Rabu, 14 Jamadil Awal 1447H | Elak Jadi Peminta
عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: مَنْ تَكفَّلَ لِي أَنْ لَا يَسْأَلَ النَّاسَ شَيْئًا، أَتَكفَّلْ لَهُ بِالْجَنَّةِ؟ فَقُلْتُ: أَنَا. فَكَانَ لَا يَسْأَلُ أَحَدًا شَيْئًا.
Daripada Thawban RA bekas hamba yang telah dimerdekakan oleh Rasulullah SAW beliau berkata, Rasulullah bersabda: "Siapakah yang sanggup berjanji kepadaku bahawa dia tidak akan meminta sesuatu daripada manusia, maka aku akan menjamin untuknya syurga?." Maka Thawban berkata: "Aku (wahai Rasulullah)." Dan Thawban pun tidak pernah meminta sesuatu daripada sesiapa pun selepas itu."(HR Abu Daud No: 1643) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam menggalakkan umatnya menjaga kehormatan diri dan menjauhi sifat suka meminta-minta.
2. Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyatakan bahawa hadis ini mendorong umat Islam agar bergantung sepenuhnya kepada Allah, dan tidak menjadikan manusia tempat bergantung untuk urusan dunia.
3. Imam al-Ghazali berkata, meminta tanpa keperluan adalah kehinaan diri, dan membunuh rasa percaya kepada rezeki Allah.
4. Besar pahala dan kemuliaan orang yang menjaga diri daripada mengemis dan meminta-minta, terutama jika dia mampu berusaha sendiri.
5. Janji Rasulullah dengan syurga kepada orang yang menjaga maruah dan kehormatan diri daripada meminta menunjukkan tingginya nilai sifat ‘iffah (menjaga kehormatan diri) dalam Islam.
6. Tidak bergantung kepada manusia secara berlebihan, terutama dalam hal dunia akan membentuk jiwa yang kuat, berdikari, dan yakin bahawa rezeki Allah itu cukup bagi sesiapa yang bertawakal dan berusaha.
7. Umat Islam diajar supaya tidak malas atau mengharapkan bantuan tanpa sebab, walaupun daripada sesama Muslim. Dalam keadaan darurat, Islam membenarkan seseorang meminta pertolongan, tetapi dengan adab dan keperluan yang wajar.
No comments:
Post a Comment