Ahad, 2 Jamadil Akhir 1447H | Mencela Ibu bapa
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْكَبَائِرِ أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ
Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), ialah apabila seseorang mencela kedua orang tuanya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah mungkin seseorang mencela kedua orang tuanya?" Baginda menjawab: "Ya, apabila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan membalas dengan mencaci bapanya. Dan bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan mencaci ibunya." (HR Tirmizi No: 1824) Status: Hasan Sahih.
Pengajaran:
1. Termasuk dosa besar apabila seseorang mencaci atau mencela kedua ibu bapanya.
2. Apabila seseorang mencaci atau memaki ibu atau bapa orang lain, ia secara tidak langsung turut mencaci dan memaki ibu atau bapanya sendiri.
3. Seseorang boleh mendapat dosa besar walaupun secara tidak langsung menjadi punca penghinaan terhadap ibu bapanya.
4. Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa orang lain bermakna kita menghormati dan mengasihi ibu bapa kita.
5. Islam menuntut agar kita menghormati orang lain dan keluarga mereka. Menghina atau mencaci keluarga orang lain adalah tanda lemahnya iman dan akhlak.
6. Berbuat baik, berlemah lembut dan hormatilah ibu bapa kita dan ibu bapa orang lain. Frman Allah SWT:
وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’:24)
7. Islam menuntut setiap Muslim agar menjaga lidah, akhlak dan pergaulan supaya tidak menimbulkan permusuhan yang akhirnya membawa kepada penghinaan terhadap keluarga sendiri. Kehormatan ibu bapa mesti dijaga dalam setiap keadaan, kerana reda Allah terletak pada reda mereka, dan kemurkaan Allah pada kemurkaan mereka.
No comments:
Post a Comment