Thursday, June 30, 2016

Solat 'Id Bersama Rasulullah Saw

Dari Jabir bin' Abdullah r.a., katanya: "Aku hadir solat 'Id bersama-sama Rasulullah saw. pada hari raya. Mula-mula beliau solat sebelum berkhutbah tanpa azan dan iqamah. Beliau berkhutbah sambil berdiri dan berpegangan kepada Bilal. Beliau memerintahkan supaya taqwa kepada Allah dan mendorong supaya mentaati-Nya. Selanjutnya beliau memberi peringatan dan pengajaran kepada mereka. 

Kemudian beliau berlalu hingga sampai ke tempat kaum wanita. Beliau memberi pengajaran kepada para wanita, memperingatkan dan menyuruh mereka supaya gemar bersedekah. 

Sabda beliau, "Bersedekahlah anda semua, kerana sesungguhnya kamulah saya lihat yang terbanyak menjadi kayu neraka." 

Mendengar itu, maka berdiri seorang perempuan di antara para wanita yang banyak dengan wajah merah kehitam-hitaman. Dia bertanya; "Kenapa begitu, ya, Rasulullah?" 

Jawab Rasulullah, "Kerana kamu banyak mengeluh dan suka membangkang kepada suami." 

Kerana itu mereka sedekahkan perhiasan mereka, seperti anting-anting dan cincin, yang mereka lemparkan ke kain yang dibentangkan Bilal."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, June 29, 2016

Iktikaf 10 Hari Terakhir

Rabu, 24 Ramadhan 1437H: Dari Abu Sa'id Al Khudri: "Pada mulanya Rasulullah saw beriktikaf pada sepuluh hari kedua hingga pada malam kedua puluh.

Kemudian beliau dan orang-orang yang ikut iktikaf pulang ke rumahnya masing-masing. Kemudian beliau kembali pada malam kedua puluh satunya.

Di saat itu beliau berpidato; "Tadinya aku hanya ingin iktikaf pada 10 hari yang kedua saja, tapi akhirnya aku ingin melanjutkan iktikaf pada 10 hari yang terakhir ini. Kerana itu, mereka yang ikut iktikaf bersamaku, hendaknya mereka melanjutkan iktikafnya. Aku telah diperlihatkan malam "Lailatul Qadar" pada malam ini, tetapi aku terlupa, kerana itu carilah "Lailatul Qadar" di malam-malam ganjil di 10 hari terakhir di bulan Ramadhan. Dan aku terlihat, sujud di atas air dan tanah".

Hadis Sunan An-Nasai

Tuesday, June 28, 2016

Lailatul Qadar Malam Ke-27 Ramadhan

Selasa, 23 Ramadhan 1437H: Ibnu Abi Umar ceritakan kepada kami, Sufyan menceritakan kepada kami dari Allah bin Abi Lubabah dan Ashim yang mendengar Zirr bin Hubaisy berkata: "Barang siapa melakukan ibadah sesaat setiap malam selama satu tahun, tentu dia memperoleh Lailatul-Qadar," 

Ubai berkata: "Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa Abu Abdur Rahman sesungguhnya dia telah mengetahui bahawa Lailatul-Qadar adalah pada sepuluh akhir dari bulan Ramadhan dan sesungguhnya Lailatul-Qadar adalah malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan tetapi dia menghendaki agar manusia tidak berpegang kepada perkiraan itu kemudian Ubai bersumpah yang pasti bahawa Lailatul-Qadar adalah. malam dua puluh tujuh bulan Ramadhan". 

Ziir berkata kepada Ubai: "Dengan dasar apa kamu berkata demikian hai Abal-Mundair?"

Dia berkata: "Dengan dasar tanda yang diberitahukan Rasulullah SAW kepada kita iaitu bahawa matahari pada waktu itu terbit tanpa ada cahaya". 

Hadis ini adalah hadis Hasan Sahih

Hadis Sunan At-Termizi Jilid 5. Hadis Nombor 3409.

Monday, June 27, 2016

Bila Lailatu Qadar

Isnin, 22 Ramadhan 1437H: Harun bin Ishaq Al-Hamdani menceritakan kepada kami, 'Abdah bin Sulaiman memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Hisyam bin 'Urwah dari ayahnya dari 'Aisyah di mana ia berkata: "Rasulullah s.a.w. biasa beri'tikaf pada sepuluh terakhir dalam bulan Ramadan, dan bersabda: "Bersungguh-sungguhlah kamu (untuk mendapatkan) Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir dari bulan Ramadan."

Masalah yang sama diriwayatkan pula dari 'Umar, Ubayy bin Ka'b, Jabir bin Samurah, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Umar, Al-Falatan bin 'Ashim, Anas, Abu Sa'id, 'Abdullah bin Unais, Abu Bakrah, Ibnu 'Abbas, Bilal dan 'Ubadah dan Ash-Shamit. Abu 'Isa berkata: "Hadis 'Aisyah itu adalah hadis hasan sahih; sedangkan kata yujaawiru ertinya adalah beri'tikaf.

Banyak riwayat dari Nabi s.a.w. bahawasanya baginda bersabda: "Carilah Lalatul Qadar itu pada sepuluh terakhir pada setiap yang ganjil."

Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. tentang Lailatul Qadar iaitu bahawasanya Lailatul Qadar itu adalah pada malam 21, 24, 25, 27, 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadan."

Asy-Syafi'i berkata: "Itu hanyalah pendapat saya. Dan Allah Maha Mengetahui; di mana Nabi s.a.w. menjawab suatu pertanyaan sewaktu ditanya tentang Lailatul Qadar. Dikatakan kepada baginda bahawa kam mencarinya pada malam ini, kemudian baginda bersabda: "Carilah Laiatul Qadar itu pada malam ini."

Asy-Syafi'i berkata: "Riwayat yang paling kuat menurut pendapat saya ialah bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam tanggal 21."

Abu 'Isa berkata: "Diriwayatkan dari Ubbay bin Ka'b bahawasanya ia bersumpah bahawa Lailatul Qadar itu berada pada malam 27 di man ia berkata: "Rasulullah s.a.w. memberitahukan kepada kami dengan tanda-tanda malam itu kemudian kami menyebut-nyebut dan menghafalnya."

Diriwayatkan dari Abu Qilabah bahawasanya ia berkata: "Lailatul Qadar itu berkisar pada sepuluh terakhir." 'Abd bin Humaid memberitahukan yang demikian kepada kami, 'Abdur Razzaq memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Ma'mar dari Ayyub dari ABu Qilabah dengan maksud seperti itu."

Hadis Sunan At Termizi Jilid 2

Friday, June 24, 2016

Malam Lailatul Qadar

Jumaat, 19 Ramadhan 1437H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Rasulullah saw. i'tikaf pada sepuluh awal bulan Ramadhan, kemudian dilanjutkannya pada sepuluh pertengahan, dalam sebuah kubah kecil yang pintunya ditutup dengan tikar. Lalu beliau ambil tikar itu dan diletakkannya di sudut gobah. Kemudian diulurkannya kepalanya seraya berujar memanggil orang banyak. Maka mendekatlah mereka kepada beliau, lalu beliau bersabda:

"Aku telah i'tikaf sejak sepuluh awal bulan untuk mendapatkan Malam qadar, kemudian sepuluh yang pertengahan. Kemudian dikatakan kepada ku bahawa malam qadar itu terdapat pada sepuluh yang akhir. Maka siapa yang suka i'tikaf, silakan!"

Lalu orang banyak i'tikaf bersama-sama dengan beliau. Sabda beliau pula, "Aku bermimpi melihat malam qadar di malam yang ganjil, di mana pagi-pagi aku sujud di tanah basah."

Memang, pagi-pagi malam kedua puluh satu beliau solat Subuh sedangkan hari hujan sehingga masjid tergenang air. Aku melihat tanah dan air. Setelah selesai solat Subuh, Nabi saw. keluar sedangkan di kening dan di hidungnya ada tanah basah.

Malam itu ialah malam kedua puluh satu dari sepuluh yang akhir bulan Ramadhan."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, June 23, 2016

Beribadah Di Malam Lailatul Qadar

Khamis, 18 Ramadhan 1537H: Dari Zuhri katanya: "Aku telah diberitahu oleh 'Urwah ibnu Zubair bahawasanya Aisyah pernah berkata: "Pada suatu malam di bulan Ramadhan Rasulullah saw mengerjakan solat malam berjamaah di masjid.

Dan seterusnya kata Aisyah: "Nabi hanya menanjurkan sahabat-sahabatnya untuk gemar beribadah di malam hari di bulan Ramadhan, dan anjurannya itu tidak bersifat perintah, kerana itu beliau bersabda:

"Barangsiapa yang beribadah di malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan berharap pahala dari Allah, maka dia akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu".

Kata 'Urwah: "Demikianlah keadaan itu terus berlangsung hingga Rasulullah saw pulang ke rahmatullah".

Hadis Sunan An-Nasai

Monday, June 20, 2016

Umrah DiBulan Ramadhan

Isnin, 15 Ramadhan 1437H: Kata Atha': 'Aku pernah mendengar Ibnu Abbas berkata: 

"Telah bersabda Rasulullah saw kepada seorang wanita Ansar: "Jika telah tiba bulan Ramadhan, maka kerjakanlah ibadah umrah di bulan Ramadhan, sebab seorang yang mengerjakan ibadah umrah di bulan Ramadhan, maka dia mendapat pahala seperti seorang yang melakukan ibadah haji."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2079.

Friday, June 17, 2016

Malam Qadar

Jumaat, 12 Ramadhan 437H: Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya beberapa orang sahabat Nabi saw. bermimpi melihat malam qadar dalam tidur mereka pada tujuh hari yang akhir bulan Ramadhan. Maka bersabda Rasulullah saw.,

"Aku juga bermimpi seperti mimpimu itu, melihat malam qadar jatuh bertepatan pada tujuh yang akhir bulan Ramadhan. Maka siapa yang mencarinya, carilah di tujuh yang akhir itu."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, June 16, 2016

Berpuasa Dan Beribadah Malam Hari

Khamis, 11 Ramadhan 1437H: Kata An-Nadler ibnu Syaiban: "Aku pernah berkata pada Abu Salamah ibnu Abdur Raehman: "Beritahukan padaku suatu hadis yang pernah engkau dengar dari ayah mu dan yang pernah didengar oleh ayah mu dari Rasulullah saw, sebab pada suatu kali di bulan Ramadhan ayahmu pernah menemui Rasulullah saw secara sendirian".
Jawab Abu Salamah: "Aku diberitahu oleh ayahku bahawa Rasulullah saw telah bersabda: 
"Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan puasa Ramadhan bagi kalian, sedangkan aku mensunnahkan kalian untuk beribadah malam hari di bulan Ramadhan. 
Barangsiapa yang berpuasa dan beribadah malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh berharap pahala dari Allah, maka ia akan keluar dari dosa -dosanya seperti ketika ia baru dilahirkan dari perut ibunya."
Hadis Sunan An-Nasai

Wednesday, June 15, 2016

Keutamaan Bulan Ramadhan

Rabu, 10 Ramadhan 1437H: Dari 'Arfajah katanya: "Ketika kami berkunjung kepada Utbah bin Farqad, maka kami membicarakan tentang keutamaan bulan Ramadhan".

Tanya Utbah: "Apa yang sedang kamu bicarakan?"

Jawab kami: "Kami sedang membicarakan keutamaan bulan Ramadhan".

Kata Utbah: "Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Selama didalam bulan Ramadhan pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan para syaitan dibelenggu."

Pada setiap malam di bulan Ramadhan, ada seorang malaikat yang menyerukan: "Wahai orang-orang yang ingin mendapatkan kebaikan, tingkatkan ibadah kalian; wahai orang-orang yang gemar berbuat jahat, kurangilah kejahatan kalian".

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2. Hadis Nombor 2076

Tuesday, June 14, 2016

Solat Witir

Selasa, 9 Ramadhan 1437H: Dari Masruq dan Aisyah katanya: 

"Adakalanya Rasulullah saw melakukan solat witir di awal malam, adakalanya pula di pertengahannya dan adakalanya pula diakhirkannya hingga tiba waktu sahur."

 Hadis Sunan An-Nasai 

Monday, June 13, 2016

Solat Malam Bulan Ramadhan

Isnin, 8 Ramadhan 1437H: Dari Abu Dzar katanya: "Pada suatu kali kami puasa di bulan Ramadhan bersama rasulullah saw. Beliau tidak pernah melakukan solat malam bersama kami sampai puasa tinggal 7 hari.

Pada malam kedua puluh tiga beliau melakukan solat malam bersama kami hingga lewat di pertigaan malam.

Pada malam kedua puluh empat beliau tidak melakukan solat malam bersama kami.

Kemudian pada kedua puluh lima beliau mengerjakan solat malam bersama kami hingga separuh malam, sampai sebahagian dari kami berkata: "Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau ringankan seorang imam/berjamaah hingga selesai, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang mengerjakan solat malam sepanjang malam."

Pada malam yang kedua puluh enam, maka beliau tidak mengerjakan solat malam bersama kami.

Kemudian pada malam berikutnya iaitu malam kedua puluh tujuh, maka beliau membangunkan puteri-puteri beliau dan isteri-isteri beliau kemudian menyuruh orang-orang untuk mengerjakan solat malam berjamaah. Di malam itu beliau mengerjakan solat malam hingga mendekati waktu sahur, sehingga kami takut kalau-kalau tidak mendapatkan waktu sahur.

Selanjutnya beliau tidak pernah solat malam lagi pada malam-malam berikutnya bersama kami."

Hadis Sunan An-Nasai Jilid 2.Hadis No 1338

Friday, June 10, 2016

Bersahurlah

Jumaat, 5 Ramadhan 1437H: Dari Atha' dari Abu Hurairah bahawasanya Nabi saw telah bersabda:

"Bersahurlah kalian, sesungguhnya bersahur itu akan membawa barakah".

Hadis Sahih Bukhari & An-Nasai

Thursday, June 9, 2016

Menyegerakan Berbuka Dan Mengakhirkan Sahur

Khamis, 4 Ramadhan 1437H: Dari Khaitsaman dan Abu 'Athiyah katanya: "Aku pernah berkata pada Aisyah: 

"Kami mempunyai dua teman dari sahabat Rasulullah saw. Yang satu suka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur. Sedangkan yang lain suka mengakhirkan berbuka puasa dan menyegerakan sahur, bagaimana pendapatmu?" 

Tanya Aisyah: "Siapa diantara kalian yang suka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan sahur?" 

Jawabku: "Dia adalah Abdullah ibnu Mas'ud." 

Kata Aisyah: "Yang dikerjakan oleh Abdullah ibnu Mas'ud. itulah yang sesuai dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw."

Hadis Sunan An-Nasai 

Wednesday, June 8, 2016

Sahur Memisahkan Puasa Dengan Ahli Kitab

Rabu, 3 Ramadhan 1437H: Qutaibah menceritakan kepada kami, Abu 'Awanah memberitahukan kepada kami (yang berasal) dari Qatadah dan 'Abdul 'Aziz bin Shuhaib dari Anas bin Malik bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:

"Makan sahurlah kamu sekalian kerana sesunguhnya di dalam sahur itu mengandungi barakah."

Di dalam bab ini terdapat hadis dari Abu Hurairah dan 'Abdullah bin Mas'ud, Jabir bin 'Abdullah, Ibnu 'Abbas, 'Amr bin Al-'Ash, Al-'Irbadl bin Sariyah, 'Utbah bin 'Abd dan Abd Darda'. Abu 'Isa berkata: "Hadis Anas tersebut adalah hadis hasan sahih."

Diriwayatkan dari Nabi s.a.w. bahawasanya beliau bersabda: "Yang memisahkan (membezakan) puasa kita dan puasa ahli Kitab adalah makan sahur."

Hadis Sunan At-Termizi

Tuesday, June 7, 2016

Antara Sahur Dan Solat Subuh

Selasa, 2 Ramadhan 1437H: Berita dari Anas bin Malik mengatakan bahawa Nabi saw. dan Zaid bin Tsabit keduanya makan sahur bersama-sama. Tatkala keduanya telah selesai sahur, Nabi saw. berdiri hendak pergi solat, maka solatlah beliau.

"Aku bertanya kepada Anas," kata Tsabit, "Berapa lamanya antara keduanya selesai makan sahur dan mulai solat?"

Jawab Anas, "Kira-kira selama orang membaca lima puluh ayat."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, June 6, 2016

Melihat Hilal Ramadhan

Isnin, 1 Ramadhan 1437H: Kata Muhammad ibnu Abi Harmalah: "Aku diberitahu oleh Kuraib bahawasanya Ummul Fadhel pernah menyuruhnya ke Syam untuk menghadap Muawiyah:

"Kata Kuraib: "Setelah aku sampaikan hajatnya, setibanya aku di Syam, maka aku melihat hilal Ramadhan ketika aku sedang berada di Syam. Aku melihat hilal Ramadhan tepat di malam Jumaat.

Ketika aku kembali ke Madinah di akhir bulan, maka Abdullah ibnu Abbas bertanya: "Kapan kalian melihat hilal Ramadhan?"

Kataku: "Kami melihat hilal Ramadhan di malam Jumaat"
.
Tanya Ibnu Abbas: "Apakah benar engkau melihat hilal Ramadhan di malam Jumaat?"

Kataku; "Ya", dan kaum muslimin di Syam melihat hilal Ramadhan di malam jumaat, sehingga Muawiyah dan kaum muslimin di sana berpuasa mulai hari Jumaat".

Kata Ibnu Abbas: "Akan tetapi kami melihat hilal di malam sabtu, dan kami akan tetap berpuasa hingga 30 hari atau jika kami dapat melihat hilal bulan Syawal".

Tanyaku: "Apakah tidak cukup bila kalian berpuasa berdasarkan adanya hilal yang dilihat oleh Muawiyah dan kawan-kawannya?"

Jawab Ibnu Abbas: "Tidak demikian Rasulullah saw menyuruh kami."

Hadis Sunan An Nasai

Friday, June 3, 2016

Puasa Itu Untuk Allah....

Jumaat, 27 Sya'ban 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
"Setiap amal anak Adam teruntuk baginya kecuali puasa; puasa itu adalah untukku dan aku akan memberinya pahala.
Puasa itu ialah perisai. Apabila kamu puasa janganlah kamu rosak puasamu itu dengan sanggama, dan jangan menghina orang.
Apabila kamu yang dihina atau dipukul orang, maka katakanlah: "Aku puasa." Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang puasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada bau kasturi.
Dan bagi orang puasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dengan bukaannya dan apabila dia menemui Tuhannya (meninggal) dia gembira dengan puasanya."
Hadis Sahih Muslim

Wednesday, June 1, 2016

Menjenguk Orang Sakit

Rabu, 25 Sya'ban 1437H;Abdullah bin Sa'id al-Asyaj menyampaikan kepada kami dari Uqbah bin Khalid as-Sakkuni, dari Musa bin Muhammad bin Ibrahim at-Taimi, dari ayahnya, dari Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda,

 " Jika kalian menjenguk orang yang sakit, ringankanlah bebannya dalam perkara ajalnya. Sungguh, hal itu tidak dapat menolak takdir tetapi akan menghibur jiwanya.

'"(HR At-Tirmidzi, 2087)

Monday, May 30, 2016

Siapa Yang Cinta Bertemu Allah

Isnin, 23 Sya'ban 1437H: Dari 'Ubadah bin as-Shamit, dari Nabi saw., beliau bersabda: 

"Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga cinta untuk menemuinya."

Siapa yang benci untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci untuk bertemu dengannya."

Lalu 'Aisyah atau salah seorang isteri Nabi yang lain berkata: "Kami memang benci untuk mati."

Nabi berkata: "Bukan begitu! Tetapi seorang yang beriman, kalau kematian telah datang kepadanya, maka ia diberi berita gembira dengan keredhaan dan kemurahan Tuhan.

Maka tidak ada yang lebih disenanginya selain dari apa yang di depannya (akan diperolehnya). Kerana itu, ia cinta untuk menemui Allah dan Allah cinta pula untuk bertemu dengannya.

Sedangkan orang yang kafir kalau telah didatangi kematian, maka ia diberi berita tentang seksaan dan hukuman Allah. Kerana itu tidak ada yang lebih dibencinya dari apa yang di depannya (akan ditanggungkannya). Ia benci bertemu dengan Allah, dan Allah benci pula bertemu dengannya."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, May 27, 2016

Menghapuskan Dosa-Dosa

Jumaat, 20 Sya'ban 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Solat yang lima, begitu pula solat Juma'at ke Jumaat berikutnya, dapat menghapus dosa-dosa yang terjadi antara semuanya selama tidak diperbuat dosa-dosa besar!"

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, May 25, 2016

An Najwa (Suatu Rahsia)

Rabu, 18 Sya'ban 1437H: Dari Shafwan bin Muhriz r.a. katanya seorang lelaki bertanya kepada Ibnu 'Umar,"Bagaimana yang Anda dengar sabda Rasulullah saw. tentang "An Najwa" (suatu rahsia)?"

Jawab Ibnu 'Umar, "Aku mendengar beliau mengatakan, bahawa nanti pada hari kiamat orang-orang mukmin didekatkan kepada Tuhannya, Allah azza wa Jalla, sehingga dia terdinding. Lalu Allah mengingatkannya akan dosa-dosanya seraya bertanya, "Ingatkah kamu akan dosa-dosamu itu?"

Jawab orang mukmin, "Kami ingat, wahai Tuhan!"

Firman Allah, "Aku telah menutupnya (merahsiakan atau menyembunyikan) selama kamu di dunia, dan sekarang pada hari kiamat Ku ampuni pula dosa-dosa mu itu."

Lalu diberikanNya surat keterangan kelakuan baik.

Adapun orang-orang kafir dan munafik, mereka diteriakkan (diumumkan) di tengah-tengah khalayak ramai, "Inilah orang-orang yang mendustakan Allah."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, May 24, 2016

Bawang Putih

Selasa, 17 Sya'ban 1437H :Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Ketika perang Khaibar, kami para sahabat Rasulullah saw. terpaksa makan sayur bawang putih. Kerana sangat lapar, kami makan agak banyak.

Kemudian kami pergi ke masjid, lalu baunya tercium oleh Rasulullah saw.Maka bersabda beliau, "Siapa yang makan buah yang berbau busuk itu, janganlah dekat-dekat kepada kami di masjid."

Kata orang banyak, "Haram! Haram!"

Ketika hal itu terdengar oleh Rasulullah saw., beliau bersabda: "Wahai, manusia! Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang dihalalkan Allah; tetapi hanya kerana tumbuh-tumbuhan itu berbau busuk."

Hadis Sahih Muslim

Monday, May 23, 2016

Minta Izin Sekira Tidak Diundang

Isnin, 16 Sya'ban 1437H: Dari Abu Mas'ud Al Anshari r.a. katanya: 

"Ada seorang lelaki Ansar bernama Abu Syu'aib, dia mempunyai seorang pelayan tukang daging. Pada suatu hari Abu Syu'aib melihat Rasulullah saw. Dia tahu dari wajah beliau bahawa beliau sedang lapar. 

Maka berkata Abu Syu'aib kepada pelayannya. "Kasihan! Siapkan hidangan untuk lima orang. Aku hendak mengundang Rasulullah saw. beserta empat orang lainnya." 

Setelah hidangan tersedia, Nabi saw. pun tiba beserta empat orang lainnya dan seorang lagi mengikuti mereka. 

Tatkala sampai di pintu Nabi saw. berkata, "Kawan ini mengikuti kami. Jika engkau izinkan dia turut makan, silakan. Jika tidak, biarlah dia kembali," 

Jawab Abu Syuaib, "Jangan, tentu aku izinkan, ya Rasulullah!"

Hadis Sahih Muslim 

Friday, May 20, 2016

Menghapuskan Dosa-Dosa Kecil

Jumaat, 13 Sya'ban 1437H: Dari Abu hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : (tetapi di dalam hadis B disebutkan bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda): 

"Bagaimana pendapat anda, jikalau sebuah sungai mengalir di hadapan rumah anda, di mana anda mandi setiap hari lima kali, masih adakah kotoran yang melekat di badan anda?" 

Jawab mereka, "Tidak, ya Rasulullah!" 

Sabda beliau, "Seperti itulah solat yang lima waktulah menghapus dengannya segala dosa-dosa kecil."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 19, 2016

Penduduk Syurga & Neraka

Khamis, 12 Sya'ban 1437H: Dari 'Iyadh bin Himar Al Mujasyi'iy r.a. katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. bersabda dalam khutbah sebagai berikut: 

"Ketahuilah! Sesungguhnya Tuhan ku memerintahkan kepada ku supaya mengajarkan kepada kamu sekalian apa-apa yang belum kamu ketahui. Iaitu pengajaran yang diajarkan Allah kepada ku hari ini. Firman Allah: Setiap harta yang Aku (Allah) berikan kepada seseorang hamba adalah halal. Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku semuanya berada dalam agama yang lurus. Tetapi mereka kemudian didatangi oleh syaitan-syaitan lalu syaitan membelokkan mereka dari agama mereka dan mengharamkan apa-apa yang telah Ku halalkan bagi mereka, dan menyuruh mereka supaya mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang tidak diberi kekuasaan apa-apa .Sesungguhnya Allah mengawasi penduduk bumi dengan kemarahan, baik bangsa Arab maupun bangsa Ajam, kecuali sisa-sisa Ahli Kitab." 

Firman Allah Ta'ala, "Sesungguhnya Aku mengutus engkau untuk mengujimu dan menguji orang lain dengan engkau. Aku turunkan kepada mu Kitab yang tidak hilang kena air, yang dapat engkau baca di waktu tidur dan bangun. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada ku supaya membangkitkan kemarahan orang-orang Quraisy." 

Jawab ku, "Ya, Tuhan ku! Nanti mereka pecah kepala ku dan mereka tinggalkan seperti (pecahan) roti." 

Firman Allah, "Usir mereka seperti mereka mengusirmu. Perangi mereka, nanti Kami bantu kamu memerangi mereka. Keluarkan segala dana, nanti Kami beri dana engkau. Kirim pasukan tentera, nanti Kami kirim pula tentera membantumu lima kali lipat. Perangilah olehmu bersama-sama orang yang taat kepada mu, mereka yang durhaka kepada mu. 

Firman Allah Ta'ala, "Penduduk syurga ada tiga macam: 
(1) Penguasa yang adil, pemurah, dan bertindak sesuai dengan hukum. 
(2) Orang yang berhati pengasih dan berhati lembut terhadap karib kerabat dan kaum muslimin. 
(3) Orang daif yang tidak terkendalikan otaknya, mereka di samping kamu hanyalah ikut-ikutan, mereka tidak mahu berkeluarga dan tidak menghendaki kekayaan. 

Penduduk neraka ada lima macam: 
(1) Orang daif yang tidak mempergunakan otaknya, mereka hanya menjadi pengikut, tidak berusaha mencari nafkah untuk diri dan keluarganya. 
(2) Pengkhianat yang tidak tahu malu, sampai hal-hal kecil dikhianatinya juga. 
(3) Orang yang pagi petang berusaha hendak menipumu, tentang keluargamu, dan harta mu, 
(4) Orang bakhil atau pendusta. 
(5) Orang yang bermulut kotor (orang yang berperangai buruk dan suka menggunjing).

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, May 18, 2016

Mandi Haid & Mandi Junub

Rabu, 11 Sya'ban 1437H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: " Asma' bertanya kepada Nabi saw. mengenai cara mandi haid." 

Sabda Nabi saw., "Ambil air dan daun Sidr (sejenis daun yang berbuih banyak), maka bersihkan bekas-bekas darah kotor yang melekat di tubuh anda sampai bersih benar. Kemudian tuangkan air di kepalamu lalu gosok-gosok sehingga air rata membasahi akar-akar rambut. Sesudah itu tuang kembali dengan air. Kemudian, ambil sepotong kain kapas yang telah diberi harum-haruman, bersihkan dengan kain itu." 

Tanya Asma', "Bagaimana caranya aku membersihkannya dengan kain itu!" 

Jawab Nabi saw., "Subhanallah! Ya, bersihkan dengannya!" 

Lalu 'Aisyah menjelaskan dengan berbisik, "Gosokkan kain itu di tempat-tempat bekas kena darah!" 

Kemudian Asma' bertanya pula perihal mandi junub. 

Jawab Rasulullah saw., "Ambil air, lalu bersihkan bahagian tubuh yang kotor sampai bersih benar. Sesudah itu tuangkan air ke kepala sambit mengosok-gosoknya, sehingga air merata sampai ke akar-akar rambut. Kemudian tuang kembali dengan air sampai ke seluruh tubuh." 

Kata 'Aisyah r.a., "Wanita yang paling baik ialah wanita Ansar. Mereka tidak malu-malu bertanya kalau untuk mendalami agama."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, May 17, 2016

Larang Menghadap Kiblat

Selasa, 10 Sya'ban 1437H: Dari Salman r.a., katanya dia ditanya orang, "Bukankah Rasulullah saw. telah mengajarkan kepada anda segala-galanya, hingga masalah buang air juga?" 

Jawabnya, "Benar! Beliau melarang kita menghadap kiblat ketika buang air besar atau kecil. Beliau melarang juga istinjak dengan tangan kanan, istinjak kurang dari tiga buah batu, dan istinjak dengan kotoran ternak yang telah mengeras atau dengan tulang."

Hadis Sahih Muslim

Monday, May 16, 2016

Apabila Suapanmu Jatuh...

Isnin, 9 Sya'ban 1437H: Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Apabila suapanmu jatuh, ambillah kembali lalu buang bahagian yang kotor dan makanlah bahagian yang bersih. 

Jangan dibiarkan dia dimakan syaitan, dan jangan kamu sapu tanganmu dengan lap sebelum kamu kulum jarimu. 

Kerana kamu tidak tahu makanan mana yang membawa berkah."

Hadis Sahih Muslim

Friday, May 13, 2016

Syaitan Bermalam Di Lubang Hidung

Jumaat, 6 Sya'ban 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. beliau bersabda:

"Apabila seseorang di antara kamu bangun dari tidurnya, lalu ia berwuduk, maka hendaklah menyemburkan air dari hidung (membersihkan hidungnya) tiga kali, kerana sesungguhnya syaitan bermalam pada lubang hidungnya".

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, May 12, 2016

Jangan Guna Tangan Kanan

Khamis, 5 Sya'ban 1437H: Dari Abu Qatadah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: 

"Kalau salah seorang dari padamu minum. janganlah menghembus dan meniup tempat minum. 

Kalau kamu buang air kecil, jangan memegang alat kemaluannya dengan tangan kanan. 

Kalau kamu membersihkan diri setelah buang air besar, jangan mempergunakan tangan kanan."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, May 11, 2016

Tanda Iman Yang Bersih

Rabu, 4 Sya'ban 1437H: Dari 'Abdullah r.a., katanya: "Orang banyak sentiasa bertanya kepada Rasulullah saw. tentang hal was was. 

Jawab beliau, "Itu adalah suatu tanda bagi iman yang bersih."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, May 10, 2016

Sumpah Palsu

Selasa, 3 Sya'ban 1437H: Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: 

"Siapa yang bersumpah dengan sumpah palsu untuk menguasai harta orang lain, kemudian dia mati dalam sumpahnya itu, maka dia itu mati dalam murka Allah." 

Kata Abdullah, "Kemudian Rasulullah saw. membacakan kepada kami ayat Quran untuk memperkuat sabda beliau itu: 

"Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji Allah dan Sumpah mereka dengan harga murah, orang-orang itu tidak mendapat bagian di akhirat; dan Allah tidak akan bertutur kata dengan mereka, tidak melihat kepada mereka dan tidak membersihkan mereka dari dosa, sedangkan mereka mendapat seksa yang pedih." (Ali 'Imran : 77)

Hadis Sahih Muslim

Monday, May 9, 2016

Bangun Tengah Malam

Isnin, 2 Sya'ban 1437H: Huzaifah r.a, mengatakan: "Biasanya Nabi saw. apabila bangun tengah malam, beliau membersihkan mulutnya dengan sikat gigi."

Hadis Sahih Bukhari.

Friday, May 6, 2016

Menyalahkan Penyakit

Jumaat, 28 Rejab 1437H: Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah saw. datang berkunjung ke rumah Ummu Saib, maka bertanya beliau, "Sakit apa kamu sampai menggigil begitu?"

Jawab Ummu Saib, "Demam! Allah Ta'ala tidak memberi berkat dengannya."

Sabda Nabi saw., "Janganlah kamu menyalahkan penyakit, kerana penyakit itu dapat menghilangkan kesalahan-kesalahan (dosa-dosa) anak Adam, seperti halnya dapur tukang besi membersihkan karat-karat besi."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 5, 2016

Apabila Bangun Tidur

Khamis, 27 Rejab 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Apabila kamu bangun tidur, maka hendaklah tanganmu dituang lebih dahulu tiga kali (membersihkannya), sebelum memasukkannya ke dalam bejana. Kerana kamu tidak tahu di mana tanganmu itu terletak selama tidur."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, May 4, 2016

Makanan Mana Yang Berkah?

Rabu, 26 Rejab 1437H: Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Apabila suapanmu jatuh, ambillah kembali lalu buang bahagian yang kotor dan makanlah bahagian yang bersih. 

Jangan dibiarkan dia dimakan syaitan, dan jangan kamu sapu tanganmu dengan lap sebelum kamu kulum jarimu. Kerana kamu tidak tahu makanan mana yang membawa berkah."

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, May 3, 2016

Biarkan Sajalah Kedua Sepatu Itu!

Selasa, 25 Rejab 1437H: Dari 'Urwah bin Mughirah r.a., dari bapanya, katanya: 

"Pada suatu malam aku berpergian bersama Nabi saw. Di tengah perjalanan beliau bertanya, "Adakah engkau membawa air?" 

Jawab ku, "Ada, ya, Rasulullah!" 

Lalu beliau turun dari kenderaannya, dan berjalan ke dalam gelap malam sehingga tak kelihatan lagi olehku. 

Kemudian beliau datang kembali. Aku menuangkan air dari timba untuk beliau wuduk, lalu beliau mencuci mukanya. Ketika itu beliau memakai jubah bulu. Ketika beliau akan mencuci tangan, beliau tidak dapat mengeluarkan tangannya sehingga terpaksa beliau keluarkan dari bawah jubah. Lalu beliau mencuci tangan dan menyapu kepalanya. 

Kemudian aku menunduk hendak membuka sepatu beliau. 

Kata beliau, "Biarkan sajalah kedua sepatu itu! Aku memakainya tadi dalam keadaan bersih." 

Kemudian beliau sapu saja kedua-duanya."

Hadis Sahih Muslim 

Friday, April 29, 2016

Setiap Pagi

Jumaat, 21 Rejab 1437H: Dari Abu Malik Al Asy'ari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Kebersihan itu sebahagian dari iman. Membaca 'Alhamdulillah' pahalanya sepenuh timbangan. Membaca 'Subhanallah wal hamdulillah', pahalanya sepenuh ruang antara langit dan bumi. Solat itu cahaya, sedekah itu adalah bukti sabar itu adalah sinar Quran akan menjadi hujah (alasan) bagi mu atau alasan yang ditujukan kepada mu. Setiap orang pagi-pagi menjual dirinya, ada yang menyelamatkannya dan ada pula yang membinasakannya."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, April 27, 2016

Wahyu

Rabu, 18 Rejab 1437H: Dari Jabir bin Abdullah Al Anshari r.a. (seorang sahabat Rasulullah saw.), katanya Rasulullah pernah menceritakan tentang putusnya wahyu.

Sabda beliau,"Pada suatu ketika, sedang aku berjalan tiba-tiba aku mendengar suara dari langit. Kerana itu ku angkat pandangan ku (ke arah suara tersebut), maka nampak oleh ku malaikat yang pernah datang kepada ku di Gua Hira' sedang duduk di kursi antara langit dan bumi."

Sabda Rasulullah saw. selanjutnya, "Dengan perasaan terkejut bercampur takut, aku segera pulang. Sesampai di rumah, aku berkata kepada Khadijah, "Selimuti aku! Selimuti aku!" Khadijah pun segera menyelimuti ku.

Sedang aku berselimut itu, Allah Tabaraka wa Ta'ala menurunkan ayat : "Hai, orang yang berselimut! Bangunlah, dan berikan peringatan! Dan Tuhan engkau agungkanlah! Dan pakaian engkau bersihkanlah (sucikanlah)! Dan perbuatan dosa jauhilah!" (Al Muddatstsir:1-5).

Sesudah itu wahyu turun berturut-turut."

Hadis Sahih Msulim

Tuesday, April 26, 2016

Diampuni Allah Dosanya Yang Lalu

Selasa, 18 Rejab 1437H: Humran r.a., maula Usman (bin Affan) mengkhabarkan, bahawa dia melihat Usman bin Affan meminta setimba air untuk berwuduk. 

Dia menuangkan air itu ke tangannya dan membasuh kedua telapak tangannya tiga kali. 

Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam air, lalu berkumur-kumur dan membersihkan, hidung dengan menghirup air ke hidung dan menyemburkannya kembali. 

Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali, membasuh kedua belah tangannya hingga siku tiga kali. 

Kemudian dia menyapu kepalanya, dan setelah itu dia membasuh kaki hingga dua mata kaki tiga kali. 

Kemudian dia berkata, "Bersabda Rasulullah saw. 'Barangsiapa berwuduk seperti wudukku ini, kemudian solat dua rakaat dengan khusyuk, nescaya diampuni (Allah) dosanya yang telah lalu."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, April 25, 2016

Ketika Solat

Isnin, 17 Rejab 1437H: Dari Mu'aiqib r.a., katanya Nabi saw. pernah berkata tentang menyapu tempat sujud ketika solat, untuk meratakan atau membersihkannya.

Sabda beliau, "Jika memang diperlukan boleh dilakukan sekali saja."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, April 22, 2016

Pembersih Dosa & Rahmat

Jumaat, 14 Rejab 1437H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. pernah mendoa :

"Wahai Allah, sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia. Maka siapa-siapa di antara kaum muslimin yang pernah terlanjur aku maki atau ku kutuk atau ku pukul, maka jadikanlah semuanya itu menjadi pembersih dosa dan rahmat baginya."

Hadus Sahih Muslim

Thursday, April 21, 2016

Bersih Dari Segala Dosa

Khamis, 13 Rejab 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya, Rasulullah saw., bersabda: 

"Apabila seseorang muslim atau mukmin berwuduk, maka ketika dia mencuci muka hilanglah segala dosa matanya hanyut bersama air hingga titis yang penghabisan. 

Apabila dia mencuci tangan, maka hilang pulalah segala dosa yang diperbuat tangannya, hanyut bersama air hingga titis yang terakhir. 

Apabila dia mencuci kaki, hapus pulalah dosa-dosa yang dilakukan kakinya, hanyut bersama air hingga titis yang terakhir. Sehingga akhirnya dia bersih dari segala dosa."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, April 20, 2016

Apabila Bangun Dari Tidur

Rabu, 12 Rejab 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: 

"Apabila kamu bangun dari tidurmu, hendaklah kamu istintsar (membersihkan lubang hidungmu) tiga kali, kerana syaitan tidur di dalamnya."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, April 19, 2016

Aqiqah

Selasa, 11 Rejab 1437H: Dari Salman bin 'Amir al-Dhabbi r.a., katanya: 

Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Anak itu dengan 'aqiqah. Kerana itu adakanlah 
sembelihan untuknya, dan bersihkanlah ia dari segala kotoran."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, April 18, 2016

Hadis, Orang Baik & Sedekah

Isnin, 10 Rejab 1437H: Dari Mu'awiyah r.a., katanya: "Hindarilah hadis-hadis palsu, kecuali hadis-hadis pada masa Umar bin Khaththab. Sesungguhnya Umar sangat ditakuti orang mengenai hukum-hukum Allah, apalagi mengenai hadis-hadis palsu, (kerana tindakannya tegas). "

Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda :"Siapa yang dikehendaki Allah menjadi (orang) baik, maka diberi-Nya orang itu pengetahuan yang dalam tentang agama."

Dan aku mendengar pula Rasulullah saw. bersabda: "Aku ini adalah seorang bendahara. Maka siapa yang kuberi (sedekah) dan diterimanya dengan hati bersih, maka dia akan beroleh berkat dari harta itu. Tetapi siapa yang kuberi kerana meminta-minta dan rakus, maka dia seperti orang makan yang tak pernah kenyang."

Hadis Sahih Muslim

Friday, April 15, 2016

Kelebihan Hari Jumaat

Jumaat, 7 Rejab 1437H: Salman Al Farisi r.a. mengkhabarkan, bahawa Nabi saw. bersabda:

"Siapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian dia membersihkan tubuhnya sedapat-dapatnya, setelah itu dia memakai harum-haruman, kemudian pergi ke Jumaat, tidak memisahkan dua orang (yang duduk berdekatan), kemudian solat sebanyak mungkin, dan diam apabila imam telah berkhutbah, nescaya diampuni Allah dosanya semenjak itu sampai Jumaat yang akan datang."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, April 14, 2016

Bangunlah Hai Orang Bertanah!

Khamis, 6 Rajab 1437H: Dari Sahal bin Sa'ad r.a., katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. datang ke rumah Fatimah (puteri beliau) tetapi beliau tidak melihat Ali di rumah.

Nabi saw. bertanya kepada Fatimah, "Di mana Ali?
"
Jawab Fatimah, "Antara saya dan dia ada suatu perselisihan, lantas dia marah kepada ku, Lalu dia pergi dan tidak tidur siang di rumahku."

Rasulullah menyuruh seseorang, "Carilah dia! Di mana dia!"

Orang itu kemudian datang melaporkan, "Ya, Rasulullah! Dia tidur di masjid.".

Maka datanglah Rasulullah saw. ke masjid. Didapatinya Ali sedang tidur, cadarnya jatuh dari rusuknya, sehingga kena tanah lalu dibersihkan oleh Rasulullah sambil berkata, "Bangunlah hai orang bertanah! Bangunlah! Hai, orang bertanah!"

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, April 13, 2016

Ambil Yang Bersih,Tinggalkan Yang Keruh

Rabu, 5 Rejab 1437H: Dari Abdullah r.a., katanya: Pada suatu hari seorang laki-laki datang kepada saya, lalu ia bertanya tentang sesuatu hal yang saya tiada tahu jawabnya. Ia bertanya: 

"Bagaimana pendapat engkau tentang seorang laki-laki yang melaksanakan kewajiban lagi rajin? Ia keluar bersama pemimpin-pemimpin kami dalam beberapa peperangan, lalu ia memerintahkan kepada kami hal-hal yang tiada kami ketahui (sanggupi)"

Saya menjawab: "Demi Allah! Saya tiada tahu apa yang akan saya katakan kepada engkau melainkan bahawa kami pernah bersama Rasulullah s.a.w. Boleh jadi beliau memerintahkan kepada kami sesuatu hal (pekerjaan) hanya sekali saja, lalu kami kerjakan. Kamu sentiasa dalam kebaikan, selama kamu bertaqwa kepada Allah. 

Dan kalau ada sesuatu hal yang menjadi keraguan dalam hatimu, tanyakan kepada orang lain, supaya hilang keraguan itu dari hatimu. Mungkin engkau menemui orang itu. Demi Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, apa yang saya ingat tentang apa yang telah pergi dari dunia ini hanyalah sebagai kolam, minumlah yang bersih dan tinggalkan mana yang keruh".

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, April 12, 2016

Ditahan Di Antara Syurga & Neraka

Selasa, 4 Rejab 1437H: Dari Abi Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda: 

"Kalau orang yang beriman itu telah bebas dari neraka, mereka ditahan pada jambatan antara syurga dan neraka, lalu orang saling membalas penganiayaan antara sesama mereka waktu di dunia. 

Setelah mereka dibersihkan dan disucikan, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Allah Yang diri Muhammad di tanganNya, orang lebih tahu tempatnya di syurga daripada tempatnya di dunia."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, April 11, 2016

Solat 5 Waktu

Dari Jabir bin 'Abdullah r.a., katanya: 

"Rasulullah saw. solat Zohor setelah gelincir matahari. 

Solat Asar ketika matahari masih bersih (belum berubah warnanya). 

Solat Maghrib apabila matahari sudah terbenam. 

Solat Isyak kadang-kadang diundurkannya dan kadang-kadang disegerakannya. Apabila dilihatnya jemaah telah berkumpul, disegerakannya dan apabila mereka lambat berkumpul, diundurkannya. 

Dan beliau solat Subuh ketika hari masih gelap."

Hadis Sahih Muslim

Friday, April 8, 2016

Bersugi

Jumaat, 30 Jamadilakhir 1437H: Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Kalau kiranya aku tidak akan memberatkan umat ku, nescaya aku perintahkan mereka bersugi (membersihkan gigi)."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, April 5, 2016

Penghuni Syurga & Neraka

Selasa, 17 Jamadilakhir 1437H: Dari Haritsah bin Wahab r.a. katanya dia mendengar Nabi saw. bersabda:

"Mahukah kamu sekalian ku beritahukan siapa penduduk syurga?" 

Jawab para sahabat, "Tentu, ya Rasulullah!" 

Sabda beliau, "Orang-orang daif bila dihina orang, lalu dia bersumpah dengan menyebut nama Allah (dan mendoa kepada-Nya), maka doanya sungguh diperkenankan Allah." 

Kemudian beliau bertanya pula, "Mahukah kamu ku beritahukan siapa penduduk neraka?" 

Jawab mereka, "Tentu!" 

Sabda beliau, "Setiap orang yang kasar, besar mulut, angkuh, mewah namun kikir dan sombong"

Hadis Sahih Muslim

Monday, April 4, 2016

Memegang Jawatan

Isnin, 26 Jamadilakhir 1437H: Dari Abu Dzar r.a., katanya dia pernah bertanya kepada Rasulullah saw., 

"Ya, Rasulullah! Apakah Anda tidak hendak mengangkat ku untuk memegang suatu jawatan pemerintahan?"

Lalu beliau menepuk bahu ku dengan tangan beliau seraya berkata, 

"Hai, Abu Dzar! Engkau ini lemah. Sedangkan pekerjaan itu adalah amanah, yang pada hari kiamat kelak dipertanggung-jawabkan dengan risiko penuh kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang memenuhi syarat dan dapat melaksanakan tugas yang dibebankan kepadanya dengan baik."

Hadis Sahih Muslim

Friday, April 1, 2016

Tetap Menang Atas Semua Manusia

Jumaat, 22 Jamadilakhir 1437H: Dari Mu'awiyah r.a., dia mengatakan dalam pidatonya di atas mimbar bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

 "Sentiasa ada segolongan umat ku yang selalu berjuang menegakkan agama Allah Ta'ala. 

Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari kiamat. 

Bahkan mereka tetap menang atas semua manusia."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, March 31, 2016

Penghinaan Bagi Syaitan

Khamis, 22 Jamdilakhir 1437H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 

"Apabila kamu ragu dalam solat apakah baru tiga ataukah sudah empat rakaat, maka buanglah keraguan dan ambillah yang pasti (iaitu yang sedikit, dalam hal ini tiga). 

Kemudian sujudlah dua kali sebelum memberi salam. 

Jika ternyata dia solat lima rakaat, maka solatnya telah genap. 

Dan ternyata solatnya memang empat rakaat, maka kedua sujudnya itu adalah sebagai penghinaan bagi syaitan."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, March 30, 2016

Mengambil Harta Suami

Rabu, 21 Jamadilakhir 1437H: Dari 'Aisyah r.a. katanya: Datang Hindun binti Utbah bin Rabiah (isteri Abu Sufyan) mengatakan:

"Ya Rasulullah ! Demi Allah! Tidak ada di muka bumi ini satu keluarga rumah tangga yang dahulu sangat saya ingini supaya terhina, melainkan keluarga engkau. 

Tetapi sekarang, tidak ada suatu keluarga rumah tangga di muka bumi yang lebih saya ingini supaya mendapat kemuliaan, melainkan rumah tangga engkau." 

Selanjutnya Hindun mengatakan: "Bahawa Abu Sufyan (suaminya) seorang laki-laki yang sangat kikir. Bersalahkah saya, kalau saya memberi makan dari hartanya itu keluarga kami?" 

Jawab Nabi kepadanya: "Tidak ada salahnya, kalau mereka engkau beri makan menurut patut."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, March 29, 2016

Jangan Hina Pemberian Allah

Selasa, 20 Jamadilakhir 1437H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Pandanglah kepada orang yang lebih rendah darimu, dan jangan pandang orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepada mu."

Hadis Sahih Muslim

Monday, March 28, 2016

Jika Dibawah Pengurusan....

Isnin, 19 Jamadilakhir 1437H: Dari Ma'rur bin Suwaid r.a., katanya: "Aku pernah melihat Abu Dzar memakai pakaian serupa dengan sahayanya. Lalu aku bertanya kepadanya perihal itu. Dia menceritakan bahawa dahulu pada masa Rasulullah saw. dia pernah memaki seorang lelaki dengan menghinakan ibu orang itu. Orang itu datang mengadu kepada Nabi saw.
Maka bersabda Rasulullah saw. kepada Abu Dzar, "Ternyata tingkah lakumu masih seperti tingkah laku jahiliyah. Sahayamu itu adalah saudara atau pakcikmu yang dititipkan Allah swt. dalam pengurusanmu. Kerana itu siapa yang mempunyai saudara yang berada dalam pengurusannya, hendaklah diberinya makan serupa dengan yang dimakannya sendiri, dan diberinya pakaian serupa dengan yang dipakainya sendiri.
Dan janganlah mereka kamu beri tugas melebihi batas kemampuan mereka; jika akan kamu tugaskan juga, hendaklah kamu bantu dia."
Hadis Sahih Muslim

Friday, March 25, 2016

Jangan Hina, Jangan Aniaya

Jumaat, 16 Jamadilakhir 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Kerana itu janganlah menganiayanya, jangan membiarkannya teraniaya, dan jangan menghinanya."

"Taqwa tempatnya di sini! Sambil beliau menunjuk ke dadanya tiga kali.

"Alangkah besar dosanya menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim haram menumpahkan darah saudaranya sesama muslim. Haram merampas hartanya, dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, March 24, 2016

Nikmat Kurnia Daripada Allah

Khamis, 15 Jamadilakhir 1437H : Dari Abu Hurairah r.a., (hadis ini juga dari Qutaibah), katanya:
 
Orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah saw., lalu mereka berkata: "Orang-orang kaya sudah meraih darjat tinggi serta kenikmatan yang kekal abadi."
 
Tanya Rasulullah saw., "Kenapa begitu?"
 
Jawab mereka, "Mereka solat seperti kami solat, dan mereka puasa seperti kami puasa. Dan mereka dapat bersedekah sedang kami tidak dapat bersedekah. Mereka dapat memerdekakan budak, sedangkan kami tidak."
 
Sabda Rasulullah saw., "Sukakah kamu ku ajarkan kepada mu suatu amal, yang dapat memperoleh pahala orang-orang dahulu serta mendahului pahala orang yang sesudah kamu? Dan tidak akan ada orang yang lebih mulia daripadamu, melainkan orang yang mengamalkan seperti amalanmu."
 
Jawab mereka, "Tentu, ya Rasulullah! Sudah tentu kami suka."
 
Sabda Rasulullah saw., "Hendaklah kamu tasbih, takbir dan tahmid, masing-masing tiga puluh tiga kaIi setiap selesai solat."
 
Kata Abu Shalih, "Kemudian orang-orang, itu datang pula kembali kepada Rasulullah saw., lalu kata mereka, "Kami dengar orang-orang kaya itu mengamalkan pula seperti amalan kami."
 
Jawab Rasulullah saw., "Itu adalah kurnia Allah yang dikurniakanNya kepada siapa yang dikehendaki-Nya."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, March 23, 2016

Tertipu Oleh Dua Nikmat

Rabu, 14 Jamadilakhir 1437H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., bertanya: Nabi saw. bersabda:

"Ada dua nikmat yang sering kebanyakan manusia tertipu tentangnya (sering melupakannya), yaitu: waktu sihat dan waktu lapang."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, March 22, 2016

Nikmat Yang Tiada Taranya

Selasa, 13 Jamadilakhir 1437H: Dari Shuhaib r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Apabila penduduk syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah Tabaraka wa Ta'ala berfirman kepada mereka:

"Apakah kamu semua memerlukan sesuatu yang perlu Aku tambah untukmu?"

Jawab mereka, "Bukankah muka kami telah putih gilang-gemilang? Bukankah kami telah Engkau masukkan ke syurga dan Engkau bebaskan dari neraka?"

Kata Rasulullah saw. selanjutnya, "Lalu Allah membukakan tabir yang menutupNya. Sekonyong-konyong penduduk syurga merasakan nikmat yang tiada taranya, selain memandang Allah 'azza wa jalla."

Hadis Sahih Muslim

Monday, March 21, 2016

Setiap Nikmat Akan Di Tanya

Isnin, 12 Jamadilakhir 1437H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Pada suatu malam Rasulullah saw. pergi keluar rumah, tiba-tiba beliau bertemu dengan Abu Bakar dan Umar. 

Lalu bertanya beliau, "Mengapa Anda keduanya keluar rumah malam-malam begini?" 

Jawab mereka, "Kami lapar, ya Rasulullah!" 

Kata Rasulullah saw., "Demi Allah yang jiwaku dalam kuasa-Nya, aku juga keluar kerana lapar seperti Anda. Marilah!" 

Mereka pergi mengikutkan beliau ke rumah seorang lelaki Ansar (Abu Haitsam Malik bin Taihan). Sayang dia sedang tidak ada di rumah. Tetapi tatkala isterinya melihat Rasulullah saw. datang, dia mengucapkan Marhaban wa Ahlan (Selamat datang). 

Maka bertanya Rasulullah saw. "Kemana si Fulan (Abu Haitsam)?" 

Jawab isterinya. "Dia sedang mengambil air tawar untuk kami." Tiba-tiba suaminya datang dan melihat Rasulullah saw. beserta dua sahabat beliau, maka dia berkata, "Alhamdulillah, tidak ada orang yang lebih bahagia dari ku hari ini kerana kedatangan tetamu yang mulia." 

Lalu dia pergi mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang masih muda, yang mulai masak dan yang sudah masak betul. 

Katanya, "Silakan dimakan ini," sambil dia mengambil pisau.

Nabi saw. berkata. "Jangan dipotong yang mempunyai susu." 

Maka dipotongnya seekor kambing lalu mereka makan kambing, makan kurma setandan, dan minum susu. Setelah semuanya kenyang dan puas makan minum. 

Rasulullah saw. berkata kepada Abu Bakar dan Umar, "Demi Allah yang jiwaku berada dalam kuasa-Nya, kamu akan ditanya kelak pada hari kiamat tentang nikmat yang kamu peroleh ini. Kamu keluar dari rumah kerana lapar dan pulang sesudah memperoleh nikmat ini."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, March 16, 2016

Lelaki & Perempuan

Rabu, 7 Jamadilakhir 1437H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda:

"Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki, dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan.

Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa busana, dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perempuan dalam satu selimut tanpa busana."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, March 15, 2016

Jangan Remehkan Pemberian Tertangga

Selasa, 6 Jamadilakhir 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda :

"Hai, wanita muslimat! Janganlah kamu remehkan pemberian tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, March 9, 2016

Solat Kusuf (Gerhana Matahari)

Rabu, 29 Jamadilawal 1437H: Asma binti Abu Bakar r.a. memberitakan, bahawa pada suatu ketika Nabi saw. melakukan solat kusuf (solat gerhana matahari). 

Beliau berdiri lama-lama, rukuk lama-lama, kemudian berdiri kembali lama-lama, kemudian rukuk lagi lama-lama, kemudian bangkit dari rukuk dan sesudah itu sujud lama-lama, kemudian bangkit lalu sujud lama-lama. Kemudian berdiri kembali lama-lama, kemudian rukuk lama-lama, kemudian bangkit dan berdiri lama-lama, kemudian bangkit lalu sujud kembali lama-lama. Sesudah itu beliau menoleh memberi salam. 

Sabda beliau: "Sungguh dekat rasanya syurga kepada ku, sehingga andaikan aku berani, dapat ku petikkan untukmu setangkai buah dari buah-buahannya. 

Tetapi neraka terasa dekat pula kepada ku. Sehingga aku berucap, "O, Tuhan! Apakah aku bersama mereka?" 

Tiba-tiba aku melihat seorang wanita, yang ku duga dia itu dicakar kucing. Lantas aku bertanya, "Apa yang telah terjadi?" 

Jawab mereka, "Wanita itu telah mengurung kucing itu sampai mati kelaparan, tidak diberinya makan dan tidak pula dilepaskannya supaya kucing itu dapat mencari makan sendiri."

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, March 8, 2016

Memegang Tangan Wanita

Selasa, 28 Jamadilawal 1437H: Dari 'Urwah r.a., bahawasanya Aisyah r.a., mengkhabarkan kepadanya tentang cara membaiat kaum wanita, katanya: 

"Rasulullah saw. tidak pernah memegang tangan seorang perempuan pun, sekali-kali tidak ketika membaiat mereka, beliau hanya membaiat dengan ucapan, lalu kaum wanita memberikan janjinya dengan ucapan pula. Sesudah itu beliau menyuruh mereka pergi, sabdanya, "Pergilah Anda, aku telah membaiat Anda semua!"

Hadis Sahih Muslim

Monday, March 7, 2016

Seksa Kubur

Isnin, 27 Jamadilawal 1437H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Dua orang wanita tua bangsa Yahudi datang ke rumahku, lalu keduanya berkata: "Sesungguhnya ahli kubur itu diseksa dalam kuburnya." 

Aku mendustakan ucapan mereka dan tidak mahu mengiakannya. Setelah mereka keluar, Rasulullah saw. datang. Lalu ku ceritakan kepada beliau kedatangan wanita tua Yahudi itu serta ucapan mereka yang mengatakan bahawa ahli kubur diseksa dalam kubur mereka. 

Jawab Rasulullah saw., "Mereka benar! Memang ahli kubur itu diseksa, sehingga seksaan mereka itu terdengar oleh binatang ternak." 

Kata 'Aisyah, "Semenjak itu, ku lihat beliau sentiasa berlindung dengan Allah dan seksa kubur dalam solat."

Hadis Sahih Muslim

Friday, March 4, 2016

Seekor Kucing

Jumaat, 14 Jamadilawal 1437H: Dari Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Seorang wanita menyeksa seekor kucing dengan jalan mengurungnya sampai mati. 

Kerana itu wanita tersebut dimasukkan ke neraka. 

Kucing itu tidak diberinya makan dan minum selama dalam kurungan dan tidak pula dilepaskannya supaya dia dapat mencari makan sendiri berupa rumput yang tumbuh di bumi."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, March 3, 2016

Wanita Yang DiKutuk Oleh Malaikat

Khamis, 23 Jamadilakhir 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda:

"Kalau seorang wanita tidur dengan menjauhkan diri dari suaminya, maka malaikat mengutuki wanita itu, sampai ia kembali kepada suaminya."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, March 2, 2016

Hutang Kepada Allah

Rabu, 22 Jamadilawal 1437H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Seorang wanita datang bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: 

"Ibuku meninggal. Sedangkan dia punya hutang puasa selama sebulan. Bagaimana itu?" 

Jawab Rasulullah saw., "Bagaimana pendapatmu, andaikan dia mempunyai hutang kepada seseorang, adakah engkau bayar?" 

Jawab wanita itu, "Tentu, ya Rasulullah!" 

Sabda Rasulullah saw., "Hutang kepada Allah lebih patut dibayar?"

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, March 1, 2016

Habisnya Kaum Lelaki

Selasa, 21 Jamadilawal 1437H: Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Sebagian di antara tanda-tanda hari kiamat ialah: 
  • hapusnya ilmu (agama), 
  • berjangkitnya kejahilan,
  • bermaharajalelanya perzinaan (pelacuran),
  • melimpahnya minuman keras, 
  • habis kaum lelaki 
  • dan yang tinggal hanya wanita, 
  • dengan perbandingan seorang lelaki berdiri di tengah-tengah lima puluh wanita."


Hadis Sahih Muslim

Monday, February 29, 2016

Maha Pengampun Allah SWT

Isnin, 20 Jamadilawal 1436H : Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bercerita:

"Pada suatu ketika ada seekor anjing mengelilingi sebuah sumur. Anjing itu hampir mati kehausan. Tiba-tiba dia terlihat oleh seorang wanita pelacur bangsa Yahudi. Maka dibukanya sepatu botnya, kemudian diceduknya air dengan sepatunya, lalu diberinya minum anjing yang hampir mati itu. Maka Allah swt. mengampuni dosa-dosa wanita itu."

Hadis Sahih Muslim

Friday, February 26, 2016

Memilih Isteri

Jumaat, 17 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah saw. bersabda: 

"Wanita dikahwini kerana empat hal: kerana harta-bendanya, kerana status sosialnya, kerana keindahan wajahnya, dan kerana ketaatannya kepada agama.

Pilihlah wanita yang taat kepada agama, maka kamu akan berbahagia."

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, February 25, 2016

Apabila Selesai Solat

Khamis, 16 Jamadilawal 1437H: Diceritakan oleh Ummu Salamah katanya: 

"Bahawasanya wanita-wanita di masa Nabi, setelah mereka selesai solat, mereka segera pulang. Sedangkan Rasulullah masih tinggal bersama kaum laki-laki. Setelah Nabi berdiri, barulah mereka berdiri pula."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, February 24, 2016

Apabila Melihat Wanita

Rabu, 15 Jamadilawal 1436H: Dari Jabir r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah terlihat kepada seorang wanita, lalu beliau segera mendatangi isteri beliau Zainab yang sedang menyamak kulit, guna melepaskan rasa rindunya.

Sesudah itu beliau pergi menemui para sahabatnya, lalu beliau bersabda, "Sesungguhnya wanita itu datang dan pergi bagaikan syaitan. Maka bila kamu terlihat kepada wanita, datangilah isteri mu, kerana yang demikian itu dapat menenteramkan gejolak hatimu."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, February 23, 2016

Kematian Anak

Selasa, 14 Jamadilawal 1437H: Dari Abu Sa'id al Khudri r.a., katanya. "Beberapa orang wanita memajukan permohonan kepada Nabi: 

"Kami tidak memperoleh waktu untuk belajar dari Anda kerana semua waktu telah diisi oleh lelaki. Oleh kerana itu sediakanlah barang sehari untuk kami agar kami dapat pula belajar." 

Maka Nabi menjanjikan kepada mereka suatu hari khusus untuk pengajian wanita, di mana Nabi mengajar dan menyampaikan perintah-perintah Allah. 

Antara lain beliau bersabda, "Barangsiapa di antara kamu kematian tiga orang anak, menjadi dinding baginya dari api neraka." 

Bertanya seorang wanita, "Kalau dua orang?" 

Jawab beliau, "Ya, dua orang juga!”

Hadis Sahih Bukhari

Monday, February 22, 2016

Jangan....

Isnin, 13 Jamadialawak 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda:

"Jangan meminang wanita yang sedang dipinang orang lain, jangan menawar barang yang sedang ditawar orang,

Jangan menikahi seorang wanita sekaligus dengan bibinya (saudara ibu atau saudara bapaknya),

Dan janganlah seorang wanita menuntut suaminya supaya menceraikan madunya agar segala keperluannya terpenuhi; tetapi biarkanlah sang suami menikah (sesuai dengan kemampuannya),

Kerana sesungguhnya bahagian seorang isteri adalah apa yang telah ditentukan Allah jua."

Hadis Sahih Muslim

Friday, February 19, 2016

Dua Macam Penduduk Neraka

Jumaat, 10 Jamaldilawal 1437 : Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Ada dua macam penduduk neraka yang keduanya belum kelihatan olehku. 

(1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi. yang dipergunakannya untuk memukul orang. 

(2) Wanita-Wanita berpakaian, tetapi sama juga dengan bertelanjang (kerana pakaiannya terlalu mini, terlalu nipis atau tembus pandang, terlalu ketat atau pakaian yang merangsang pria kerana sebahagian auratnya terbuka), dan wanita-wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disasak) bagaikan punuk unta. 

Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga dapat tercium dari jarak yang sangat jauh."

Hadis Sahih Muslim .

Thursday, February 18, 2016

Wahai Kaum Wanita!

Khamis, 9 Jamadilawal 1437H: Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., dari Rasulullah saw., sabdanya: 

"Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan banyak-banyaklah istighfar (mohon ampun). Kerana aku melihat kebanyakan isi neraka ialah kaum wanita." 

Seorang wanita yang cerdas lantas bertanya: "Apa kesalahan kami, ya Rasulullah, makanya kami kebanyakan penghuni neraka?" 

Jawab Rasulullah saw., "Kaum wanita suka memaki dan memungkiri jasa suami. Aku tidak melihat orang yang kurang akal dan kurang agamanya, yang melebihi daripada kamu sekalian (kaum wanita)." 

Wanita tadi bertanya pula, "Kurang bagaimanakah akal dan agama kami, ya Rasulullah?" 

Jawab Rasulullah saw., "Adapun kurang akal, kerana kesaksian dua orang wanita sama dengan kesaksian seorang pria. Nah, ini bukti kurang akal. Tidak dapat solat beberapa malam dan tidak puasa (beberapa hari) bulan Ramadhan, bukti kurang agama."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, February 17, 2016

Apabila Masuk Islam

Rabu, 8 Jamadilawal 1437H: Dari Abu Malik Al Asyjai, dari bapanya r.a. katanya:

"Apabila seorang lelaki masuk Islam, Nabi saw. mengajarinya solat, kemudian beliau menyuruhnya mendoa dengan kalimat ini:

Allahummaghfir li warham ni, wahdini wa 'aafini, warzuqni." (Ya Allah, ampunilah aku, kasihanilah aku, pimpinlah aku, 'afiatkanlah aku dan berilah aku rezeki)

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, February 16, 2016

Kesabaran Allah Ta'ala

Selasa, 7 Jamadilawal 1437H: Dari 'Abdullah bin Qais r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda :

"Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain Allah Ta'ala. Orang-orang kafir mengatakanNya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagiNya. Namun begitu Allah Ta'ala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka, dan memberikan apa yang mereka minta."

Hadis Sahih Muslim

Monday, February 15, 2016

Dituliskan Dalam Rahim Ibu

Isnin, 6 Jamadilawal 1437H: Diceritakan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla telah menugaskan pada rahim wanita, seorang malaikat. 

Dia berkata, "Ya, Tuhan. Ini nuthfah (air mani). 
Ya, Tuhan. Ini 'alaqah (segumpal darah). 
Ya, Tuhan, Ini mudhgah (segumpal daging)." 

Apabila Allah ingin hendak menyempurnakan kejadian itu sempurnalah dia. Malaikat itu bertanya kepada Tuhan',
Laki-laki atau perempuan? 
Malang atau bahagia? '
Apakah rezekinya dan berapa umurnya?" 

Lalu semuanya itu dituliskan dalam rahim ibunya.

Hadis Sahih Bukhari

Friday, February 12, 2016

Amal Kebajikan Mukmin Dan Kafir

Jumaat, 3 Jamadilawal 1437H: Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia, dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. 

Adapun orang-orang mukmin, maka pahala kebajikannya disimpan Allah Ta'ala untuknya di akhirat serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, February 11, 2016

Makanan Dan Rezeki Yang Baik

Khamis, 2 Jamadilawal 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya "Rasulullah saw. bersabda : 

"Hai, manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul.

Firman-Nya: "Wahai, para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al Mukminun : 51)

"Wahai, orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.. " (Al Baqarah : 172)

Kemudian Nabi saw. menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu.

Orang itu menadahkan tangannya ke langit seraya mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Wahai, Tuhanku!"

Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram, dan dia diasuh dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?"

Hadis Sahih Muslim

Friday, January 29, 2016

Benih Penyakit

Jumaar, 19 Rabiulakhir 1437H: Dari Jabir r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Tutuplah bejana, tutup tempayan, kerana pada suatu malam dalam setahun penyakit menular berjangkit. Setiap bejana atau tempayan yang didapatinya tidak tertutup, nescaya benih penyakit itu akan hinggap ke dalam bejana itu."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, January 28, 2016

DiHapuskan Dosa

Khamis, 18 Rabiulakhir 1437H: Dari Abdullah r.a., katanya: "Aku datang mengunjungi Rasulullah saw. ketika beliau sedang sakit, lalu kuraba beliau seraya berkata, 

"Ya, Rasulullah! Demam Anda bertambah keras."

Jawab beliau, "Memang, demamku sama dengan demam dua orang kamu."

Kataku pula, "Semoga Anda mendapat pahala berganda pula."

Jawab beliau, "Semoga!"

Kemudian sabda beliau pula, "Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya, melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu mengugurkan daunnya."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, January 27, 2016

Setiap Penyakit Ada Ubatnya

Rabu, 17 Rabiulakhir 1437H: Dari Jabir r.a. dari Rasulullah saw., sabdanya: 

"Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila tepat ubat suatu penyakit, tentu penyakit itu sembuh dengan izin Allah 'Azza wa Jalla."

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, January 26, 2016

Sakit Perut

Selasa, 16 Rabiulakhir 1437H:  Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya: 

"Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Saudaraku sakit perut sehingga dia buang-buang air." 

Sabda Rasulullah saw., "Minumkan madu kepadanya." 

Lalu diminumkan madu kepadanya. Kemudian dia datang pula kepada Nabi saw. lalu katanya, "Telah ku minumkan madu kepadanya, tetapi sakitnya bertambah." 

Nabi saw. menyuruhnya pula meminumkan madu sampai berulang tiga kali. Dia datang untuk keempat kalinya, Nabi saw. tetap menyuruhnya supaya meminumkan madu. 

Kata orang itu, "Aku telah meminumkannya, ya Rasulullah, namun sakitnya bertambah juga." 

Sabda Rasulullah saw., "Allah Maha Besar! Perut saudara mu itulah yang dusta." 

Lalu diminumkannya pula madu, maka sembuhlah saudaranya.

Hadis Sahih Muslim

Friday, January 22, 2016

Neraka Dan Syurga

Jumaat, 12 Rabiulakhir 1437H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi saw. bersabda:

"Neraka dan syurga saling bertengkar. Kata neraka, aku diistimewakan Allah dengan penghuni-penghuniku orang-orang sombong dan berkuasa." 

Kata syurga, "Apakah penghuni-penghuniku hanya terdiri dari orang-orang daif, orang-orang terdampar, dan orang-orang lemah."

Maka berfirman Allah kepada syurga, "Engkau adalah rahmatKu. Aku rahmati dengan engkau orang-orang yang Ku kehendaki di antara hamba-hamba-Ku."

Dan berfirman pula Allah kepada neraka, "Engkau adalah azab (seksa)Ku. Aku seksa dengan engkau orang yang Ku kehendaki di antara hamba-hamba-Ku. Masing-masing kamu mendapat penghuni sampai penuh." 

Ketika ternyata neraka belum penuh, maka Allah memenuhinya dengan orang-orang yang harus diseksa. Setelah penuh, neraka berkata, "Cukup, cukup!"

Lalu mereka dicampur aduk satu sama lain.

Hadis Sahih Muslim

Thursday, January 21, 2016

Penduduk Syurga & Neraka

Khamis, 11 Rabiulakhir 1437H: Dari Haritsah bin Wahab r.a. katanya dia mendengar Nabi saw. bersabda:

"Mahukah kamu sekalian ku beritahukan siapa penduduk syurga?"

Jawab para sahabat, "Tentu, ya Rasulullah!"

Sabda beliau, "Orang-orang daif bila dihina orang, lalu dia bersumpah dengan menyebut nama Allah (dan mendoa kepada-Nya), maka doanya sungguh diperkenankan Allah."

Kemudian beliau bertanya pula, "Mahukah kamu ku beritahukan siapa penduduk neraka?"

Jawab mereka, "Tentu!"

Sabda beliau, "Setiap orang yang kasar, besar mulut, angkuh, mewah namun kikir dan sombong."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, January 20, 2016

Tiga Golongan Mendapat Seksa

Rabu, 10 Rabiulakhir 1437H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Ada tiga golongan, di mana Allah tidak akan bercakap kepada mereka, tidak membersihkan mereka daripada dosa, Kata Mu'awiyah, juga tidak akan menengok kepada mereka, bahkan mereka mendapat seksa yang pedih:

(1) Orang tua penzina; 
(2) Raja (penguasa) pembohong; 
(3) Si miskin yang sombong."

Hadis Sahih Muslim

Monday, January 18, 2016

Syurga & Neraka

Isnin, 8 Rabiulakhir 1437H: Dari 'Abdullah r.a., katanya Rasulullah saW. bersabda: 

"Tidak dapat masuk neraka seseorang yang terdapat iman di dalam hatinya walaupun hanya seberat biji bayam; 

Dan tidak akan masuk syurga seorang yang terdapat di dalam hatinya kesombongan walaupun hanya seberat biji bayam."

Hadis Sahih Muslim