Jumaat, 30 Jamadil Awal 1447H | Gembirakan Ibu bapa
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا
Daripada Abdullah bin 'Amr RA, ia berkata; terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau telah membuat mereka menangis!" (HR Abu Daud: 2166) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Kewajipan anak ialah sentiasa mengembirakan kedua ibu bapanya.
2. Berbakti kepada ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Tiada amal yang dapat menggantikan berbuat baik terhadap ibu bapa selagi mereka masih hidup.
3. Rasulullah SAW menyuruh lelaki tersebut menggembirakan semula hati ibu bapanya, supaya ia menebus kesedihan yang telah ditimbulkan. Hal ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan hubungan emosi dan kasih sayang dalam keluarga, terutama terhadap kedua ibu bapa.
4. Kasih sayang dan keizinan ibu bapa sewajarnya menjadi pertimbangan dalam setiap keputusan besar kehidupan kita apatah lagi jika ia melibatkan perasaan serta kebajikan ibu bapanya.
5. Kebahagiaan ibu bapa adalah sebahagian daripada tanda keimanan dan akhlak yang mulia.
6. Rasulullah SAW mendidik umatnya bahawa berbakti terhadap ibu bapa adalah jalan paling hampir menuju keredaan Allah dan pintu ke syurga. Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan kedua orang tua. Hadis Nabi SAW:
رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا
“Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua” (HR Tabrani dari Ibnu Umar).
7. Lakukan sesuatu yang sentiasa membuatkan kedua orang tua kita gembira. Tidak ada hadiah yang berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga.
Bagi setiap anak yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, buatlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka.
No comments:
Post a Comment