Thursday, December 4, 2025

Waktu Mustajab Berdoa

Khamis, 13 Jamadil Akhir 1447H  |  Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثِنْتَانِ لاَ تُرَدَّانِ اَلدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ الْمَطَرِ

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda. Dua doa yang tidak pernah ditolak; doa ketika azan berkumandang dan doa ketika hujan turun. (HR al-Hakim, No: 2534) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Doa adalah ibadah yang dituntut kepada setiap Muslim melakukannya.

2.  Ada waktu yang sesiapa berdoa kepada Allah, nescaya doanya tidak akan ditolak iaitu:

a.  Doa ketika azan dikumandangkan
b.  Doa ketika hujan turun

3.  Doa yang tidak ditolak bermaksud: Doa dipenuhi seperti yang diminta, atau ditukar kepada kebaikan lain, atau menjadi simpanan pahala di hari akhirat.

4.  Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu turun hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada waktu tersebut,  sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

Orang beriman sentiasa peka dengan “waktu emas” untuk berdoa. Bila azan berkumandang juga ketika hujan mula turun - hentikan seketika aktiviti lain - ambil peluang untuk berdoa, moga diperkenankan hajat kita.


No comments: