4. Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Islam tidak menggalakkan seseorang bersedekah sehingga memudaratkan dirinya atau keluarganya, kerana itu bertentangan dengan hikmah syariat yang mengutamakan keseimbangan.
5. Bagi ketua keluarga, berusahalah mencari rezeki untuk keperluan keluarga dan elakkan diri dari meminta-minta.
6. Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki.
7. Islam mendidik umatnya supaya berusaha, berdikari, dan tidak hidup bergantung kepada belas ihsan orang lain.
No comments:
Post a Comment