Isnin, 13 Muharam 1448H | Tangungjawab Muslim
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة
Bahawa Abdullah bin Umar RA mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim ialah saudara terhadap muslim yang lain. Dia tidak boleh menzalimi dan tidak akan membiarkan orang lain dianiaya (tanpa bantuan atau perlindungan). Siapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat. (HR Bukhari No: 2310) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap Muslim adalah bersaudara. Persaudaraan dibina atas iman. Menurut Imam al-Nawawi, persaudaraan menuntut kasih sayang, saling tolong menolong dan mengelakkan segala bentuk kezaliman.
2. Sebagai Muslim, kita perlu menjaga hak sesama Muslim antaranya:
a) Tidak boleh berlaku zalim atau berbuat aniaya ke atas orang Islam yang lain
b) Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi
3. Tidak menzalimi dan tidak membiarkan saudaranya dizalimi termasuk tidak membuli, tidak menyebarkan fitnah dan tidak membiarkan saudara Muslimnya dizalimi oleh orang lain.
4. Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenan hajatnya, sama ada dalam bentuk harta, ketenangan, kemudahan, perlindungan juga keberkatan hidup.
5. Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, sama ada dalam bentuk kewangan, emosi, ilmu, menyelesaikan konflik juga memudahkan urusan, Allah akan melapangkan dan mempermudah kehidupannya di hari kiamat
6. Menjadi tanggungjawab seorang Muslim menutup aib atau keburukan saudara Muslim yang lain. Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan sahabatnya semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.
7. Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan dua keadaan:
a) Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.
b) Allah Taala tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aib tersebut.
8. Hadis ini membentuk seorang Muslim yang bukan hanya menjaga hubungan dengan Allah, tetapi juga menjadi sumber manfaat, perlindungan dan ketenangan kepada manusia di sekelilingnya.
No comments:
Post a Comment