Thursday, December 11, 2025

Riyak dan Sum’ah Dalam Beramal

Khamis, 20 Jamadil Akhir 1447H  | Riyak dan Sum’ah Dalam Beramal

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا قَالَ فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا قَالَ مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ قَالَ كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda: Sesungguhnya manusia yang pertama kali dihisab pada Hari Kiamat ialah seseorang yang mati syahid, lalu diperlihatkan kepadanya segala nikmat yang telah diberikan kepadanya dan diapun mengakuinya. Allah bertanya kepadanya: 'Apa yang telah kamu lakukan dengan nikmat-nikmat itu di dunia wahai hamba-Ku?. Dia menjawab: 'Saya telah berjuang dan berperang demi Engkau ya Allah sehingga saya mati syahid.' Allah berfirman: ‘Kamu berdusta, sebenarnya kamu berperang bukan kerana untuk-Ku, melainkan agar kamu disebut sebagai orang yang berani. Kini kamu telah menyandang gelar tersebut.' Kemudian diperintahkan kepadanya supaya diseret di atas wajahnya kemudian dicampakkan ke dalam neraka. Dan didatangkan pula seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya dan pembaca Al-Quran yang membacanya, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan sehingga ia mengakuinya dengan jelas, Allah bertanya: 'Apa yang telah kamu lakukan dengan nikmat itu? ' Dia menjawab, 'Saya telah belajar ilmu dan mengajarkannya, saya juga membaca Al-Quran demi Engkau.' Allah berfirman: ‘Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang ‘alim (yang berilmu) dan engkau membaca al-Quran supaya dikatakan seorang qari’ (pembaca al-Qur-an yang baik). Kini kamu telah dikatakan seperti itu, kemudian diperintahkan kepadanya supaya diseret di atas wajahnya kemudian dicampakkan ke dalam neraka. Dan seorang lelaki yang diberi keluasan rezeki oleh Allah, kemudian dia menginfakkan hartanya semua, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan sehingga ia mengakuinya dengan jelas.' Allah bertanya: 'Apa yang telah kamu perbuat dengannya? 'dia menjawab, 'Saya tidak meninggalkannya sedikit pun melainkan saya infakkan harta benda tersebut di jalan yang Engkau ridhai." Allah berfirman: 'Kamu dusta, akan tetapi kamu melakukan hal itu supaya kamu dikatakan seorang yang dermawan, dan kini kamu telah dikatakan seperti itu.' Kemudian diperintahkan kepadanya supaya diseret di atas wajahnya kemudian dicampakkan ke dalam neraka." (HR Muslim No: 3527) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amal yang dilakukan tidak ikhlas malah dilandasi dengan riyak (untuk menunjuk atau dilihat manusia) dan sum’ah (beramal agar didengar oleh manusia) tidak akan diterima sebagai amal soleh.

2.  Syarat pokok diterima suatu amal soleh adalah ikhlas kerana Allah semata-mata, dan amal tersebut sesuai dan selari dengan contoh yang ditunjukkan oleh Sunnah Rasulullah SAW.

3.  Tiga golongan manusia yang dimasukkan ke dalam neraka dan tidak mendapat penolong selain Allah walaupun membawa amal yang besar, tetapi melakukannya kerana riyak dan ingin mendapatkan pujian dan sanjungan:

a.  Berjihad dan mati syahid supaya disanjung

b.  Belajar ilmu dan pembaca al-Quran supaya dipuji

c.  Dermawan harta supaya dilihat dan disebut-sebut

4.  Riyak dan sum'ah ialah syirik kecil yang merosakkan ibadah. Sesiapa yang melakukan ibadah kerana menginginkan pujian manusia, hakikatnya dia telah menghapuskan pahala ibadah tersebut. Dia tidak akan mendapatkan apa-apa ganjaran daripada Allah SWT kelak.

5.  Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam menyatakan bahawa niat adalah asas utama amalan, dan amalan yang tidak ikhlas bukan sahaja ditolak, bahkan membawa kepada azab.



No comments: