Wednesday, December 10, 2025

Tunaikan Hak Orang Di Bawah Jagaan

Rabu, 19 Jamadil Akhir 1447H  | Tunaikan Hak Orang Di Bawah Jagaan

عن خَيْثَمَةَ، قال: كُنَّا جُلُوسًا مَعَ عَبْدِ اللَّهِ بنِ عَمْرٍو، إِذْ جَاءَهُ قَهْرَمَانٌ لَهُ، فَدَخَلَ، فَقالَ: أَعْطَيْتَ الرَّقِيقَ قُوتَهُمْ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَانْطَلِقْ فَأَعْطِهِمْ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَفَى بالمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يَحْبِسَ عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوتَهُ

Daripada Khaithamah, beliau berkata: "Ketika kami sedang duduk bersama Abdullah bin Amru, tiba-tiba datang seorang pembantu menemuinya.  Abdullah bertanya kepadanya: 'Adakah kamu telah memberikan makanan kepada hamba-hamba (rakyat atau pekerja) itu?' Dia menjawab: 'Belum.' Maka Abdullah berkata: 'Pergilah dan berikan kepada mereka.' Kemudian Abdullah berkata: 'Rasulullah SAW bersabda: Cukuplah seseorang itu berdosa apabila dia menahan makanan daripada orang yang berada di bawah tanggungannya.'" (HR Muslim No: 996) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Imam al-Nawawi menjelaskan dalam syarah Sahih Muslim bahawa hadis ini menunjukkan wajibnya memberikan nafkah kepada sesiapa yang berada di bawah tanggungan, termasuk hamba, isteri, anak-anak dan pekerja.

2.  Menafikan hak orang di bawah tanggungan seperti makan dan minum juga keperluan asasnya adalah berdosa.

3.  Penting setiap majikan memastikan kebajikan pekerja, termasuk membayar gaji tepat pada waktunya dan menyediakan kemudahan yang sewajarnya.

4.  Pemimpin atau majikan mesti bertanggungjawab penuh kepada pekerja di bawahnya. Tidak cukup sekadar melantik pembantu, tetapi juga perlu menyelia dan memastikan tanggungjawab terlaksana.

5.  Islam bukan hanya agama ibadah semata-mata, tetapi juga menuntut agar umatnya berlaku adil dan berperikemanusiaan terhadap semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya.


No comments: