Isnin, 17 Jamadil Akhir 1447H | Tiga Jenis Teman Rapat
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ عَبْدٍ وَلَا أَمَةٍ إِلَّا وَلَهُ ثَلَاثَةُ أَخِلَّاءَ: فَخَلِيلٌ يَقُولُ: أَنَا مَعَكَ، فَخُذْ مَا شِئْتَ، وَدَعْ مَا شِئْتَ؛ فَذَلِكَ مَالُهُ. وَخَلِيلٌ يَقُولُ: أَنَا مَعَكَ، فَإِذَا أَتَيْتَ بَابَ الْمَلِكِ تَرَكْتُكَ؛ فَذَلِكَ خَدَمُهُ وَأَهْلُهُ. وَخَلِيلٌ يَقُولُ: أَنَا مَعَكَ حَيْثُ دَخَلْتَ، وَحَيْثُ خَرَجْتَ؛ فَذَلِكَ عَمَلُهُ
Daripada Nukman bin Basyir RA dari Nabi SAW bersabda: Tiada seorang hamba lelaki atau perempuan pun melainkan dia mempunyai tiga orang teman rapat. Salah seorang daripadanya berkata: 'Aku bersama kamu, ambillah apa yang kamu mahu dan tinggalkan apa yang kamu mahu'; itulah hartanya. Teman yang kedua berkata: 'Aku bersama kamu, tetapi apabila kamu sampai di pintu raja (kematian), aku akan meninggalkan kamu'; itulah keluarga dan pembantunya. Dan teman yang ketiga berkata: 'Aku bersama kamu ke mana sahaja kamu masuk dan ke mana sahaja kamu keluar'; itulah amalannya." (HR At-Tobrani (119/21) (142) Status: Hadis Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Tiga jenis teman rapat (khilal) yang setiap kita miliki dalam hidup ini iaitu harta, keluarga, dan amalan:
a. Pertama harta iaitu sesuatu yang kita usaha dan kumpulkan sepanjang hidup. Harta ini boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan, tetapi pada akhirnya akan ditinggalkan apabila mati dan tidak boleh dibawa ke alam kubur atau akhirat.
b. Kedua keluarga, sahabat, pekerja, dan orang sekeliling akan berada bersama seseorang semasa hidup. Namun apabila mati, mereka hanya mengiringi jenazah kita ke kubur, tetapi tidak akan ikut masuk ke dalamnya.
c. Ketiga amalan, inilah satu-satunya teman sejati yang akan mengikuti seseorang hingga ke alam barzakh dan akhirat. Segala amalan baik atau buruk akan menjadi peneman yang setia, bahkan akan menentukan nasib kita di alam akhirat.
2. Harta hanyalah alat. Harta hanya memberi manfaat jika digunakan ke jalan yang betul, seperti disedekahkan atau digunakan untuk kebaikan. Harta yang disimpan atau dibazirkan tidak akan memberi manfaat selepas kematian.
3. Kasih sayang keluarga dan sahabat hanyalah sementara. Mereka boleh menemani kita ketika hidup dan mengurus jenazah kita, tetapi mereka tidak mampu masuk bersama kita ke alam kubur.
4. Harta dan keluarga serta teman sekeliling hanyalah bersifat sementara. Yang kekal menemani kita hanyalah amal. Persiapkan diri untuk kehidupan selepas mati dengan menyediakan bekalan amal soleh sebanyak mungkin untuk akhirat.
5. Jadikanlah harta dan keluarga serta sahabat handai sebagai jalan untuk menambah pahala, seperti bersedekah, berbuat baik dan menjaga silaturahim dan ukhuwah sesama kita.
6. Jangan terlalu bergantung pada harta dan manusia. Harta dan manusia boleh membantu kita di dunia, tetapi di akhirat belum pasti. Justeru jangan terlalu bergantung atau taksub kepada mereka sehingga melalaikan tanggungjawab terhadap Allah.
No comments:
Post a Comment