Khamis, 6 Jamadil Akhir 1447H | Reda Allah Dari Reda Ibu Bapa
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ
Daripada Abdullah bin Amr RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa." (HR Tirmizi No:1821) Status: Hadis Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Berbakti kepada ibu bapa adalah jalan untuk mendapat redha Allah dan syurga. Redha ibu bapa menjadi syarat utama bagi kehidupan yang diberkati dan diterima amalnya.
2. Adab seorang anak ialah berbakti dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Menurut Imam Al Ghazali antara adab anak kepada orang tuanya; mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya (selagi tidak bertentangan syarak), tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.
3. Menderhakai ibu bapa mengundang kemurkaan Allah dan menghapuskan keberkatan hidup antaranya si anak meninggikan suara, menyakitkan hatinya, mengabaikan nafkah serta kesihatannya juga memalukan ibu bapa.
4. Keredaan Allah berkait langsung dengan keredaan ibu bapa. Apabila seseorang berbuat baik kepada ibu bapanya, memuliakan mereka dan mengelakkan daripada menyakiti hati mereka, maka Allah meredainya.
Sebaliknya, apabila seseorang derhaka atau mengguris hati ibu bapanya, maka ia menjemput kemurkaan Allah.
5. Ketaatan kepada ibu bapa mesti dilakukan dengan penuh ihsan, kasih sayang dan adab. Antaranya tidak meninggikan suara, tidak menyakiti hati mereka dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka.
6. Ketaatan kepada ibu bapa tidak boleh mengatasi ketaatan kepada Allah. Jika ibu bapa menyuruh kepada perkara yang bertentangan dengan Syarak, maka tidak boleh ditaati namun tetap wajib berbuat baik dan bercakap dengan lemah lembut kepada mereka.
7. Derhaka kepada ibu bapa adalah antara dosa besar yang menutup pintu rahmat dan menjadi penghalang kepada kejayaan di dunia dan akhirat.
Maka, berbaktilah kepada ibu bapa selagi mereka hidup, dan doakan mereka setelah meninggal dunia agar Allah mengekalkan redha dan rahmat-Nya kepada kita.
No comments:
Post a Comment