Saturday, December 20, 2025

Sebaik-baik Perhiasan

Sabtu, 29 Jamadil Akhir 1447H  | Sebaik-baik Perhiasan

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  قَالَ : الدُّنْيَا مَتَاعٌ  وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏ (HR Muslim No: 715) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah menciptakan wanita dengan kelebihan tertentu.

2.  Sebaik-baik perhiasan di dunia adalah wanita yang solehah.

3.  Imam Qurthubi menjelaskan wanita solehah dalam hadis tersebut sebagai wanita yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat, dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan juga hartanya.

4.  Imam al-Qurtubi juga menjelaskan bahawa wanita solehah bukan sahaja perhiasan dunia, malah penyumbang besar kepada kejayaan akhirat seseorang lelaki, kerana dia menjadi peneman dalam ibadah, menjaga harta dan kehormatan suami serta mendidik anak-anak atas dasar Islam.

5.  Wanita Solehah adalah sebaik-baik harta seorang lelaki. Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahu tentang sebaik-baik harta seorang lelaki iaitu wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (HR Abu Daud No: 1664) Status: Hadis Sahih

6.  Wanita yang solehah adalah merupakan isteri yang menjadi tunjang kekuatan kepada suami.

7.  Wanita solehah adalah kunci kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Rasulullah SAW menyifatkan dia sebagai sebaik-baik "perhiasan" kerana dia bukan sahaja menjaga suami dan rumah tangga, malah menjadi pelindung daripada godaan dunia.


No comments: