Saturday, December 13, 2025

Menghadiri Majlis Walimah

Ahad, 22 Jamadil Akhir 1447H  |  Menghadiri Majlis Walimah

عن ابن عمر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِذَا دُعِىَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Daripada Ibnu Umar dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu diundang ke majlis kenduri perkahwinan (walimah), maka hendaklah ia menghadirinya. (HR. Bukhari No: 5173). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Majlis walimah (kenduri perkahwinan) bertujuan untuk menzahirkan kesyukuran atas pernikahan di samping bertujuan untuk menghebahkan perkahwinan kepada Masyarakat.

2.  Ulama bersepakat bahawa wajib menghadiri kenduri perkahwinan apabila diundang jika majlis kenduri itu tidak bercampur aduk dengan maksiat.

Abu Hurairah mengatakan,

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ ، وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ ، وَمَنْ تَرَكَ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ – صلى الله عليه وسلم –

Seburuk-buruk makanan kenduri kahwin ialah kenduri yang hanya dijemput orang-orang kaya, dan tidak dijemput orang miskin. Sesiapa yang tidak memenuhi jemputan maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya SAW. (HR Bukhari No: 5177) Status: Hadis Sahih

3.  Syarat-syarat yang menjadikan seseorang wajib menghadiri kenduri perkahwinan:

a.  Jemputan tidak dikhaskan kepada orang-orang kaya sahaja
b.  Jemputan itu memang ditujukan khas kepada kita (bukan jemputan umum contohnya hanya diumumkan imam selepas solat untuk para jamaah
c.  Yang menjemput itu adalah Muslim
d.  Yang dijemput tidak mempunyai keuzuran seperti sakit dan sebagainya

4.  Haram menghadiri kenduri perkahwinan yang diisi dengan perkara maksiat. Akan tetapi jika seseorang mampu mengubah maksiat itu agar berhenti dengan kehadirannya, hendaklah dia hadir. Sebahagian ulama berpendapat boleh hadir kerana bukan kita yang melakukan maksiat itu.

5.  Ulama berbeza pendapat tentang hukum memenuhi jemputan kenduri selain majlis perkahwinan. Di sisi mazhab Syafie, hukum memenuhi jemputan kenduri selain perkahwinan adalah tidak wajib.

Hujung tahun ini ramai orang mengadakan majlis kenduri perkahwinan. Tunaikan jemputan jika tiada sebarang keuzuran syarie.


No comments: