Selasa, 27 Jamadil Awal 1447H | Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibu bapa
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ فَقُلْنَا لَهُ أَصْلَحَكَ اللَّهُ إِنَّهُمْ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ
Daripada Abdullah bin Umar RA dia berkata; "Seorang laki-laki desa bertemu dengannya di salah satu jalan menuju kota Mekah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas keldai yang ditungganginya, dan memberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar; "Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar; 'semoga Allah membalas kebaikan kamu. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana." Jawab Abdullah; "Sesungguhnya bapa orang ini dahulu adalah sahabat baik Umar bin al-Khathab (ayahnya). Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik bentuk kebaktian ialah apabila seorang anak melanjutkan hubungan (silaturahim) dengan keluarga sahabat baik ayahnya." (HR Muslim No: 4629) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukan sahaja semasa hidup mereka, malah perlu berterusan selepas keduanya meninggal dunia.
2. Selain daripada mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapa, seorang anak juga disuruh menghubungkan ukhuwah dan silaturahim dengan keluarga dan sahabat ibu bapa.
3. Berbuat baik dengan sahabat baik ibu bapa juga adalah antara cara berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. Islam menuntut kita menghargai hubungan silaturahim dan kasih sayang yang berpanjangan.
4. Menurut Imam al-Nawawi: Kebaktian yang paling sempurna selepas kewafatan ibu bapa ialah dengan si anak menjaga hubungan dan berbuat baik kepada orang-orang yang pernah menjadi sahabat dan teman rapat kepada ibu bapanya.
5. Kebaikan yang kecil tetap bernilai besar di sisi Allah seperti menumpangkan seseorang menaiki kenderaan menuju ke sesuatu tempat juga memberi pakaian, walaupun kepada seorang Badwi, dikira sebagai amal kebajikan yang agung.
Semoga kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia dengan cara menghubungkan silaturahim keluarga dan sahabat handai ibu bapa.
No comments:
Post a Comment